in ,

Nasir Jani Melawan Lembaga Puaka, Antara Filem Menarik Pesta Filem FFF2020

Pengalaman ikon pembikin filem Nasir Jani bertembung dengan “tukang gunting” di dalam sistem penapisan filem di Malaysia adalah fokus filem dokumentari baru ‘Nasir Jani Melawan Lembaga Puaka’ (NJMLP).

Karya tersebut, arahan Arian Md Zahari adalah antara tayangan perdana pada pesta filem sosial dan hak asasi Freedom Film Festival 2020 pada 10 – 13 Disember depan.

Nasir bersama pembikin filem generasi baru Amanda Nell Eu dan Steven Sarathbabu mengupas bagaimana sistem penapisan filem negara telah memberi impak kepada industri filem dan pembentukan minda masyarakat. Penting juga adalah persoalan samada ianya masih relevan di dalam era Youtube dan Netflix. Nasir mengibas kembali bibit-bibit beliau bertembung dengan sistem penapisan dan kesan terhadap kariernya sepanjang tiga puluh dekad. 

FFF Poster 2020

Filem Nasir Jani berkongsi pentas dengan karya-karya lain seperti “Ayahku, Dr G,” yang mengisahkan seorang bekas tentera darat Malaysia yang dipenjarakan kerana mengubati penyakit kroniknya dengan minyak ganja (hemp oil).

Pesta FFF diadakan setiap tahun sejak 2003 oleh Pertubuhan Filem Sosial Malaysia (FFN). Pesta kali ini akan berlangsung secara online di antara Dec 10 hingga ke Dec 13.

Selain “Nasir Jani Melawan Lembaga Puaka” dan “Ayahku, Dr G”, FFF2020 akan menyiarkan filem bertajuk, “Petani Bukan Pemalas”, mengenai sebuah gerakan di kalangan pesawah padi tanah air yang mahu kembali ke cara-cara penanaman tradisional.

NJMLP

Sebuah lagi filem utama adalah “Meniti Senja”, yang meneliti fenomena warga emas yang terbiar dan bagaimana masyrakat harus menangani cabaran bahawa Malaysia sudah menjadi negara menua (aging nation) pada tahun ini.

Kesemua filem ini akan disiarkan melalui platform khas online CloudTheatre.Tahun ini merupakan kali pertama pesta FFF diadakan secara online bagi menjamin keselamatan dan kesihatan penonton selaras dengan norma baru bagi menangani COVID-19. 

Sesuai dengan objektif Wawasan 2020 untuk membentuk sebuah “Bangsa Malaysia” thema tahun ini adalah “Bangsa: Manusia”.

Thema ini mendalami bagaimana konsep bangsa dan identiti membentuk persepsi di antara masyarakat dan seseorang individu, dan bagaimana sesetengah kumpulan dilihat dan dilayan kerana persepsi terhadap mereka. Filem-filem tahun ini mengisahkan tentang individu dan kumpulan yang sering dipandang serong oleh media arus perdana dan bagaimana mereka mencabar dan melawan prejudis.

“Suara-suara di dalam filem-filem ini sering tengelam disebabkan prejudis dan stereo-taip terhadap mereka, dan kerana dominasi isu agama dan etnik dalam wacana nasional,” kata pengarah eksekutif FFN Anna Har.

“Pesta ini adalah peluang untuk mereka bersuara, meluahkan harapan dan pandangan. Dan lebih penting, supaya mereka dapat dilihat sebagai manusia yang mempunyai hak seperti manusia yang lain. Pandangan dan keperluan mereka mesti diambil serius dan dibawa ke peringkat nasional.”

Wanita OA Bersuara_Selai Kayu Yek

Sinopsis karya

“Ayahku, Dr G,” oleh Loh Jo Yee dan Hidayah Hisham mengisahkan bagaimana Siti terpaksa melalui selok-belok sistem perundangan dan penjara bagi mendapatkan keadilan untuk bapanya Amiruddin. Pesakit kronik 60-tahun itu ditahan polis kerana mengunakan “hemp” satu spesis tumbuhan ganja untuk mengubati dirinya. “Ayahku, Dr G” menceritakan perjuangan untuk mendapatkan keadilan daripada sistem perundangan yang lebih menghukum daripada mementingkan kesihatan awam.

Di dalam “Meniti Senja”, pakar penuan (gerontologist) Lily Fu membuka mata masyarakat kepada keperluan warga emas yang kian meningkat dan kurang diberi perhatian. Filem ini memaparkan cabaran dan kisah-kisah yang berlaku di rumah penjagaan Muslim pertama di Malaysia yang dirikan seorang bekas ketua jururawat, Puan Muji.

“Petani Bukan Pemalas” adalah sebuah filem yang mencabar pandangan negatif terhadap golongan pesawah yang lahir ketika Malaysia berlumba menjadi sebuah negara perindustrian moden. Ia mengisahkan perjuangan petani di periuk nasi negara yang ingin memajukan bendang-bendang mereka dengan cara-cara tanaman tradisi seperti membuat benih sendiri (seed-saving).

Proses merungkai stereo-taip juga berlaku di dalam filem “Nasir Jani Melawan Lembaga Puaka” arahan Arian Md Zahari. Nasir Jani, seorang ikon industri filem tanah air, mengetuai sebuah diskusi bersama pemibikin filem baru tentang sistem penapisan filem yang meruncing. Mereka mendalami cara sistem tersebut melenyapkan identiti dan suara-suara yang mengugat imej masyarakat yang cuba dibina sang penguasa. Ini termasuk penyanyi rock berambut panjang dan individu LGBTQ+ di dalaam filem.

Pesta tahun ini juga memberi fokus kepada suara wanita Orang Asli, golongan yang kurang mendapat perhatian di media arus perdana. Suara dan perspektif mereka didengari di dalam dua filem “Selai Kayu Yek” dan “Klinik Ku Hutan”. Karya-karya tersebut berkisar hak Orang Asli dan identiti mereka di waktu komuniti mereka mengalami perubahan yang sangat mencabar.

Norhayati Kaprawi, aktivis veteran dan pembikin filem yang bukan asing lagi di FFF, kembali sekali lagi dengan karya bertajuk “SULOH”. Filem animasi ini mengenai Kak Ton yang membina balik kehidupannya dengan cara yang kreatif setelah suaminya kahwin lain tanpa pengetahuannya.

“The Shades of Love” sebuah karya pembikin filem Singapura Jessica Lee tentang cabaran dan realiti pekerja industri seks di negara itu. Karya ini menggunakan imej dan gelombang audio dengan cara yang kreatif bagi memaparkan kehidupan mereka sewaktu pandemik COVID-19.

Kesemua sesi tonton filem-filem ini akan disusuli dengan diskusi bersama pembikin filem dan personaliti di dalam karya masing-masing. Sesi dialog dan siaran juga akan diadakan oleh beberapa wakil FFN di beberapa negeri di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Johor.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tak Pernah Delete Pasal Ex, Lelaki Nangis Susah ‘Move-On’ Lepas Buka Pendrive

Dituduh Jual Hadiah Siti Nurhaliza Ke Pajak Gadai, Aishah Luah Rasa Berang