in

Gossip Vokalis Band Masih Tak Serik

Tak serik, masih dengan perangai lama

SETIAP orang ada selera berbeza dalam hidup. Kalau ada suka makan nasi, ada juga yang suka makan piza dan lain-lain lagi. Begitulah juga cita rasa kita terhadap muzik kerana masing-masing ada artis pilihan sendiri.

SS tahu ramai meminati dua kumpulan hebat yang bergabung semula mengadakan konsert, baru-baru ini. Ramai yang kata mereka hebat walaupun semakin berusia. SS memang tabik dengan kehebatan mereka. Sebut pasal mereka ini, SS teringat satu lagi kumpulan yang tidak kurang popularnya. Walaupun nama mereka tidak sehangat dua kumpulan tadi, SS akui mereka ada kelompok peminat tersendiri kerana konsep muzik dibawakan agak berbeza.

Pada zaman kegemilangan mereka, anggota kumpulan ini boleh dikatakan hidup mewah kerana selain album laris, mereka juga laku di pentas. Boleh dikatakan mereka pukul habis kumpulan lain kerana sangat laris di mata penganjur fun fair. Namun, apabila popular, kumpulan ini juga menghadapi masalah hingga terpaksa menyaksikan pengunduran diri penyanyinya yang menjadi nadi utama mereka. Namun, kumpulan ini tidak patah semangat lalu mengambil penyanyi lain bagi menggantikan tempat penyanyi tadi dan usaha mereka berjaya. Bekas penyanyinya pula tubuhkan kumpulan lain, tapi kurang diterima peminat.

Dalam pada itu, pergolakan juga berlaku sesama mereka hingga menyaksikan anggotanya mengundur diri. Nak jadi cerita, tiba-tiba kumpulan ini ada masalah dengan penyanyi baru, lalu dia dikeluarkan. Secara kebetulan, penyanyi asal dan anggota yang menarik diri sebelum ini, sepakat bergabung bagi menaikkan semula kegemilangan mereka. Berita ini disambut dengan gembira peminat setia kumpulan ini. SS pun seronok kerana sangat meminati mereka.

Mula-mula memanglah semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan mereka kembali menggegarkan pentas konsert di seluruh pelosok dan ceruk negara. Tapi SS dimaklumkan, penyanyi asalnya tidak serik-serik apabila mengambil bahan terlarang. Natijahnya, dia buat satu perkara yang tidak elok baru-baru ini dan namanya kembali dipandang negatif peminat.

Pada masa sama, kumpulan ini ada banyak undangan show yang perlu dilunaskan, sedangkan penyanyi utamanya masih berdepan masalah. Akhirnya, mereka cuba mendapatkan bantuan penyanyi lain tapi agak sukar kerana semuanya ada komitmen sendiri. SS tidak dapat bayangkan kekecewaan peminat dengan apa yang berlaku. Penganjur pula mestilah bengang kerana lain yang mereka harap, lain pula jadinya. Pastinya, kumpulan ini akan memikirkan jalan terbaik untuk memastikan masalah ini tidak berulang lagi kerana jika tidak, nama mereka juga yang buruk di mata peminat.[Harian Metro]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Hiasan

Gossip Artis Kaki Lewat

Pawn Stars on History Channel