in ,

Pelakon Wanita Terkenal di Slot Citra TV2

Slot Citra Di TV2 Sepanjang Mei Ini Tampilkan Pelakon Wanita Terkenal

Penghargaan kepada kaum wanita sepanjang Mei ini dengan sambutan Hari Ibu yang diraikan masyarakat seluruh dunia. Jasa dan pengorbanan seorang wanita diangkat RTM dengan menjanjikan tayangan drama-drama terbaik mengisi Slot Citra, setiap Selasa, jam 10.00 malam di TV2 yang membariskan pelakon-pelakon wanita terkenal tanah air.

Kemunculan pelakon Nasha Aziz, Umie Aida, Wan Sharmila, Bety Benafe dan Juliana Evans membintangi drama Diari Bella (1 Mei 2012), Sepatu Merah Sepasang (8 Mei 2012), Arah Lain Ke Syurga (22 Mei 2012) dan Puteri Pulau Tuba (29 Mei 2012) pastinya dinantikan semua peminat mereka dalam membawakan watak seorang wanita yang cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan kehidupan.

Babak dalam Jalan Lain Ke Syurga

Kisah Diari Bella yang menyaksikan lakonan mantap Nasha Aziz bersama Betty Benafe, Qiela Malik, Zulkifli Ismail, Kismah Johar dan Tony Eusoff mengangkat watak Bella yang disangka mengalami masalah mental lantaran suami dan anaknya, Karina dibunuh dengan kejam oleh sekumpulan samseng.

Ketika bertugas sebagai pengasuh di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak. Bella bertemu seorang anak yatim bernama Tina yang kematian ibu dan ayahnya akibat kemalangan di England. Tina dijaga oleh ibu saudaranya, Alia yang dalam diam rupanya mendera Tina. Bella cuba menyelamatkan Tina dengan membawa lari kanak-kanak tersebut. Namun sebaliknya Bella pula didakwa menculik Tina.

Khas Hari Ibu, saksikan drama Sepatu Merah Sepasang terbitan Rumah Karya Citra arahan Erma Fatimah kisah tentang pengorbanan seorang ibu yang membesarkan anaknya dengan serba kekurangan di lorong-lorong. Anaknya, Bulan sedaya upaya mahu menggembirakan hati ibunya yang semakin tua.

Pada Hari Ibu, Bulan berhasrat mahu memberikan hadiah yang istimewa buat ibunya. Tetapi hasratnya kecundang apabila sekumpulan samseng merampas duit yang dipinjam daripada majikannya. Hadiah yang dibeli untuk ibunya turut dirampas. Demi menyelamatkan hadiah tersebut Bulan telah dilanggar oleh sebuah kereta. Drama ini lakonan Umie Aida, Zamarul Hisham, Ku Haris, Afi dan Beety Rahmad.

Saksikan kemudiannya drama Arah Lain Ke Syurga dibintangi oleh Wan Sharmila, Aznah Hamid, Norman Hakim, Kenchana Dewi dan Tan Mei Ling berlatarkan cerita Qaseh yang melarikan diri untuk berkahwin dengan Haikal. Namun sebenarnya Haikal memiliki niat jahat dan telah merogolnya.

Qaseh diselamatkan oleh sepasang suami isteri berbangsa India bersama anaknya yang masih kecil. Berlaku kejadian yang tidak diingini apabila mereka terlibat dengan kemalangan yang menyebabkan suami isteri itu meninggal di tempat kejadian. Bayi mereka terselamat dan Qaseh menjaga anak itu dengan penuh kasih sayang. Anak itu diberi nama Soraya. Setelah beberapa tahun berlalu, Soraya dijejaki oleh neneknya, Prema.

Puteri Pulau Tuba pula mengisahkan enam orang sahabat yang menyertai aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh sekolah ketika musim cuti persekolahan. Perkhemahan ini diadakan di Pulau Tuba.

Mereka sememangnya menyimpan impian untuk ke Pulau tersebut yang kaya dengan sejarah dan keindahannya. Tetapi berlaku kejadian yang tidak diingini apabila Ari tiba-tiba hilang. Apakah yang berlaku pada Ari? Adakah impian untuk bertemu Puteri Pulau Tuba menjadi kenyataan? Drama ini lakonan Juliana Evans, Amin Abu Bakar, Faizal Husein, Enka Farhana, Ruminah Sidek dan Finie Don.

Telemovie Puteri Pulau Tuba

Telemovie Sepatu Merah Sepasang

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rita Rudaini Minta Aidil Zafuan Beri Alasan Cerai

Profile Rahim Maarof The Godfather Of Rock