in , ,

Celcom Kini Sudah Bersedia, Bakal Lancar 5G Akhir Tahun Ini

Celcom Axiata Bhd (Celcom) bersedia untuk melancar dan menyediakan perkhidmatan teknologi 5G kepada pelanggannya menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan yang menunjukkan minat tinggi terhadap teknologi itu.

“Secara teknikalnya, kami sudah bersedia untuk melancarkan perkhidmatan 5G sebaik saja teknologi ini sudah berada di pasaran nanti,” katanya pada taklimat media maya mengenai prestasi suku kedua 2021 Celcom hari ini.

Pelaksanaan 5G di Malaysia akan dikendalikan melalui syarikat tujuan khas (SPV) kerajaan Malaysia, Digital Nasional Bhd (DNB).

DNB akan membangun dan menguruskan rangkaian 5G di Malaysia menerusi model borong, bagi memastikan ia telus dan dilaksanakan dengan lebih baik.

Sementara itu, Idham berkata Celcom menjangkakan prestasi positif untuk separuh kedua tahun ini didorong oleh program transformasinya yang dilaksanakan sejak 18 bulan lalu.

“Bagaimanapun, kami sedikit berhati-hati untuk tempoh baki empat bulan ini dan akan terus menilai kesan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pandemik COVID-19 yang dilihat mampu memberi cabaran kecil pada separuh kedua 2021.

“Kami berharap dapat mengekalkan prestasi positif dalam keadaan yang mungkin lebih mencabar pada separuh kedua tahun ini, termasuk pengukuhan aktiviti yang sedang berjalan dan terus memberi impak di semua segmen, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata, Celcom turut memberi jaminan pelanggan tidak akan terkesan dari segi perkhidmatan apabila teknologi 3G ditutup sepenuhnya secara berperingkat bermula akhir bulan ini.

“Kami amat berhati-hati dalam mengendalikan penutupan 3G. Ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan 4G ketika penutupan dibuat, malah pelanggan mungkin akan menikmati perkhidmatan 4G yang lebih baik selepas ini.

“Ini kerana, spektrum yang digunakan untuk 3G sebelum ini akan diperuntukkan kepada 4G sekali gus menjadikan perkhidmatannya lebih baik,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Drama Bersiri I-TANGGANG, Memaparkan Isu Penderitaan Mental

Lagu SEKADAR DI PINGGIRAN Francissca Peter Sudah Berusia 35 Tahun