in ,

Syawal Lebih Bererti Kepada Produksi Seludup

Kehadiran Syawal begitu bererti terutamanya kepada umat Islam yang berjaya menempuh Ramadhan dengan tabah. Buat krew penggambaran mahupun para pelakon drama atau filem, realiti penggambaran semasa bulan Ramadhan sesungguhnya sangat mencabar. Terdedah kepada terik matahari dan kadangkala terpaksa mengulangi aksi lakonan berkali-kali untuk mendapatkan ‘shot’ yang sempurna, kesemuanya harus dilalui dengan sabar. Produksi drama ‘Seludup’ yang memulakan penggambaran pada bulan Ramadhan yang lepas tidak terkecuali dalam perkara ini.

Dilancarkan oleh Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn. Bhd., ‘Seludup’ menggabungkan pelakon-pelakon karakter berwibawa negara seperti Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Namron dan Syafie Naswip dengan muka baru seperti Raja Ilya. Jehan Miskin yang bertindak sebagai penerbit dan pengarah, turut memainkan peranan sebagai pelakon pembantu. Drama bersiri sarat aksi dan cinta ini berkisar tentang kegiatan penyeludupan rokok seludup di Malaysia yang menjejaskan pendapatan, keselamatan dan kualiti hidup masyarakat.

Produksi ini telah memilih daerah Pantai Pengkalan Balak di Masjid Tanah, Melaka sebagai lokasi penggambaran. Fasa pertama penggambaran telahpun selesai untuk memberi peluang kepada krew produksi dan pelakon untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan ianya akan disambung semula setelah sepuluh hari bercuti.

“Ini bukanlah kali pertama saya berpuasa di lokasi namun kali ini tanggungjawab saya agak berat kerana menyandang tanggungjawab sebagai pengarah, penerbit dan juga pelakon. Jadual kami amat ketat dan kadang-kala kami hanya berhenti bekerja lebih kurang dua atau tiga minit sebelum azan Maghrib berkumandang. Selepas berbuka puasa dan mengerjakan solat, penggambaran disambung semula sehingga awal pagi” kata Jehan Miskin.

Sambung Jehan lagi “Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk Pengkalan Balak, Melaka yang telah memberikan layanan yang sangat istimewa kepada produksi ‘Seludup’ sepanjang kami berada di sini. Ada yang melawat kami di lokasi dan ada juga yang memberikan makanan sebagai juadah berbuka puasa. Budi baik mereka akan kami kenang sampai bila-bila. Bagi pihak produksi drama ‘Seludup’ pula, saya rasa belum lagi terlambat untuk kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia terutamanya peminat-peminat kami”.

Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Seludup’ dan peraduan #masukdramaseludup termasuk terma dan syarat, sila layari laman FB Seludup di www.facebook.com/seludup

Seludup

Seludup

Seludup

Seludup

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Pass Jemputan Ke MTV World Stage 2014

Senarai Drama Bersiri Terbaru di TV3