in , ,

Program Aidiladha di TV Alhijrah Dengan Slogan ‘Jemputan Haji’

Bersempena dengan sambutan Aidiladha yang akan tiba tidak lama lagi, saluran TV AlHijrah akan menyajikan pelbagai program-program menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk mengekalkan tradisi sebagai sebuah stesen televisyen utama di Malaysia yang meraikan hari kebesaran Islam yang penuh falsafah kehidupan untuk dihayati.

“Menaikkan slogan Jemputan Haji pada tahun ini, TV AlHijrah istiqamah meneruskan agenda dakwahnya melalui beberapa program dirangka khas untuk mencetuskan rasa syukur jemaah atas takdir terpilih ke tanah suci.

“Selain itu, rasa pengharapan kepada undangan Allah buat mereka yang belum berkesempatan menjadi tetamu-Nya dan mendorong keinginan penonton semua untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah apabila berkemampuan,” jelasnya.

Program Menarik Sempena Aidiladha di TV Alhijrah Dengan Slogan Jemputan Haji

Namanzee berkata, antara program adalah seperti Program Cinta Ilmu Aidiladha melalui tiga segmen Islam, Iman dan Ihsan yang akan ke udara pada Isnin hingga Rabu, pukul 7.30 malam.

Menurutnya, program bual bicara Labbaikallah pula dikekalkan bagi mengundang nostalgia mereka yang pernah menunaikan ibadah ini mahupun mereka yang baru menerima jemputan pada tahun ini agar dapat mengubat rindu terhadap Baitullah serta mengimbau detik indah ketika melakukan persediaan awal hinggalah Hari Tasyrik. 

“Mulai bersiaran setiap hari bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini pada pukul 9 malam, program Labbaikallah kali ini akan mengundang barisan ustaz jemputan iaitu Ustaz Jafri, Ustaz Rozi, Ustaz Zarifi, Ustaz Zul Ramli, Ustaz Hanafiah, Ustazah Muzayyanah dan Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Fazrul sebagai pentadabbur serta qari Ustaz Tarmizi dan Tilmiz Fahmi.

“Manakala Peristiwa Haji yang bakal disiarkan pada malam raya pukul 10.30 malam pula bertujuan mengajak penonton mengimbas kembali peristiwa-peristiwa di sebalik ibadah haji, untuk diekstrak iktibar darinya sebagai panduan kehidupan, diteruskan pada tahun ini atas permintaan penonton diharapkan dapat melorongkan masyarakat kepada hasil didikan ibadah ini iaitu hidup bersatu dalam harmoni,” ujarnya.

Sementara itu, kempen haji tahun ini juga diimarahkan dengan program Siaran Langsung Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2023 yang telah bermula dari 11 Jun 2023 hingga 16 Jun 2023 ini di mana Pulau Pinang menjadi tuan rumah.

Jelasnya, Program Munajat Arafah berdurasi dua jam yang akan disiarkan pada 28 Jun, pukul 12.30 tengah hari hingga 7.00 malam pula akan membawa penonton bermunajat kepada Allah dan memperingati kelebihan Hari Arafah. 

“Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti Hijrah Berselawat Istimewa Aidiladha, Gema Haflah Istimewa Aidiladha, Program Barakah, program Rehlah Ibrahim dan Seikhlas Hati.

“Dalam pada itu juga, TV AlHijrah turut juga membariskan beberapa program malar segar seperti Kapsul Ibadah Haji, Al-Haramain, Interaktif Haji, Ustaz Pilot, Tangisan Baitullah yang telah dimulakan siarannya sejak 22 Mei lalu. Selain itu, Sembang Haji yang membincangkan isu-isu haji dan menjawab persoalan serta tanda tanya dalam kalangan masyarakat juga diteruskan untuk terus menjadi rujukan para jemaah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, program-program yang diatur ini diharapkan dapat membentuk sebuah masyarakat yang kaya ilmu, bertamadun dan berjaya menjadi sebuah negara yang mendapat suluhan wahyu-Nya di mana kemanusiaan dan nilai-nilai murni seperti tadbir urus yang adil dan berkesan melalui enam nilai teras iaitu kelestarian, kemakmuran, inovasi, hormat-menghormati, amanah dan belas mekar selari dengan suburnya pertumbuhan pohon tamadun itu sendiri.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

RAINFOREST

Rainforest World Music Festival 2023 Tawan Penonton Dengan Artis Hebat

Yayasan Ikhlas Bantu Adik Hafiz Yang Kini Menderita Sakit Saraf