in ,

Hafiz Suip Nafi Guna Dadah & Amal Ilmu Hitam

Selepas mengecapi satu kejayaan ke satu kejayaan sejak tahun lalu hingga kini, penyanyi Hafiz Suip sememangnya cukup dikagumi dan menjadi kebanggaan ramai. Selain Hafiz kini dilihat semakin selesa dengan imej rambut barunya, jejaka berusia 23 tahun ini sekarang kelihatan semakin kurus. Lantaran timbul desas desus ada pihak yang mendakwa Hafiz terlibat dengan pengambilan dadah.

Berkesempatan bertemu dengan tuan empunya badan pada persembahan sempena Minggu Setiausaha, ‘A Golden Moment with Hafiz’ di Pusat Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur semalam, anak kelahiran Kuching Sarawak di minta mengulas mengenai dakwaan tersebut.

hafiz-suip-ema

Hafiz memberitahu dia memang dalam proses mengurangkan berat badan kerana mahu menjaga imej dan penampilannya di samping kesan daripada letih bekerja. Bahkan Hafiz berani dan bersedia untuk menjalani ujian air kecing demi membuktikan dia bersih daripada sebarang pengambilan dadah.

“Bila orang tengok kita gembira, mula lah mereka tak senang dengan kita. Kenapa saya nak kena ambil dadah kalau saya tahu yang dadah itu sendiri akan membunuh karier kita. Impak dan kesan pengambilan dadah tu sangat dahsyat. Kenapa saya nak rosakkan diri saya dengan melakukan perkara sebegitu? Kalau ada pihak yang mendakwa saya mengambil dadah, saya bersedia untuk membuat ujian urin. Saya berani katakan yang saya bersih.”

Tidak setakat dakwaan ambil dadah, timbul pula dakwaan kononnya segala kejayaan yang dikecapi hari ini bukan atas usaha gigihnya selama ini sebaliknya dengan cara menggunakan ilmu sihir. Senang kata, Hafiz mengamalkan ilmu hitam untuk untuk mendapatkan tawaran nyanyian juga memenangi pelbagai anugerah.

“Saya amalkan ilmu hitam? Itu mengarut! Bagi saya kalau kita nak cari rezeki biarlah cara yang betul dan diberkati. Kalau saya gunakan ilmu hitam, saya rasa hari ini saya tak jadi penyanyi. Mak ayah saya berpesan, kalau nak sesuatu itu biar atas daya usaha kita sendiri. Apa yang saya kecapi ini atas usaha gigih saya sendiri.”

Bagaimanapun kata Hafiz, dia tidak marah dengan dakwaan tersebut sebaliknya menganggap itu adalah lumrah.

“Biasalah… manusia ni kadang-kadang tak boleh tengok orang lain senang. Mulalah timbul buruk sangka dan andaian yang bukan-bukan terhadap kita.”

Sementara itu, Hafiz turut meluahkan rasa puas hatinya kerana berjaya menghiburkan kira-kira 400 penonton pada persembahan ‘A Golden Moment With Hafiz’. Ini merupakan persembahan minggu setiausaha yang pertama kali buat Hafiz.

Hafiz Suip

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Juliza Adzlizan Kini Bertudung

MTV Umum Penganjuran Video Music Awards 2014