in , ,

Rumah Siti Khadijah Kupas Isu Remaja di Rumah Perlindungan Wanita

Jangan lupa tonton 13 episod, 13 kisah berbeza di Rumah Siti Khadijah Slot Samarinda, Mulai 10 September, Setiap Isnin Hingga Khamis, 10.00 Malam.

Setiap insan yang melakukan kesilapan wajar diberikan peluang untuk pulang ke pangkal jalan dan memperbaiki kesilapannya apatah lagi remaja perempuan yang masih mentah untuk mengharungi cabaran dunia. Terbaharu di slot Samarinda, Rumah Siti Khadijahyang akan menyusuli Hilang Yang Kembali mulai hari ini menampilkan kelainan dengan paparan 13 kisah tentang isu-isu remaja di rumah perlindungan wanita. 

Drama ini akan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam menerusi slot Samarinda. Sepanjang 13 episod bersiaran, Rumah Siti Khadijah mengangkat 13 kisah berlainan mengenai penghuni-penghuninya. Drama arahan Heykal Hanifah ini membariskan pelakon Farahdhiya, Faezah Elai, Nina Iskandar, Intan Ladyana sebagai tenaga pengajar dan turut dibantu oleh Khairisya, Rina Diana, Erynne Erynna, KhaireenaFaraNadiahHanaAqeelaAzhan RaniHariesa DFKL dan ramai lagi. 

Rumah Siti Khadijah

Rumah Siti Khadijah adalah sebuah rumah pemulihan akhlak untuk remaja bermasalah yang ingin kembali ke pangkal jalan. Setiap penghuni mempunyai masalah dan konflik kehidupan yang berbeza sehingga mereka diberi perlindungan di Rumah Siti Khadijah.

Rumah Siti Khadijah diwarisi oleh Sakinah (Farahdhiya) yang merupakan anak angkat kepada seorang hartawan, Datin Siti Khadijah. Setiap warden di rumah Siti Khadijah iaitu Amira (Faezah Elai), Zara (Intan Ladyana) dan Fika (Nina Iskandar)mempunyai kisah silam tersendiri dan mereka berusaha untuk melindungi gadis-gadis ini. 

Amira telah dipaksa oleh bapanya untuk berkahwin dengan seorang ustaz yang mengamalkan ajaran sesat di mana dia akan dijadikan isteri yang kelima. Zara pula menghadapi masalah keluarga apabila kedua-dua ibu bapanya sering bergaduh. Zara melarikan diri dari rumah dan terlanjur. Manakala Fika pula telah diperkosa oleh pakcik yang memeliharanya setelah kematian ibu bapanya. 

Rumah Siti Khadijah

Antara kisah-kisah yang bakal diceritakan dalam Rumah Siti Khadijah ialah sumbang mahram, tokan dadah, pil khayal, ‘call girl’, ragut yang diharapkan dapat menjadi teladan.

Episod ‘Sumbang Mahram’ mengisahkan tentang Dura yang berusia 15 tahun menjadi mangsa kerakusan datuknya sendiri. Abangnya, Lukman sering bekerja di luar daerah kerana dia bertanggungjawab menyara keluarga.

Lama-kelamaan, Lukman nampak perubahan sikap Dura yang seolah-olah dalam ketakutan dan menjadi pendiam. Di hadapan Lukman, datuknya berpura-pura menjadi seorang yang penyayang. Lukman tidak sangka datuk mereka sanggup melakukan kerja yang terkutuk itu.

Kisah ‘Pil Khayal’ menceritakan hidup Mel, seorang anak tunggal yang dibesarkan dalam keluarga berada. Kesibukan ibu bapanya yang kerap ke luar negara sering meninggalkan Mel dengan pembantu rumahnya, Kak Ecah.

Segala kemahuannya dituruti. Mel mula terjebak dengan pengambilan pil khayal. Setiap kali ibu bapanya ke luar negara, Mel akan keluar berhibur dengan kawan-kawannya dan balik ke rumah dalam keadaan mabuk dan berkhayal. 

Rumah Siti Khadijah

Manakala episod ‘Lari Rumah’ tentang Adira yang dibesarkan dalam keluarga yang baik dan sempurna. Namun di sebalik tanggungjawab terhadap keluarga, Adira rasa terbeban hidupnya dan tidak dapat bergaul dengan kawan-kawan lain.

Perlakuan Adira mula berubah setelah berkenalan dengan Rizal melalui media sosial. Kemudian, orang tuanya dikejutkan dengan berita kehilangan anak mereka apabila Adira tidak pulang dari sekolah.

Adira yang tertekan dan rasa terikat dengan tanggungjawab di rumah, tidak mahu pulang walaupun telah dijumpai oleh orang kampung dan orang tuanya. 

Episode ‘Call Girl’ mengisahkan tentang Fatin seorang gadis peramah yang datang meminta kerja di butik pakaian milik Sakinah.Sakinah memuji sifat Fatin yang pandai memikat hati pelanggannya. Fatin hidup bersama adik dan ayahnya, Marzuki setelah ibu bapanya bercerai.

Marzuki seorang kaki perempuan sering mendera Fatin dan adiknya jika tidak mendapat wang. Lama-kelamaan, Sakinah sedar perubahan sikap Fatin. Satu hari, Sakinah terserempak dan melihat sisi hidup Fatin yang membuat kerja sampingan sebagai ‘Call Girl’. Sakinah mula mengekorinya dan cuba membantu Fatin agar berubah dan kembali ke pangkal jalan. 

Kaki drama yang mahukan drama penuh pengajaran jangan lupa tonton Rumah Siti Khadijah di slot Samarinda nanti ya. Untuk informasi terkini dan menarik mengenai drama Rumah Siti Khadijah jangan lupa ikuti laman sosial Facebook, Instagram, YouTube Dramasangat, Youtube TV3 Malaysia dan Twitter @TV3Malaysia dan juga @Dramasangat.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kaka Azraff Tujukan Lagu DIAMONDS Khas Buat Suami

Pereka Fesyen Rizman Ruzaini Sah Jadi Suami Kepada Nurida Suraya