in

Rock Oo Rimba Bara Kembali di Pawagam 28 Februari Ini

NANTIKAN KEMUNCULAN RIMBA BARA DALAM ROCK OO DI PAWAGAM 28 FEBRUARI 2013 INI!

Grand Brilliance bakal menggegarkan pawagam dengan filem komedi terbarunya iaitu Rock Oo pada 28 Februari 2013 ini dan menjanjikan hiburan yang cukup memuaskan buat peminat filem tanahair. Filem ini juga dijangka dapat mengembalikan semula nostalgia era Rock bagi seluruh rockers tegar di Malaysia.

Di bawah arahan pengarah tersohor Mamat Khalid, filem Rock Oo merupakan kesinambungan filem Rock yang memaparkan kisah kehidupan kumpulan Rimba Bara yang telah berpecah dan kini bersatu semula atas semangat mereka yang ingin terus kekal gah di arena muzik tanah air.

Filem Rock yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2005 mengisahkan tentang kumpulan rockers kampung iaitu Rimba Bara yang bercita-cita dan berhasrat untuk jadi terkenal pada lewat dekad 80-an. Pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa diharungi oleh mereka demi mengejar cita-cita mereka sebagai rockers terkenal tanah air. Bukan sahaja filem ini menengahkan konsep muzikal tetapi juga mengandungi unsur – unsur positif untuk dihayati segenap lapisan penonton. Filem Rock telah mendapat sambutan hangat di pawagam dan sentiasa mendapat ratings yang tinggi tatkala disiarkan di televisyen.

Sempena dengan itu, Grand Brilliance ingin melancarkan filem Rock di Youtube dan Tonton bagi memberi peluang kepada para peminat untuk sekali lagi menyaksikan filem ini. Bagi mereka yang menantikan filem Rock Oo, anda boleh menonton trailer filem Rock Oo yang tertera di Youtube Grand Brilliance, di www.youtube.com/gbsbteam. Saksikan juga MTV Lagu Tika yang dipetik khas dari filem Rock Oo nyanyian Khir Rahman. Segala informasi dan gambar filem Rock Oo juga boleh didapati di laman Facebook di www.facebook.com/rockoo.rimbabarakembali.

Rock Oo berpegang kepada azam dan kata-kata semangat Amy Mat Piah (Que Haidar) iaitu “Pantang anak petani moden mengundur kalah,” rockers kampung ini sanggup berjuang bermati – matian demi mempertahankan minat dan cita – cita mereka. Semangat ahli kumpulan Rimba Bara terpupuk semula dan mereka bertekad untuk meneruskan perjuangan rock mereka. Grand Brilliance yakin bahawa filem Rock Oo merupakan karya terhebat pengarah Mamat Khalid dan bakal menjadi filem box office pada tahun ini.

Filem Rock Oo yang bakal membuka tirai di pawagam pada 28 Februari 2013 ini dibintangi oleh Que Haidar (Amy), Khir Rahman (Jijo), Norazmi Baharon (Black), Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah) dan Soffi Jikan (Zul Kapan).

Antara barisan filem – filem lain Grand Brilliance yang bakal menemui anda pada 2013 adalah Sembunyi (28 Mac 2013), Bisikan Syaitan (2 May 2013), Pecah, Pengapit, Balada Pencinta, KL Zombi, Mamak Cupcake, Lebuhraya Ke Neraka, Penanggal, KL Gangster 2 dan Anak Jantan yang mana dijangka bakal memecah rekod industri perfileman tanah air. Antara filem – filem yang masih dalam sesi penggambaran adalah Sejoli (arahan Osman Ali) dan Gila Baby (arahan Kabir Bhatia).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Songlap Meneruskan Tayangan Antarabangsa

Pertandingan Penulisan Ebook Pertama Di Malaysia