in

Sinopsis Drama Yang-Yang Yok Sempena Bulan Puasa

Kedatangan bulan Ramadan bukan sahaja dinantikan golongan dewasa sebaliknya kanak-kanak juga turut teruja menyambut Ramadan yang di dalamnya penuh barakah dimana diwajibkan seluruh umat Islam berpuasa dan digandakan pahala segala kebaikan yang dilakukan.

Puasa juga dikira ibadat dan kewajipan seperti sembahyang. Anak-anak kecil wajib dilatih menunaikan ibadat ini namun terpulanglah kepada kemampuan kanak-kanak tersebut. Inilah cara Islam melatih kanak-kanak sejak dari kecil lagi dengan adab-adab Islam dan kewajipan-kewajipannya.

Yang-Yang Yok : Drama Kanak-Kanak Belajar Berpuasa, Khas Ramadan Ini Di TV2

Membawakan plot kisah bagaimana kanak-kanak belajar berpuasa, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 10 Julai ini menyiarkan drama bersiri kanak-kanak khas Ramadan bertajuk “Yang-Yang Yok” setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 pagi menerusi saluran TV2.

Menampilkan pelakon Shamsul Ghau Ghau, Nor Atikah, Acong Sweetchild, Azza dan Zalina Ismail, saksikan gelagat sekumpulan pelajar sekolah rendah Epol, Noi, Toya dan Kenet yang mula berbincang tentang Ramadan yang dijangka lusa. Kanak-kanak ini taat berpuasa kecuali Kenet yang mengaku berpuasa tetapi sebenarnya Yang-Yang Yok, siang hari buka periuk.

Muncul Amai, pelajar baru di sekolah mereka. Amai tinggal bersama neneknya di kampung tersebut setelah kematian ibu dan bapanya yang terkorban dalam kemalangan jalan raya tahun lalu. Semangat menyambut Ramadan dan Hari Raya langsung tiada dalam dirinya. Dia memperlihatkan pemberontakan dan menyatakan rasa benci terhadap kedatangan ulan Ramadan.

Hari persekolahan pada hari yang pertama Ramadan begitu mencabar untuk kanak-kanak seperti mereka. Epol, Noi, Toya dan Kenet lalu di depan rumah Mak Nab dan berharap Amai mahu jalan ke sekolah bersama mereka kerana hampir setahun bersekolah di sekolah yang sama, Amai masih tidak mahu berkawan dengan mereka.

Sementara itu Mak Nab serba salah dengan tindakannya menyediakan makanan untuk Amai yang tidak berpuasa. Amai pula secara tidak sengaja mula bersahabat dengan Kenet kerana masing-masing ponteng puasa bersama.

Seperti biasa terawih pada malam puasa pertama, surau dibanjiri penduduk kampung. Epol, Noi, Kenet dan Toya solat terawih pendek dan sementara menunggu ibu bapa mereka selesai solat, mereka bermain-main di rumah kosong. Setelah letih bermain kejar-kejar, mereka duduk bercerita dan topik kegemaran mereka adalah cerita seram. Toya mula bercerita tentang rumah peninggalan arwah Tok Mudim di kampung itu.

Aktiviti ponteng puasa pada siang hari bulan Ramadan di rumah tinggal Tok Mudim berjalan seperti biasa tanpa mereka ketahui, Epol, Noi dan Toya sudah dapat mengesan aktiviti itu setelah Mak Nab minta bantuan menyiasat. Noi beri peluang pada Kenet yang merayu jangan diberitahu kepada ibunya yang dia ponteng puasa. Kenet berjanji akan mula berpuasa bersungguh-sungguh bermula dari hari esok.

Di sekolah Amai buat hal lagi. Dia mengejek dan mentertawakan seorang budak perempuan yang sedang kelam-kabut kerana datang bulan di bulan puasa. Budak perempuan itu sungguh malu lalu menangis dan lari ke tandas. Noi dan Toya melihat lalu segera menyusul budak perempuan itu. Noi mahu Amai minta maaf pada Amai kerana telah memalukannya.

Epol dengan cara bijaksana menasihati Amai agar berbuat baik dengan kawan-kawan. Amai jerit pada Epol bahawa mereka semua bertuah kerana ada ibu bapa dan tidak seperti Amai yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan jalan raya. Mereka semua terdiam dan simpati dengan nasib Amai tetapi Amai tetap dengan keangkuhannya.

Lalu apakah kesudahan jalan cerita kanak-kanak ini? Adakah Kenet dan Amai kembali terbuka hati untuk berpuasa seperti teman-teman mereka? Saksikan kesudahannya dalam Yang-Yang Yok sepanjang Ramadan ini di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fasha Sandha Pasang CCTV Untuk Pantau Anak di Henset

Video Muzik Back In Time Deanna Hussin