in ,

Terapi Diri Dengan Zikir Buat Hati IF-ONE

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat dan salam buat kekasih yang dirindui Nabi Muhammad SAW.

IF-ONE membawa maksud “KALAU SATU”. Satu nama yang unik mewakili hasrat dan cita-cita tiga orang munsyid iaitu Muhammad Abu Hurairah bin Roslan, Muhamad Firdaus bin Mokhtar dan Fakhrulradzi bin Shahrudin.

IF-ONE

Pada IF-ONE, apabila kita bersatu hati dan mempunyai satu cita-cita, satu matlamat, satu tujuan dan satu ilmu, kita akan hidup dalam keserasian. Yang utama kebenaran itu satu, tidak ada dua dan seterusnya. Jadi andai kita semua bersatu di bawah nama Islam yang sebenar, kita sebenarnya sedang berjuang menegakkan kebenaran.

“Saya telah mengenali IF-ONE dan karya mereka sejak tahun 2013 lagi. Sekitar penghujung 2014, saya terjumpa demo-demo yang mereka naik turun di platform audio Soundcloud. Susunan muzik yang segar dan suara mereka yang harmoni telah menarik perhatian saya. Mereka membawa nafas baru dalam alunan zikir dan jika didengar berulang kali pasti menjadi terapi jiwa”, ujar KC. Ismail selaku Pengurus Imaan Music.

“Setelah berulang kali mendengar demo ‘La Illaha Illa Anta’ di Soundcloud, saya terpanggil untuk menghubungi mereka dan menawarkan peluang merakamkan album di bawah bendera Imaan Music”, tambahnya lagi.

Trio IF-ONE juga tidak pernah menyangka akan mendapat peluang untuk melahirkan sebuah album penuh yang memuatkan pelbagai zikir dan lagu nasyid.

“Syukur kepada Allah kerana telah mengabulkan hasrat kami yang selama ini berkarya melalui muzik sambil menyampaikan dakwah. Tawaran daripada Imaan Music ibarat bulan jatuh ke riba” kata trio IF-ONE.

“Zikir Buat Hati”, judul yang dipilih sebagai tajuk album sulung IF-ONE, kerana kebanyakan zikir-zikir yang dipilih di dalam album ini sangat sesuai sebagai terapi hati kerana dengan menyebut dan memuji nama Allah hati kita akan berasa tenang dan aman.

Album yang memulakan produksi pada awal bulan Januari 2015 ini mengambil masa hampir 6 bulan untuk disiapkan. Mendapat sentuhan komposer dan penerbit baru Samuel Dzul, album ini dilihat memberi angin baru bagi album-album Zikir yang sedia ada di pasaran.

Selain zikir-zikir yang dimuatkan di dalam album ini, turut diselitkan dua buah lagu Nasyid “Perjalanan Hati” dan “Ada Hikmah”. “Perjalanan Hati” merupakan lagu pertama yang dirakam oleh IF-ONE pada penghujung tahun 2013 sebelum mereka mengingat kontrak bersama Imaan Music. Lagu ini juga pernah mendapat putaran tertinggi di radio IKIM FM.

Bagi memberi warna dan kelainan serta meneruskan moto Imaan Music, yakni berdakwah menerusi muzik, album ini turut mengundang dua pendakwah yang tidak asing lagi PU Faiz dan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari. PU Faiz adalah Naib juara Pencetus Ummah musim pertama manakala Ustaz Iqbal Zain adalah pendakwah bebas yang sering muncul di TV Al Hijrah dan merangkap Pemimpin Darul Mujtaba.

Tazkirah pendek yang diselitkan di dalam album ini mengupas tentang kafiat, kisah dan teladan daripada zikir-zikir tersebut yang disampaikan dengan skop yang berbeza oleh PU Faiz dan Ustaz Iqbal.

Antara zikir-zikir yang terkandung di dalam album ini adalah La Illaha Illa Anta, Astagfirullah, Alhamdulillah, Subhanallah serta Asma Mu.

Semoga album ‘Zikir Buat Hati’ ini akan mendapat keredhaan Allah SWT dan menjadi wadah untuk lidah kita sentiasa basah dengan menyebut serta memuji nama sang Khalik yakni Allah SWT.

Allahu Akbar.

TENTANG IF-ONE

Ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Muhammad Abu Hurairah bin Roslan, Muhamad Firdaus bin Mokhtar dan Fakhrulradzi bin Shahrudin.

Mereka bertiga merupakan sahabat baik yang sudah mengenali diri masing-masing sekian lama. IF-ONE merupakan sebuah kumpulan seni budaya Islam yang berkecimpung dalam bidang nasyid dan malah cabang seni yang lain seperti teater serta lakonan.

Ditubuhkan atas dasar ingin sama-sama memberi atas nama Islam mengikut bidang dan kebolehan masing-masing. Namun, mereka semua berkongsi satu minat yang sama iaitu bernasyid.

Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi Azahari Jaafar 017-2370549.

Facebook : https://www.facebook.com/pages/Imaan-Music
Instagram : https://instagram.com/imaanmusic
You Tube : Imaan Music

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jenama Fesyen Terkenal Sempena Kempen GEMILANG Merdeka

Samsung Wins Big at the Putra Brand Awards 2015