in ,

Dakwah Penuh Kasih Sayang Dalam USRAH HIKMAH

Di dalam usrah adanya hikmah dan berlakunya proses pemindahan pengalaman antara seorang mu’allim dengan murabbi yang bersumberkan Al-Quran, As- Sunnah dan terikat dengan jadual masa secara bertahap dan terarah.

Kemanisan usrah diperolehi bila ianya disampaikan umpama dalam satu keluarga. Kita bayangkan satu situasi apabila lemah ada orang tolong, ada orang sokong kita, beri kasih sayang dan sebagainya. Teruskan sebarkan dakwah dengan kasih sayang, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi tayangan program “Usrah Hikmah” yang disiarkan mulai 2 Ogos ini, setiap Jumaat, pukul 11.30 pagi menerusi TV1.

Kelaianan diberikan menerusi program ini kerana mesej yang ingin disampaikan dalam bentuk sketsa / lakon semula dan tajuk berbeza dalam setiap episod. Ia turut menampilkan pengacara Imam Muda Omar Mokhtar menemubual penceramah undangan mengupas topik tertentu antaranya bersama-sama Ustaz Mohamad Akmal Aziz, Dr.Elmi Bahruddin, dan Ahmad Azmi Haji Hassan.

usrah hikmah di TV1

Ikuti perkongsian sketsa bertajuk ‘Sepandai-pandai Tupai Melompat’ yang membawakan kisah seorang pekerja sebuah restoran yang mengkhianati kepercayaan tuannya. Pekerja yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga peti wang restoran itu bersikap tidak amanah dengan mencuri wang tanpa menyedari bahawa perbuatannya itu dirakam melalui CCTV. Tokoh agama yang diundang telah memberikan nasihat tentang keburukan sifat-sifat khianat sambil memberikan bukti-bukti yang diambil daripada ayat Al-Quran.

Seterusnya dalam sketsa yang bertajuk, ‘Mimpi Tak Selalunya Indah’ mengaitkan sikap sepasang suami isteri yang terlalu mementingkan harta benda sehingga menjadi lalai dan leka dalam kehidupan. Bagi mereka kemewahan seperti wang, kereta besar dan rumah mewah adalah segala-galanya sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.

perkongsian dalam Usrah Hikmah

Akhirnya mereka ditimpa musibah akibat mengamalkan rasuah. Seorang tokoh agamawan lantas menjelaskan tentang keburukan sikap tersebut dan mengajak masyarakat merujuk panduan-panduan yang terkandung dalam Al-Quran serta mengamalkan sikap hidup yang mulia.

Menarik dalam tajuk ‘Hitam-hitam Si Tampuk Manggis’ yang menggambarkan perbuatan membuli orang yang lemah oleh sekumpulan remaja. Walau bagaimanapun, pada suatu hari budak yang menjadi mangsa buli itu telah berjasa membantu orang-orang yang telah membulinya. Akhirnya remaja yang menjadi pembuli tersebut menjadi insaf atas perbuatan mereka dan mengakui bahawa seseorang yang sering dianggap lemah sebenarnya sangat berhati mulia dan tidak harus dianiaya.

Berikutnya paparan tentang seorang lelaki yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang tidak bersopan serta tidak memiliki sifat sabar. Pada suatu hari dia telah tidak sengaja terlanggar oleh seorang tua, lantas dia memarahi orang tua tersebut. Tidak berapa lama daripada peristiwa itu pemuda itu perlu berjumpa dengan tuan punya sebuah syarikat dan kebetulan pemilik perusahaan itu adalah orang tua yang pernah dimarahinya dulu. Orang tua itu telah menasihatinya. Adakah dia berasa amat menyesal akan perbuatannya yang tidak sabar dan tidak bersopan itu?

Ada juga perkongsian sketsa yang bertajuk ‘Sejuk Perut Ibu’ dengan mengetengahkan usaha seorang anak kecil mencari rezeki untuk keluarganya dengan menjual keropok dan kertas tisu. Kegigihan kanak-kanak itu seharusnya menjadi iktibar kepada anggota masyarakat yang melihatnya. Sehinggakan ada anggota masyarakat yang berdoa agar Allah akan mengurniakannya seorang anak yang bersikap sedemikian. Penceramah undangan juga telah menyampaikan makna sebaris ayat Al -Quran dalam Surah Saba tentang keklebihan orang-orang yang ikhlas menderma pada hari akhirat kelak.

Ikuti keseluruhan 13 episod program penuh manafaat ini di TV1. 

antara episod Usrah Hikmah

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mencari Pewaris Taekwondo Dalam Filem Korea THE KICK

Kisah Benar Ahli Gusti Wanita Dalam Filem DANGAL