in

CSI: Crime Scene Investigation Musim ke-7

CSI: Crime Scene Investigation Musim ke-7 bakal keudara di ntv7

Jalan cerita francais asal Jerry Bruckheimer iaitu CSI yang sarat dengan elemen jenayah, muslihat dan misteri digabungkan dengan pengetahuan sains ternyata berjaya menarik minat penonton selama enam musim.

Berikutan sambutan hebat daripada penonton selama ini, semestinya peminat CSI tidak ingin terlepas menonton Crime Scene Investigation musim 7 yang akan keudara di stesen televisyen percuma buat pertama kalinya melalui ntv7 setiap Ahad, jam 10.00 malam, mulai 29hb Ogos 2010 untuk 24 episod.

CSI

Siri drama yang telah meraih nominasi Emmy di Amerika Syarikat serta merupakan siri asal dalam francais nombor satu di dunia ini mengisahkan pasukan penyiasat forensik yang dilatih khas untuk menangani jenayah dengan mengkaji bukti.

Pasukan ini yang diketuai Gil Grissom (William Petersen), penyelia syif di Makmal Jenayah di Las Vegas, sentiasa berusaha menyelesaikan kes tanpa mengira masa – meneliti tempat kejadian dan mengumpul bukti yang tidak dapat disangkal sambil mencari apa sahaja yang mampu menyelesaikan misteri.

Pasukan itu termasuk Catherine Willows (Marg Helgenberger), seorang ibu tunggal kepada seorang anak perempuan remaja; Warrick Brown (Gary Dourdan), penganalisis yang berpengetahuan mendalam tentang dunia perjudian; Nick Stokes (George Eads), seorang jejaka lurus yang kerap bersimpati dengan mangsa berasaskan pengalamannya sendiri; Sara Sidle (Jorja Fox), seorang penyiasat yang berdedikasi dengan sikap ingin tahu mendalam yang menaruh perasaan terhadap Grissom; dan Greg Sanders (Eric Szmanda), penganalisis teknikal yang menjadi penyiasat.

Ahli pasukan CSI juga bekerja rapat dengan Kapten Jim Brass (Paul Guilfoyle), bekas ketua polis yang kini ditugaskan kepada bahagian homisid, dan Dr Albert Robbins (Robert David Hall), pemeriksa medikal yang senantiasa profesional.

Mereka turut disokong oleh David Hodges (Wallace Langham), seorang juruteknik makmal dengan pengkhususan dalam mengesan dan analisis bahan asing, dan Sofia Curtis (Louise Lombard), seorang bekas polis yang menjadi penyiasat forensik tetapi berikutan kekecewaannya dengan politik di bahagian makmal, dia kembali menjadi polis.

Pasukan CSI meneliti setiap jenayah yang berlaku di seluruh pelosok Vegas, termasuk pembunuhan, bunuh diri, rompakan, dan kes jenayah berat yang lain. Di bawah pengawasan Grissom, mereka memanfaatkan kaedah saintifik terkini serta cara konvensional untuk menyelesaikan kes. Ikrar mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat sentiasa menjadi dorongan masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

CSI

CSI musim ketujuh membuka tirainya dengan Kapten Jim Brass yang hampir kehilangan nyawa di penghujung musim keenam. Berkat jagaan rakan-rakannya, Brass akhirnya sembuh setelah sebutir peluru dikeluarkan dari dadanya. Dia kemudiannya dianugerahkan pingat.

Gil Grissom mula menerima replika miniatur kes jenayah yang disiasatnya daripada seorang pembekal maklumat misteri yang rupanya adalah seorang pembunuh. Grissom kemudiannya berehat dari tugasnya seketika, meninggalkan anak buahnya dibawah penjagaanahli CSI yang baru: Michael Keppler (Liev Schreiber) yang penuh berahsia.

Sementara itu, Catherine Willows menjadi mangsa perniagaan haram ayahnya di awal musim. Setelah menghabiskan masanya di sebuah kelab malam, keesokan paginya dia terkejut apabila tersedar di sebuah rumah tumpangan. Semua petanda menunjukkan dia telah diberi dadah dan dirogol sebelum itu.

Di pertengahan musim ini juga Lindsey telah diculik dan pasukan itu berusaha sedaya-upaya untuk menyelamatkannya. Catherine juga kehilangan ayahnya. Selain masalah keluarga yang dialami Catherine, dia juga perlu menentang seorang mafia bernama Mickey Dunn yang pernah dia jumpai sebelum ini.

Greg Sanders pula menjadi mangsa keganasan sebuah geng samseng . Ketika cuba untuk menyelamatkan nyawa seseorang dalam kekecohan yang ditimbulkan sekumpulan remaja, Greg tidak sengaja terbunuh salah seorang daripada mereka.

Dengan gabungan pelbagai elemen yang tepat untuk merungkai pelbagai misteri jenayah, penonton pasti akan terpukau dengan drama Crime Scene Investigation di ntv7, Saluran Ceria Anda, pada setiap Ahad, bermula 29hb Ogos 2010, jam 10 malam.

CSI

CSI

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Journey of Love Gillian Chung

Gambar Awal Ashaari di The Big F&N Fest 2010