in ,

Drama Hati Seorang Perempuan Lakonan Zarina Zainuddin

HATI SEORANG PEREMPUAN DI TV1 (8 MEI INI)

Hati wanita diumpakan seperti kerak nasi. Apabila dicampur sedikit air maka lembutlah ia. Meskipun hatinya pernah disakiti dan kecewa teramat sangat akibat perbuatan lelaki namun dengan nasihat dan pujukan mampu mencairkan perasaannya untuk memaafkan. Apatahlagi jika kemaafan itu bisa mengundang kebahagiaan anak tersayang yang mengharapkan ibu dan ayahnya bersatu kembali membina semula hubungan yang terpisah.

Episod-episod sedih konflik kekeluargaan ini melatari drama mengisi slot Panggung 1 bertajuk Hati Seorang Perempuan pada 8 Mei 2010 (Sabtu), jam 3.05 petang di TV1 yang menyaksikan gandingan akonan hebat dan penuh penghayatan Aman Graseka, Azzarima, Zarina Zainuddin, Nik Zaris Nelydia dan Liza Abdullah.

Disiarkan khas meraikan Hari Ibu yang disambut 9 Mei ini, drama ini mengangkat kisah Dr. Razman seorang pakar jantung. Dia berada dalam keadaan dilema ketika berhadapan dengan anak kandungnya, Julia.

Selama ini dia tidak tahu dan tidak pernah kenal anaknya itu kerana Dr.Razman telah terpisah dengan isteri pertamanya, Hanisah. Hanisah warganegara Indonesia yang dipaksa kembali ke negaranya oleh keluarganya kira-kira enam belas tahun yang lalu.

Sepanjang tempoh perpisahan itu, Dr. Razman telah berumahtangga lagi dengan Dr.Shuhada juga seorang pakar jantung. Malah mereka hidup aman damai setelah dikurniakan seorang cahaya mata bernama Adam.

Takdir menentukan Julia melancong ke Malaysia ditemani oleh ibu saudaranya, Bibik Haryanti. Julia tiba-tiba jatuh sakit. Julia menjalani rawatan dan menjadi pesakit Dr. Razman, jantung Julia didapati bermasalah (jantung berlubang) yang perlu dibedah dengan segera.

Pertemuan semula di antara Dr.Razman dan Hanisah, barulah Dr.Razman tahu bahawa Julia adalah anak kandungnya. Dr.Razman menyalahkan dirinya kerana selama ini dia tidak mencari Hanisah dan Julia yang telah kembali ke agama asalnya Kristian.

Haji Baharum, ayah Dr.Razman telah memainkan peranannya untuk mengembalikan Hanisah kepada Dr.Razman dan bertaubat kembali ke jalan Allah.

Dr.Shuhada pula dengan rela berkorban untuk hidup bermadu demi mengembalikan semula Hanisah dan Julia ke jalan Allah dan memberi peluang kepada Dr.Razman untuk menebus kesalahannya.

Begitu pun masihkah ada kesempatan buat mereka untuk membina bahagia sebagai sebuah keluarga? Bagaimana pula tentang kesihatan Julia? Adakah dia masih diberikan kesempatan untuk hidup dan merasai kasih sayang seorang ayah? Justeru pastikan anda melaungkan masa menyaksikan Hati Seorang Perempuan pada 8 Mei 2010 (Sabtu), jam 3.05 petang di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Jom Menonton Filem Diary Of A Wimpy Kid

Drama Seharum Al Zahra Lakonan Nasir Bilal Khan, Elly Mazlin