in

Betul Ke Belia Malaysia Lebih Gemar Menonton YouTube Berbanding TV?

Sebuah kajian profil para pengguna YouTube yang diadakan baru-baru ini oleh TNS Research dan Google Malaysia mendapati bahawa warga Malaysia berumur antara 16 hingga 34 tahun lebih gemar menonton YouTube berbanding TV pada setiap bulan. Lebih menarik lagi, separuh daripada warga emas berumur di antara 55 hingga 64 tahun yang dikaji juga merupakan penonton kerap YouTube, lantas menjadikan platform video tersebut setaraf saluran-saluran media massa yang lain.

YouTube

Belia Malaysia lebih gemar menonton YouTube berbanding TV

55 peratus daripada warga Malaysia yang dikaji menyatakan bahawa mereka lebih menggemari kandungan yang dimuat-naik ke YouTube berbanding siaran TV. Dua per tiga daripada mereka menyatakan bahawa ianya lebih mudah untuk mencari kandungan yang diingini di YouTube dengan adanya cadangan dan fungsi carian. YouTube juga dianggap lebih menarik kerana para pengguna jarang menonton hanya satu video pada setiap kunjungan.

Genre-genre YouTube yang paling popular adalah hiburan (muzik, komedi, filem) diikuti dengan video tutorial, treler filem, gaya hidup, rancangan TV, drama dan kandungan pendidikan.

Peranti mudah alih pilihan pertama rakyat Malaysia untuk menonton video

Kajian yang diadakan pada suku ke-4 tahun 2015 telah menemuramah 1,000 warga Malaysia berumur antara 16 hingga 64 tahun berdasarkan tabiat tontonan mereka menerusi peranti mudah alih dan desktop; mengambil kira waktu tontonan pilihan mereka, tempoh tontonan, genre kandungan dan tabiat perkongsian.

“Sebelum ini, landskap tontonan video adalah amat mudah. TV merupakan satu-satunya paparan skrin di dalam sesebuah rumah tangga, dan para penonton duduk bersama untuk menontonnya pada masa-masa tertentu setiap hari. Kini, ia lebih rumit dengan adanya pelbagai pilihan peranti dan platform video. Terdapat satu trend yang memacu sebahagian besar perubahan tersebut – peranti mudah alih,” kata Sajith Sivanandan, Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan Pasaran-pasaran Baharu.

Di peringkat global, separuh daripada masa yang diluangkan di YouTube datang dari penggunaan peranti mudah alih, tetapi di Malaysia, tontonan video menerusi peranti mudah alih menyumbang kepada 65 peratus dari masa yang diluangkan. Bagi warga Malaysia, purata tempoh tontonan YouTube menerusi peranti mudah alih adalah sebanyak 80 minit, dua kali ganda purata tempoh tontonan di peringkat global.

Ini berikutan Malaysia sebagai negara berstatus ‘mobile-first’. Malaysia merupakan antara 21 negara di seluruh dunia di mana penggunaan telefon pintar adalah lebih tinggi berbanding penggunaan komputer, dengan jumlah pengguna telefon pintar yang merangkumi dua per tiga keseluruhan warga Malaysia. Lebih-lebih lagi, telefon pintar merupakan satu-satunya peranti berinternet buat sepertiga warga Malaysia.

“Kalau kita perhatikan corak tontonan sepanjang hari di kalangan belia, corak buat kedua-dua YouTube dan TV memuncak pada waktu petang selepas tamat tempoh kerja, tetapi yang lebih menarik adalah jumlah penonton YouTube yang lebih tinggi dan konsisten sepanjang hari. Dengan 96 peratus dari warga Malaysia memiliki peranti mudah alih dan 82 peratus memiliki TV, tidak sukar untuk membayangkan suatu ketika di mana jumlah telefon pintar melebihi TV di Malaysia,” kata MC Lai, Pengarah Urusan TNS Malaysia.

Untuk tidak ditelan arus perubahan landskap media masa kini, para pemasar perlu mengalihkan perhatian mereka ke saluran yang paling kerap digunakan oleh warga Malaysia, yakni ‘video on mobile’. YouTube merupakan cara yang sesuai untuk menarik perhatian warga Malaysia, terutama sekali golongan muda-mudi yang menonton pelbagai jenis kandungan melalui peranti mudah-alih.

YouTube

Kebanyakan jenama sudah pun mengenal pasti trend tersebut. Sebahagian besar dari iklan-iklan popular yang ditayangkan di YouTube Malaysia pada tahun lepas merupakan hasil kreatif digital khusus buat penonton YouTube dengan mengetengahkan kandungan “long form” dalam bentuk “webisod” yang berkualiti tinggi dan menyayat hati.

Mengenai YouTube:
YouTube merupakan komuniti video dalam talian paling popular di seluruh dunia yang membolehkan orang ramai menerokai, menonton dan berkongsi hasil video yang asli. YouTube menyediakan forum bagi memudahkan orang ramai berhubung, memaklum dan memberikan inspirasi secara global selain merupakan platform pengedaran untuk pencipta kandungan asal dan pengiklan besar dan kecil. YouTube, LLC berpangkalan di San Bruno, Calif., dan merupakan anak syarikat Google Inc.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AW16 FENTY PUMA BY RIHANNA Collection Show

Konsert Gegaran Excellent Wave 2016