in , ,

Sinopsis Drama Bersiri KARMA SIRI 2 Lakonan Fezrul Khan

Kisah Gejala Sosial, Jenayah dan Salah Laku di kalangan Masyarakat Dalam Drama Bersiri “Karma Siri 2” di TV1. Kisah-kisah masyarakat sememangnya dekat di hati kita. Sedar atau tidak setiap hari berlaku gejala keruntuhan moral dan sosial serta jenayah yang melibatkan individu di kawasan kejiranan mahupun yang terdekat dengan kita.

Paparan yang berlaku dalam kehidupan seharian yang dapat dijadikan pengajaran dan teladan ini dikongsi sama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi drama bersiri Karma yang mengetengahkan tajuk dan episod berbeza setiap minggu mengisi slot Murni, setiap Jumaat, pukul 2.00 petang di TV1.

Sambutan menggalakkan diterima daripada penonton menerusi episod pertama disiarkan 4 April lalu dengan tajuk Akibat Curang, kisah rumahtangga yang berantakan bila si isteri curang bersama lelaki lain.

Fezrul Khan episod Jerat Cinta Kasanova

Ia diteruskan dengan episod Bahana Ecstasy pada 25 April depan berkongsi kisah Mei Mei, pengusaha salun rambut dan juga pengedar dadah jenis ecstasy. Rakannya Bernard banyak membantunya sehingga meminjamkan wang dan membawa Mei Mei ke kancah pengedaran dadah. Bernard juga adalah seorang ah long dan pembekal dadah jenis ecstasy dan syabu.

Mei Mei banyak menghabiskan masa berhibur dengan Bernard sehingga melupakan tanggungjawab menjaga ibunya yang sakit. Mei Mei juga sering bertengkar dengan ibunya dan menyakiti perasaan ibunya. Mei Mei telah terjerat dengan permainan Bernard hingga sanggup pengedar dadah bagi menyelesaikan masalah dibebani hutang bank. Pekerja salun Mei Mei, Mimie dan Ina telah membongkar rahsia pengedaran dadah kepada pihak polis sehingga tertangkapnya Mei Mei di saat ibunya meninggal di hadapan matanya sendiri. Bernard juga diberkas oleh pihak polis di pejabatnya sewaktu membungkus dadah untuk diedarkan kepada pelanggan.

Menampilkan lakonan Faradhiya, Fezrul Khan, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Yaya Aziz, saksikan tajuk Jerat Cinta Kasanova pada 2 Mei depan kisah Zira adalah seorang eksekutif kewangan bagi sebuah syarikat dinaikkan pangkat oleh majikannya sebagai Pengarah Kewangan. Segala rahsia kewangan dan amanah majikan diberikan kepadanya. Sehingga pada satu hari, Zira bertemu dengan Remy seorang kasanova yang sering memeras ugut wanita yang berada di dalam tangannya. Sikap Zira yang tidak amanah yang mengeluarkan wang syarikat di bank dan mengubah wang tunai syarikat ke akaunnya membawa kepada penahanan Zira oleh pihak polis bila majikannya mengetahui Zira tidak amanah.

Tekanan diterima penganggur yang diberhentikan kerja hingga menyebabkannya hilang pertimbangan dan menjadi penyamun pula dibawakan dalam episod Cikgu Nirmala menemui penonton pada 9 Mei depan. Pengajaran berguna boleh dikutip dalam episod ini yang mana sepatutnya seseorang itu berfikir dengan waras sebelum bertindak. Ia dibintangi oleh Zarynn Min, Niezam Zaidi, Zack Taipan, Abby, Zul Handy Black dan Suffian Ariffin.

Isu rasuah berlaku di kalangan orang berkepentingan turut diketengahkan dalam tajuk Duit Kocek pada 16 Mei depan lakonan Nazim, Azriah, Rizal dan Cico Harahap mengisahkan Lumin, bekas pegawai imigresen terlibat dengan rasuah melibatkan urusan kemasukan pekerja asingnya melalui jeti bot. Lumin telah mengambil rasuah daripada Kutai. Lumin dan Kutai akhirnya diberkas oleh pihak SPRM kerana memberi dan menerima suapan rasuah.

Tajuk yang pastinya hangat dan patut ditonton, Ah Long disiarkan pada 23 Mei depan dilakonkan oleh Farid Amirul, Kou Siu See, Koo Chee Sing, Ong Kok Hood dan Sie Geog Ping. Saksikan bagaimana kekayaan sementara yang diterima bila berhutang dengan ceti haram yang akhirnya mengundang bala kepada peminjam. Turut diselitkan pengajaran diterima isteri apabila memaksa suami berbelanja di luar kemampuan sendiri hingga mengakibatkan berlaku pembunuhan.

Saksikan juga tajuk-tajuk lain yang menarik antaranya pistol mainan; isu menyamun menggunakan pistol mainan, baran; kisah suami kaki pukul isteri dan tajuk tonto; kisah Ah Yong berkhidmat sebagai tonto menyebabkan dia terpaksa menganggu tugas-tugas pegawai penguatkuasa yang masuk ke kawasan mereka menjual.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Jelajah Rio To Malaysia di Melaka Dapat Sambutan

Isu Pakai Tudung Raja Azmi Tetap Dengan Pendirian