in ,

Detik Sweet Fattah Amin Lancar Produk MRP KACAU KACAU KENYANG Bersama Isteri

REZEKI… Memegang takhta selaku pelakon lelaki paling popular, Fattah Amin bijak memanfaatkan peluang keemasan tersebut untuk melebarkan perniagaan yang diceburi sejak beberapa tahun lalu.

Bertemu dengan aktor berusia 28 tahun itu, hero filem KL Special Force ini berharap agar sebuah syarikat miliknya mampu mencatatkan hasil jualan agresif dalam mencapai misi untuk memiliki empayar perniagaan yang kukuh.

Detik Sweet Fattah Amin Lancar Produk MRP Bersama Isteri Sumber Inspirasi

“MRP Diet Sdn. Bhd. adalah milik saya sepenuhnya dan ia telah pun berjaya mengeluarkan produk pertamanya berupa sup segera yang dihasilkan dalam tiga pilihan perisa utama iaitu tom yam, cendawan dan ayam.

“Menariknya, ramuan sup ini diperbuat daripada bahan organik yang berkhasiat tinggi sekali gus menggalakkan usaha kempen pemakanan sihat dan seimbang bagi menghindari pelbagai jenis penyakit,” jelas Fattah.

Bekas finalis pertandingan jejaka kacak Hero Remaja 2011/2012 yang berasal dari Kuala Lumpur itu menyatakan demikian ketika ditemui pemberita sewaktu majlis pelancaran produk tersebut yang diadakan di ibu kota semalam.

Memperkenalkan slogan menerusi tanda pagar #kacaukacaukenyang, Fattah yang juga suami aktres Nur Fazura berhasrat formula perniagaannya itu dapat mengorak langkah lebih cemerlang dan gemilang pada tahun ini.

Bagaimanapun kesibukan dengan urusan bisnes kini menyebabkan beliau terpaksa berehat seketika daripada menerima sebarang tawaran lakonan bagi memberi ruang untuk memberi tumpuan kepada perniagaannya.

Sejak Januari lalu, Fattah dipetik media tempatan memaklumkan tidak membuat komitmen bagi sebarang sesi penggambaran kerana ingin memberi ruang untuk dirinya meneroka hal-hal lain di luar lapangan seni lakonan.

“Setakat ini, saya tidak ambil tawaran berlakon kerana perlu selesai beberapa komitmen lain. Antaranya memberi tumpuan terhadap jenama diet, MRP Diet Soup yang baru dilancarkan,” kata Fattah kepada Sinar Harian.

Selain perniagaan sup yang dapat mengurangkan berat badan, pelakon tersebut juga sedang sibuk mengusahakan sebuah ruang acara untuk disewakan menerusi penubuhan Stalkers Cafe Event Space.

“Pada masa sama, Alhamdulillah, tempahan ruang majlis yang kami terima begitu menggalakkan. Malah kami juga turut merancang untuk melakukan showcase akustik istimewa. InsyaAllah, Fazura pun akan turut serta.”

Satu-satunya komitmen berhubung industri seni yang mampu diambil oleh Fattah adalah sebuah sesi promosi filem aksi lakonannya, KL Special Force yang bakal ditayangkan di seluruh negara pada bulan depan.

Dalam filem genre aksi lasak turut dibintangi aktor popular Rosyam Noor dan Syamsul Yusof itu, Fattah memainkan watak berlainan daripada karakter romantik yang selalu dilakonkannya sebelum ini.

“Ada beberapa adegan memerlukan saya buat lagak sukar dan ekstrem yang dilakukan pelagak ngeri,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton drama televisyen lakonan Fazura, Janji Zehan di GSC Signature baru-baru ini.

Dengan jamuan perkahwinannya dengan Nur Fazura yang bakal menjelang, jadual pasangan berkenaan semakin sibuk. Justeru, Fattah berkata beliau “kena susun jadual supaya tidak kelam-kabut”.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kesan ‘Water Retention’ Hamil, Kaki Siti Nurhaliza Jadi Comel

“Kalau Tak Suka, Kenapa Tengok?” – Fattah Amin