in ,

Usop Juara Mingguan, Balqis & Along Tak Jadi Disingkir

Debaran menanti keputusan siapakah yang berjaya mara ke separuh akhir reda apabila tiada penyingkiran diumumkan di konsert battle kelapan Mentor Milenia 2017 yang berlangsung pada hari Ahad lepas. Balqis dan Along, dua protégé yang menduduki tempat tercorot terselamat daripada penyingkiran dan masih berpeluang untuk bersaing di pentas Mentor Milenia 2017!

Battle kelapan tersebut juga menyaksikan protégé Hazama iaitu Usop dinobatkan sebagai juara mingguan. Selain dikatakan mempunyai bakat menyanyi semula jadi, Datuk Hattan turut memuji protégé dari Kedah ini kerana mampu menghayati lagu yang disampaikan dengan baik sekali.

Akim, Hazama, Black Dan Tomok

“Usop merupakan persembahan vokal terbaik malam ini! Saya sudah mula meminati anda dan Insya Allah akan terus mengikuti perkembangan Usop dari semasa ke semasa.” komen Yasin Sulaiman selaku juri jemputan di konsert minggu lalu mengenai persembahan Usop yang menyanyikan lagu berjudul “Menahan Rindu” (nyanyian asal Wany Hasrita). Meskipun penyanyi asal lagu tersebut ialah seorang wanita, Usop berjaya membawa lagu tersebut dengan penuh perasaan.

Persembahan memuaskan daripada setiap protégé telah memberi peluang sekali lagi kepada Balqis (Hazama) dan Along (Tomok) yang terselamat dari penyingkiran sekaligus melayakkan mereka untuk berentap di pentas separuh akhir bersama-sama Usop (Hazama), Elica (Akim), dan Syeera (Black). Kedua-dua orang protégé ini berada di kedudukan terbawah selama dua minggu berturut-turut.

Usop juara mingguan, Balqis dan Along terselamat daripada penyingkiran

Menurut Tomok, “Sebenarnya, saya tidak pasti kenapa Along berada di tangga tercorot setiap minggu kerana bagi saya, Along telah berjaya melakukan persembahan yang baik sekali. Saya percaya dengan bakat Along dan betul-betul mengharapkan protégé saya ini akan mara ke peringkat separuh akhir.”

Bagi Hazama pula, dia berpendapat bahawa Balqis berjaya membuat sebuah persembahan pembukaan dengan bagus. “Sebelum ini, kita sudah biasa melihat Balqis menyampaikan lagu-lagu yang rancak. Oleh itu, saya berikan lagu balada kepadanya minggu ini kerana saya mahu dia belajar cara-cara untuk mengawal pentas dengan betul ketika membawa lagu perlahan. Walaupun ada sedikit kekurangan dari segi vokal, saya berpuas hati dan bangga dengan persembahan Balqis.”

Terdahulu, konsert battle kelapan ini telah dimulakan oleh Balqis yang mewakili Hazama dengan persembahan lagu berjudul “Tetap Dalam Jiwa” (nyanyian asal oleh Isyana Sarasvati) dan berjaya mendapat markah penuh daripada juri awam. Sungguhpun persembahan pembukaan Balqis dikatakan tidak mengecewakan, Datuk Hattan menasihati Balqis agar tingkatkan lagi penghayatan ketika menyanyikan lagu balada.

Protégé tunggal Tomok iaitu Along pula telah membawakan lagu asal mentornya iaitu “Meraung”, dan berjaya meraih 20 markah. Walaupun Along berjaya membuat Tomok terharu dengan persembahannya pada malam itu, dia masih kelihatan agak kaku di atas pentas dan diingatkan untuk belajar menyanyi dengan santai lagi.

Persembahan battle kelapan dihangatkan lagi oleh protégé Akim iaitu Elica, yang membawa lagu “Bosan” (nyanyian asal oleh Stacy) dengan rendisi broadway. Protégé versatil ini telah mendapat 16 markah daripada juri awam dan dipuji oleh Datuk Hattan kerana berani melakukan persembahan di luar kotak. Beliau turut menyatakan bahawa keberanian melakukan persembahan sebeginilah yang disukai orang ramai.

Syeera, satu-satunya protégé Black, dilihat terus berjuang mengukuhkan namanya apabila berjaya mendapat markah penuh daripada juri awam iaitu 20 markah. Persembahan mantap oleh Syeera yang telah menyampaikan lagu “Arjuna Beta” (nyanyian asal oleh Fynn Jamal) ini telah dimulakan dengan monolog oleh Black, dan dia dipuji kerana sering mencipta kelainan ketika menyanyi. Namun, Syeera turut dinasihati untuk berjaga-jaga dengan not rendahnya (low note).

Selain dihiburkan oleh persembahan menarik setiap protégé, Mentor Milenia 2017 telah menjemput penyanyi yang kian melonjak nama dan popular iaitu Sufian Suhaimi. Beliau telah menghiburkan penonton dengan dua buah lagu hit “Harus Aku” dan “Terakhir”. Konsert malam itu juga dilengkapkan dengan rangkaian lagu “Selamanya Cinta” (nyanyian asal oleh Alif Satar & Shila Amzah) dan “Cheap Thrills” (nyanyian asal oleh Sia) oleh kesemua protégé.

Seperti minggu-minggu sebelum ini, keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri tetap dan juri jemputan sebanyak 50%, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30% dan 20% daripada juri awam di studio.

Berikut ialah senarai protégé dan lagu yang telah disampaikan pada battle kelapan:

Mentor Nama Protege Tajuk Lagu/Penyanyi Asal
 

 

Tomok

 

 

Mohamad Rozaimi Rosli (ALONG)

(20 tahun, Kuala Kedah, Kedah)

 

 

Meraung / Newboyz

 

 

Black

 

Nur Syaheera Abd Aziz (SYEERA)

(19 tahun, Shah Alam, Selangor)

 

 

Arjuna Beta / Fynn Jamal

 

Akim

 

Angelica Paujin (ELICA)

(17 tahun, Tambunan, Sabah)

 

 

Bosan / Stacy

 

 

Hazama

 

Muhammad Saiful Naim Muhd Noor (USOP)

(20 tahun, Lunas, Kedah)

 

 

Menahan Rindu / Wany Hasrita

 

Nor Balqis Ahmad Tajudin (BALQIS)

(18 tahun, Kemaman, Terengganu)

 

 

Tetap Dalam Jiwa / Isyana Sarasvati

Mentor Milenia 2017 yang dihoskan oleh Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh dibawakan khas oleh Neffos, Telefon Pintar Generasi Milenia selaku penaja utama manakala tonton sebagai Geng Digital, Harian Metro dan ZIP sebagai Geng Media dan Hot FM sebagai Geng Radio.

Krew penerbitan Mentor Milenia 2017 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa, Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia 2017 dan Khirul Fikry Mustafa sebagai penerbit. Program realiti popular ini turut dibantu oleh Azmeer sebagai penasihat, Sazlan Mat Adnan sebagai koreografer dan Faizal Uzir (Lok-U) sebagai pengarah muzik. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Mentor Milenia 2017 yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam – 11.00 malam dan Jurnal Mentor Milenia yang memaparkan aktiviti mentor dan protege pada setiap Ahad bermula 6.00 petang selama 30 minit.

Yasin Sulaiman Selaku Juri Jemputan Di Konsert Minggu Lalu

Usop

Syeera

Mentor Milenia 2017 Telah Menjemput Penyanyi Yang Kian Melonjak Nama Dan Popular Iaitu Sufian Suhaimi.

Elica

Che Puan Sarimah Ibrahim Selaku Salah Seorang Juri Awam

Barisan Protege Yang Berjaya Mara Ke Peringkal Separuh Akhir - Elica, Balqis, Syeera, Along Dan Usop

Barisan Mentor - Tomok, Black, Hazama Dan Akim

Balqis

Along

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/mentormilenia dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dengan menggunakan hashtag #MentorMilenia2017 untuk menghangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman media sosial. Para penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Tayangan Premiere With Budiey Menonton ALIEN: COVENANT

Syazuwan Hassan DFKL Melengkapkan Senarai Contender Separuh Akhir PERANG BIBIR