in , ,

Bimbang Kontrak Wang Royalti Bakal Tamat, Ini Permintaan Anak P. Ramlee

Anak Allahyarham P Ramlee, Sazali menyuarakan kebimbangan apabila kontrak royalti lagu karya bapanya daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) bakal tamat tahun depan.

Sazali berkata buat masa ini, bantuan bulanan yang diterima daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 tidak cukup bagi menampung perbelanjaan kesihatan dia dan isterinya, Hamidah Hitam.

“Kalau duit royalti sudah tiada, kehidupan saya dan isteri akan susah.

“Sejak pandemik C0 vid-19 melanda negara jumlah royalti yang saya terima makin berkurang.

“Jujurnya saya masih berharap kontrak royalti MACP akan bersambung kerana saya bergantung dengan perolehan berkenaan yang diterima sekali dalam setahun,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Menurut Sazali, 63, dia pernah bertanyakan MACP tentang perkara itu tetapi dimaklumkan bahawa berdasarkan perjanjian royalti hanya boleh diperolehi selama tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee.

Untuk rekod, P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 dan tahun depan genap 50 tahun pemergian seniman agung itu.

“Selama ini, saya bergantung hidup dengan duit royalti untuk buat beli barangan dapur, pengangkutan ke hospital, rawatan fisio kaki yang cedera akibat kemalangan, temu janji dengan doktor setiap tiga bulan kerana menghidap asma dan darah tinggi serta penyakit tulang belakang yang dihidapi isteri.

“Saya nak minta tolong dengan siapa sebab sekarang ini semua pun susah. Saya tak boleh buat apa-apa kalau tahun depan kontrak tamat dan sudah tak terima wang royalti yang menjadi kegunaan utama selama ini,” katanya lagi.

Selepas P Ramlee meninggal dunia, royalti daripada karya lagu yang diurus MACP diperoleh isterinya, Allahyarham Saloma.

Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983 dan royalti beralih kepada anak P Ramlee, Allahyarham Nasir. Allahyarham kemudian membahagikan perolehan kepada beberapa waris lain.

Menurut Sazali, memandangkan kontrak royalti MACP akan tamat tahun depan, dia memohon sekiranya ada pihak yang sudi untuk tampil membantu dirinya dan isteri meneruskan kehidupan memandangkan dia dan isterinya sudah tidak berdaya untuk bekerja.

“Kalau ada yang boleh bantu secara bulanan saya sangat menghargainya. Nilainya tidak perlu tinggi pun, cukuplah sekadar saya dan isteri dapat meneruskan kelangsungan hidup.

“Buat masa ni, saya berjimat-cermat dengan duit bantuan yang diterima. Saya teruskan hidup dengan duit yang ada sekarang,” katanya lagi.

Inilah dia ‘Anakku Sazali’

“ANAKKU Sazali, dengarlah… Lagu yang ayahanda karangi….”

Bait-bait lagu Anakku Sazali, ciptaan seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bermain di fikiran tatkala tiba di sebuah rumah berwarna hijau di Kampung Sentosa, Semenyih.

“Assalamualaikum,” kata penulis. Keluar seorang wanita menjawab salam.

“Puan, betul ke ini rumah Sazali, anak P. Ramlee?,” tanya penulis.

“Ya, betul. Sazali ada di dalam, nanti saya panggilkan,” kata wanita tersebut. Lega rasanya hajat tercapai. Langkah kanan sebenarnya kerana dia baru sahaja pulang ke rumah.

Pintu rumah dikuak. Seorang lelaki berbaju batik menjemput kami masuk ke dalam. Memegang tongkat, pergerakannya agak terbatas namun kehadiran kami disambut mesra.

“Marilah masuk, boleh berbual di dalam,” sapa anak seniman agung negara, Sazali P Ramlee, 60. Keadaannya agak baik cuma kakinya tidak begitu kuat.

“Kaki kanan saya ada masuk besi, susah sikitlah nak jalan. Ada buat ‘operation’ pada 2013,” katanya memulakan bicara.

“Pakcik sihat ke?,” tanya penulis pula. “Alhamdulillah, sihat begini sajalah. Lepas ‘operate’, kaki tak kuat sangat dah,” kata Sazali.

“Pakcik, alang-alang PRK Semenyih sekarang, apa yang pakcik rasa paling diperlukan di Semenyih?,” soal penulis.

“Hospital,” pantas jawabnya. “Kadangkala saya perlu pergi hospital, isteri saya pun sama tapi di Semenyih tiada hospital. Susah jugalah,” keluhnya.

“Kaki saya masuk besi, perlu buat pemeriksaan susulan. Biasa kami pergi ke Kuala Lumpur. Jauh jugalah tapi nak buat macam mana,” sambungnya.

“Cuma perbelanjaan banyak juga digunakan untuk menampung perjalanan ke hospital. Kadangkala saya guna ‘grab’ saja, belanja kira-kira RM45 satu perjalanan,” katanya.

Menceritakan detik hitam menimpa dirinya, Sazali berkata, kakinya patah ketika dalam perjalanan pulang dari kerja tujuh tahun lepas.

“Masa itu hujan lebat, saya kayuh basikal nak balik rumah. Entah macam mana, tak tahu apa saya langgar, saya jatuh. Tengok kaki, dah terlipat. Tak boleh bangun dah masa tu,” ceritanya.

Bila di hospital, doktor sahkan kakinya perlu dimasukkan besi. Selepas pembedahan, dia tidak lagi mampu bekerja dengan Alam Flora Sdn Bhd.

Bermula dari situ, kehidupan Sazali dan isterinya, Hamidah Hitam, 56, semakin sukar. Hidupnya bergantung harap kepada bantuan Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta rakan dan saudara.

“Mujur juga saya dapat royalti hasil karya P Ramlee. Wang itulah digunakan untuk perbelanjaan harian tapi risau juga, pembayaran royalti akan tamat dalam empat ke lima tahun lagi,” katanya.

Bagi Sazali, arwah ayahnya merupakan seorang yang sangat baik malah dia tidak pernah melupakan detik akhir P Ramlee bersamanya. Kepiluannya masih terasa.

“Masa P Ramlee duduk Setapak, saya ada dengan dia. Masa dia dah nak meninggal, dia panggil anak-anak dan isterinya.

“Dia kata daddy nak mati sebab dada dah sakit. Dia kata boy, daddy nak mati. Saya kata janganlah macam tu daddy, kami kecil lagi,” cerita Sazali.

Cukuplah kisah sedih. Berjumpa Sazali, pasti penulis tidak lepaskan peluang bertanyakan kisah di sebalik pembikinan filem ‘Anakku Sazali’. Sazali berusia 10 tahun pada waktu itu.

“Itu filem, daddy buat khas untuk Jali Boy (panggilan untuk Sazali). Esok besar jangan jadi macam tu pula,” katanya.

Tambahnya, “cerita itu nasihat untuk saya, untuk semua orang.” Kata Sazali lagi, “ramai juga orang jumpa saya kata filem ayah saya memang sangat bagus, sampai sekarang tak bosan tengok.”

Sebelum mengakhiri temubual, Sazali sempat berpesan, “bila keluar akhbar, beritahu ya, saya nak baca.”

Jawab penulis, “Baik pakcik, saya bawakan nanti. Terima kasih untuk perkongsian berharga ini.”

Wawancara bersama anak P Ramlee, Sazali P Ramlee, 60, di kediamannya, Kampung Sentosa Semenyih. – Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

‘Daddy’ mesti suka – Sazali P Ramlee

Keputusan kerajaan mengubah tarikh Hari Seniman Negara daripada 29 Mei kepada 22 Mac, iaitu hari ini, bagi memperingati kelahiran Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, disanjung keluarga bintang legenda serba boleh yang mencipta legasi dan diangkat sebagai ikon seni negara itu.

Anak P Ramlee, Sazali, 63, perubahan tarikh Hari Seniman Negara kepada detik kelahiran ayahanda tersayang memberi makna kepada sambutan hari jadi ayah yang digelar ‘daddy’ yang sepatutnya berusia 93 tahun hari ini, jika masih hidup.

“Saya bersetuju dan sokong pertukaran Hari Seniman Negara kepada hari lahir arwah bapa saya. Sebelum ini, ia disambut pada 29 Mei iaitu hari pemergian ‘daddy’.

“Namun, saya hendak komen lebih pun tak boleh, saya bukan insan seni. Saya cuma anak kepada seniman terkenal.

“Jadi, saya ucap terima kasih kepada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang mewujudkan Hari Seniman Negara ini sempena tarikh penting arwah bapa saya.

“Terima kasih atas kesungguhan mereka dalam terus mengangkat nama dan mengenang jasa ‘daddy’,” katanya kepada BH Online.

Dalam pengumuman mengenai tarikh baharu Hari Seniman Negara, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan berkata, Keluarga Malaysia perlu diberi kesedaran nilai kesenimanan dalam diri Seniman Agung yang hingga kini tiada galang gantinya.

Melalui kenyataan media, Annuar menyebut, faktor nilai kesenimanan ini bukan sahaja terletak pada karya Allahyarham dalam industri perfileman sebagai pengarah, pelakon, penggubah lagu, penulis lirik, pemuzik dan pelawak yang sangat hebat, malah sebagai pemuisi, yang menjadi khazanah negara sangat berharga dan malar segar.

Sehubungan, tambahnya, bagi memperingati jasa dan sumbangan Seniman Agung sambutan Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac iaitu sempena tarikh kelahiran P Ramlee.

Signifikan perubahan tarikh sambutan Hari Seniman Negara ini adalah untuk memperingati jasa serta sumbangan beliau terhadap industri kreatif negara ini selain mengangkat karya P Ramlee yang bukan sahaja berjaya melahirkan lebih ramai tokoh dan pakar industri kreatif, malah, memperkenalkan Malaysia pada mata dunia.

Allahyarham P Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 ketika umat Islam meraikan 1 Syawal.

P Ramlee adalah anak kepada kepada pasangan Allahyarham Teuku Nyak Puteh Teuku Karim dan Allahyarham Che Mah Hussein.

Allahyarham P Ramlee berlakon dalam 66 filem dengan 35 judul di bawah arahannya dan mencipta 250 lagu.

Sazali berkata, Hari Seniman Negara bagaimanapun bukan semata-mata untuk mengangkat P Ramlee, malah, memperingati seniman lain yang sudah tiada dan mereka yang masih aktif dalam industri kreatif.

“Bukan arwah bapa saya sahaja yang perlu dikenang. Malah, semua seniman yang pernah mengharumkan nama negara seperti Allahyarham Nordin Ahmad dan sebagainya,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini dirinya, Sazali mengaku perasaan bercampur baur antara gembira dan sedih setiap kali terkenangkan arwah ‘daddy’.

“Sekiranya ‘daddy’ masih ada, pastinya, saya gembira dan bangga hidup dengan karya-karyanya. Mana tidaknya, meskipun ‘daddy’ sudah tiada, filemnya masih lagi ditayangkan sehingga kini.

“Saya juga percaya jika ‘daddy’ masih hidup, dia juga berbangga dengan apa yang sudah penggiat seni usahakan sekarang.

“Malah, saya berbangga apabila arwah ‘daddy’ pernah buat filem untuk saya seperti Anakku Sazali, Ahmad Albab dan Anak Bapak.

“Itu menunjukkan kasih sayangnya kepada saya. Karya itulah yang membuatkan orang ramai kenal saya sebagai anaknya,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Telemovie ‘Sekolah Sampah Lakonan Aliff Aziz & Bella Astillah

Tahniah Buat Pelakon Elisya Sandha Bakal Melahirkan Bayi Perempuan Bulan Ini