Aurelius Healthcare telah melancarkan pakaian seragam hospital baharunya, yang merupakan hasil karya pereka duo tempatan terkenal, Rizman Ruzaini. Kolaborasi unik ini menampilkan reka bentuk yang menyatukan keanggunan dengan ciri kemodenan, bagi memberi nafas baharu kepada pengalaman tetamu dan kakitangan di hospital. Di bawah Aurelius Healthcare terdapat tiga hospital, iaitu Aurelius Hospital Negeri Sembilan, Aurelius Hospital Pahang, dan Aurelius Hospital Alor Setar yang bakal siap.
Koleksi itu menampilkan 13 set pakaian seragam untuk pelbagai jawatan yang berlainan, termasuk jururawat, khidmat pelanggan, pejabat hadapan, pembantu penjagaan kesihatan dan sebagainya. Ia direka dengan teliti dan memaparkan warna-warna cerah untuk pengecaman yang mudah.
“Kami menyedari setiap perincian adalah penting, daripada penjagaan pesakit sehinggalah imej kakitangan kami, dan kolaborasi dengan Rizman Ruzaini ini membolehkan kami melaksanakan dedikasi ini secara holistik. Dengan menyatukan fungsi dan gaya, kami percaya pakaian seragam ini bukan hanya dapat menyemarakkan semangat pasukan, tetapi juga memupuk suasana lebih positif bagi pesakit dan kakitangan,” tambah beliau lagi.
Pakaian seragam itu membuat penampilan sulung pada pertunjukan fesyen yang berlangsung semasa rumah terbuka Aurelius Healthcare yang bertema ‘Glam Raya’, yang juga menyajikan persembahan menarik daripada penyanyi dan pengkarya lagu yang memenangi anugerah, Aina Abdul.
Sempena majlis itu, Aurelius Healthcare turut mengumumkan penjenamaan semula Hospital Aurelius Nilai kepada Hospital Aurelius Negeri Sembilan. Langkah itu menonjolkan dedikasi Aurelius Healthcare untuk melanjutkan perkhidmatan kepada komuniti Negeri Sembilan yang lebih luas dengan menyediakan rangkaian perkhidmatan dan kemudahan penjagaan kesihatan yang komprehensif.
Mewujudkan Masa Depan Penjagaan Kesihatan Yang Lebih Baik
Sejak penubuhan pada 2019, Aurelius Healthcare telah memulakan pertumbuhan organik dan bukan organik secara berterusan untuk memperluaskan impaknya serta menaik taraf tawarannya. Pada 2023, kumpulan itu, dengan sokongan Navis Capital Partners, telah melakar beberapa pencapaian penting, termasuk:
- Pengambilalihan Pahang Medical Centre: Pada Julai 2023, Aurelius Healthcare mengembangkan sayapnya dan meluaskan kehadirannya dengan pemerolehan majoriti pegangan dalam Pahang Medical Centre, yang kini dikenali sebagai Aurelius Hospital Pahang (AHP). Selari dengan visinya untuk menjadi hospital tertiari yang canggih, AHP akan menampilkan 124 katil, termasuk perkhidmatan jagaan harian, dan memperkenalkan Pusat Kecemerlangan baharu, seperti Onkologi, Pembedahan Invasif Minimum, Pembedahan Ortopedik, serta Wanita & Kanak-kanak termasuk Rawatan IVF.
- Kerjasama strategik dengan Ancubic Group: Pada Februari 2023, Aurelius Healthcare menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Ancubic Group. Perjanjian itu bertujuan merevolusikan landskap penjagaan kesihatan dengan menyatupadukan kepakaran pengurusan penjagaan kesihatan dengan falsafah seni bina ‘Bandar Pintar Botani’ (Botanical Smart City) yang canggih, demi memupuk persekitaran holistik yang menggalakkan kesejahteraan dan hubungan dengan alam semula jadi. Hospital baharu itu yang menampilkan 150 katil akan ditempatkan dalam Bandar Pintar Botani, serta memberi tumpuan kepada penjagaan pakar dalam Wanita & Kanak-kanak, Kardiologi dan Ortopedik. Dengan lokasi strategik di tengah-tengah pelan induk ‘Lembah Botani’ (Botanical Valley), ia akan berfungsi sebagai asas untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan bagi penduduk di seluruh rantau dan kawasan ini.
- Pengiktirafan global sebagai antara hospital terbaik di dunia: Aurelius Hospital Negeri Sembilan juga dicalonkan sebagai antara Hospital Terbaik di Dunia dalam Newsweek Rankings 2024, sekali gus mengesahkan momentum positifnya dalam menyampaikan pengalaman penjagaan pesakit yang cemerlang dan merevolusikan standard penyampaian penjagaan kesihatan di Malaysia.
“Kami masih di peringkat awal perjalanan untuk membawa standard pengurusan global kepada kemudahan penjagaan kesihatan di bandar serta luar bandar. Penjagaan kesihatan swasta merupakan segmen yang dinamik dan sentiasa berkembang. Jadi, kami bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya dan akan terus mencari peluang strategik untuk mengubah, berinovasi dan mengembangkan operasi kami, demi menetapkan piawaian baharu dalam pengurusan hospital dan penjagaan kesihatan di seluruh Malaysia dan rantau ini,” kata Dato’ Amir.