in ,

Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Menonton THE MUMMY

Makin tua makin menjadi. Nampaknya pelakon Tom Cruise masih bertahan malah makin mantap dengan lakonan yang penuh karisma. Bukan sahaja lakonan hebat malah Tom Cruise mampu meningkatkan profil kariernya dengan menjadi penerbit dan pengarah.

Terbaru dalam filem THE MUMMY, saya dapat lihat kehebatan pelakon yang mencecah usia 54 tahun ini beraksi.

THE MUMMY

Tanggal 7 Jun, Budiey ada menonton filem THE MUMMY di tayangan malam premiere yang berlangsung di TGV Sunway Pyramid.

Setelah menonton keseluruhan filem ini, ianya memang berlainan walaupun ia adalah pembikinan semula filem THE MUMMY. Filem ini lebih kepada elemen seram yang mengujakan penonton sebenarnya. Banyak kali juga Budiey tersentak ke belakang sebab terkejut.

Garis masa THE MUMMY tidak lagi berlangsung pada awal 1900-an, sebaliknya berlangsung pada masa sekarang. Filem ini mengisahkan Nick Morton, seorang sarjan dalam tentera Amerika yang bertugas di Iraq. Walaupun beliau seorang tentera, beliau mempunyai “kerja sambilan” iaitu mencari dan merompak artifak lama atau harta karun untuk dijual di pasaran gelap.

Filem ini bermula dengan pencarian harta karun olehnya dan rakan seperjuangannya, Korporal Veil di suatu tapak Mesir purba di Iraq menggunakan satu peta yang dicurinya dari seorang arkeologis bernama Jenny Halsey. Setelah tapak tersebut ditawan, mereka dan Jenny (yang tiba di tempat tersebut) menjumpai sebuah tapak kubur seorang firaun wanita bernama Ahmanet di mana kerandanya ditenggelamkan dalam kolam berisi raksa, dipercayai untuk mengurangkan kuasa mistiknya.

Akibat perbuatan kejam Ahmanet, beliau telah dikuburkan hidup-hidup di satu lokasi yang jauh dari Mesir. Namun, berikutan kecuaian Morton, Ahmanet bebas daripada kurungan.

Nick dan Veil telah disumpah menyebabkan kapal terbang mereka dijatuhkan oleh sekumpulan besar burung yang terbang melanggar kapal terbang mereka. Walaupun Jenny diselamatkan menggunakan payung terjun, Nick tidak sempat keluar dan mati. Anehnya beliau terjaga di bilik mayat tanpa sebarang kecederaan.

Apakah yang berlaku kepadanya? Mengapa beliau tidak cedera? Apa pula peranan Ahmenet dalam semua ini? Untuk mengetahui kesudahannya, anda kenalah menonton filem ini di pawagam berhampiran.

JALAN CERITA YANG MUDAH DIFAHAMI

Jika diamati betul-betul, alur cerita The Mummy mudah dinikmati dan senang untuk dihadam.

Pertama sekali, sejak awal lagi para pembikin filem ini telah mendedahkan bahawa filem The Mummy ini adalah sebahagian dari Dark Universe di mana filem-filem seperti Frankenstein dan The Invisible Man bakal dimasukkan dalam Universe ini. Ini bermakna raksasa tersebut bakal berkait antara satu dengan lain.

Malah watak Dr Jekyll muncul dalam filem ini sebagai ketua pertubuhan yang melawan raksasa yang dipanggil Prodigium. Ini adalah usaha Universal Studios untuk mewujudkan satu francais filem yang terdiri dari beberapa watak raksasa yang berada dalam dunia yang sama di mana Prodigium merupakan pertubuhan melawan kejahatan dalam Universe tersebut. Dengan kata lain ia seperti SHIELD dalam Marvel Universe, tapi Universe ini dibikin oleh Universal Studios.

Tom Cruise film set

AKSI DAN LAKONAN YANG MANTAP

Lakonan Sofia Boutella yang sebelum ini terkenal dengan watak antagonis sememangnya harus dipuji kerana ia berjaya dibawa dengan baik sekali. Mungkin kerana fizikal badan yang sangat sesuai dengan tindakan yang cukup licik dan kejam. Tom Cruise pula berjaya membawa karakter Nick selaku askar yang punya sisi watak baik.

Melihat kepada kredibiliti dan mutu lakonan Sofia Boutella, saya menjangkakan nama beliau akan melonjak naik selepas ini. Keserasian berlakon bersama legenda ternama Tom Cruise dan Russelll Crowe pastinya menjadi penanda aras dalam karier Sofia Boutella. Bukan mudah nak dapatkan peluang macam ni. Sekarang ini pun, nama beliau dah pun disebut-sebut dan mendapat perhatian daripada peminat seluruh dunia.

Pujian juga seharusnya diberikan kepada CGI yang digunakan di mana kesan khas untuk menjelmakan Putri Ahmanet cukup realistik. Kalau korang tonton betul-betul, kita dapat lihat perbezaan yang sangat ketara dari filem Michael Bay sebelum ni. Kesan khas yang digunakan bukan mudah untuk dibuat. Agak sukar dan memerlukan kepakaran. Hasilnya… kita dapat lihat aksi yang real di depan mata.

Apa-apa pun, unsur pertarungan yang dipaparkan membuatkan saya terkejut dan menontonnya daripada celahan jari terutama ketika babak dikejar mayat hidup yang dibangkitkan Ahmanet. Begitu juga adegan kapal terbang yang meluncur laju ke arah bumi.

Apa yang Budiey suka dengan filem ini adalah kerana aksi-aksi yang ditonjolkan. Budiey percaya ramai yang nak tonton aksi lanjutan yang disiarkan dari trailer filem ini. Babak-babak aksinya pendek dan agak cepat tapi ia sangat mendebarkan.

Oh ya, satu lagi nak cakap, watak Veil lakonan Jake Johnson dalam filem ini ada part tu sangat kelakar dan buat kita sendiri tergelak. Itu yang buat kita akan enjoy menontonnya.

Sebagai filem pembuka, THE MUMMY mampu memancing rasa minat saya untuk menonton dan mengetahui lebih lanjut lagi tentang kisah Dark Universe. Salah satu sebab saya teruja untuk menonton kerana beberapa watak lagi akan ditampilkan dalam filem rangkaian Dark Universe. Apa yang membezakan ialah Dark Universe tidak menggunakan tema adiwira.

The Mummy 2017 adalah sebuah filem yang menghiburkan, jadi saya cadangkan korang menonton filem ini bersama rakan-rakan jika anda mempunyai masa lapang. Selamat menonton!

Tom Cruise film set

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia X Lancar Peraduan Fly High & Dapatkan Ganjaran

Senarai Pemenang Peraduan SMS Menang Pengubahsuaian Dapur