in , , ,

Betul Ke Apex Mentor Milenia Kembali Jadi Penyanyi Jalanan?

Bukan disebabkan tiada kerja ekoran tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan juara program realiti, Mentor Milenia 2019, Apex Tajudin kembali ke dunia penyanyi jalanan.

Sebaliknya, anak kelahiran Kelantan yang kini menetap di Terengganu itu mendedahkan, video menyanyi di jalanan seperti dikongsikan di laman Instagram (IG) sekadar suka-suka untuk memberi sokongan kepada teman busker.

Apex berkata, dia bersama teman-temannya itulah mencari rezeki menyara keluarga, sebelum bakatnya dikesan oleh mentor, Hazama dalam program Mentor Milenia, tahun lalu.

Justeru, dia tidak akan sesekali melupakan jasa teman busker yang banyak menyokong kerjanya hingga kini apabila bergelar penyanyi rakaman.–– ADVERTISEMENT ––

Biarpun pendapatan terjejas gara-gara pandemik COVID-19 hingga terpaksa akur dan reda beberapa tawaran nyanyian dibatalkan, namun Apex tidak terfikir untuk kembali bergelar penyanyi jalanan.

Betul Ke Apex Mentor Milenia Kembali Jadi Penyanyi Jalanan?
Apex Tajudin bermula sebagai penyanyi jalanan sebelum bakatnya dikesan Hazama dan bergelar juara program Mentor Milenia, tahun lalu. – Foto IG Apex Tajudin

“Sebenarnya, saya menyanyi tempoh hari sekadar untuk suka-suka. Saya melepak lihat teman busker buat persembahan, tidak salah saya menyumbangkan dua tiga lagu kerana saya sendiri bermula sebagai penyanyi jalanan.

“Bagaimanapun, setakat ini, saya tidak terfikir kembali ke dunia penyanyi jalanan. Bukan memandang hina kerjaya berkenaan sedangkan saya sendiri bermula daripada seorang penyanyi jalanan.

Cuma, kini, saya ingin memberi tumpuan pada perniagaan.

“Alhamdulillah, walaupun kerjaya seni sedikit terjejas akibat PKP, rezeki sentiasa ada. Sepanjang PKP macam-macam yang diusahakan untuk menjana pendapatan keluarga.

Saya fokus berniaga pelbagai benda seperti tempoyak, tauhu bergedil, roti dan nasi lemak. Sambutan boleh tahan menggalakkan,”

– Apex Mentor Milenia

Kongsi bapa kepada seorang cahaya mata yang kini berusia enam bulan, dia gigih berniaga kerana ingin menunaikan janji membawa anak dan isterinya menetap di Kuala Lumpur.

Selepas bergelar juara Mentor Milenia pada Disember tahun lalu, Apex memasang impian membawa keluarganya tinggal bersama di Kuala Lumpur.

Apex atau nama sebenarnya, Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tajuddin turut merancang mengembangkan perniagaan nasi lemak yang diusahakan isteri, Noralia Syamira di Kuala Lumpur, tetapi hasrat terbantut berikutan PKP.

“Saya akan tunai janji untuk membawa isteri dan anak ke Kuala Lumpur. Sebenarnya, saya sedang dalam proses mendapatkan rumah, tetapi hasrat terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan PKP.

“Memandangkan banyak duit dipakai sepanjang PKP berikutan tiada tawaran menyanyi, jadi saya gigih berniaga mengumpul kembali duit kerana saya ingin tunaikan janji untuk membawa mereka ke sini,” kata Apex.

– Apex Mentor Milenia

Selain fokus bidang perniagaan, Apex berkata, dia mempelajari sesuatu ilmu yang baharu sepanjang PKP ini.

Katanya, sebelum ini, dia jarang memberikan fokus kepada saluran YouTube dan laman sosial, tetapi ekoran PKP, dia kini semakin selesa dengan platform berkenaan.

Lebih membuatkannya teruja apabila berjaya memperoleh pendapatan tetap menerusi saluran YouTube miliknya.

“Sebelum ini, saya tidak terfikir langsung untuk memuat naik sebarang video di laman YouTube dan IG. Bagaimanapun, sejak terkurung akibat PKP, saya sahaja cuba-cuba.

“Awalnya, sekadar menyanyi kembali lagu milik penyanyi lain di saluran YouTube saya. Lama-kelamaan saya seronok, lebih lagi dapat menjana pendapatan. Jadi, saya mempelbagaikan kandungan, malah turut menghasilkan video lakonan.

“Sementara untuk akaun IG pula, saya lebih fokuskan kepada mempromosikan perniagaan yang saya usahakan. Setiap masa apabila di rumah, saya akan aktif dengan aktiviti atas talian,”

– Apex Mentor Milenia

Apex berkata, dia tidak sangka IG menjadi medium terbaik untuk mempromosikan perniagaan.

“Insya-Allah, saya akan memperbanyakkan lagu kandungan saluran YouTube. Jika sebelum ini, saya hanya mampu memuat naik satu video sebulan, saya ingin hasilkan lebih banyak video mungkin 10 video sebulan,” katanya.

Apex Mentor Milenia

Berkongsi perkembangan kerjaya seninya, Apex memberitahu, dia bakal muncul dengan single kedua dijangka pada Julai nanti.

Seperti mana single pertama berjudul Panggung, lagu terbaharu nanti masih mengekalkan komposer sama, Faizal Tahir, Mike Chan, Karim Karam dan Romeo.

Apex mengakui, dia bersyukur apabila lagu Panggung mendapat sambutan, malah berjaya memasuki senarai pencalonan baru Muzik-Muzik 35.

Sumber: BH Online

What do you think?

18 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Lagu HOW YOU LIKE THAT Blackpink Berjaya Pecahkan Rekod

Isu Filter Punca Rogol, Caprice Keliru Lalu Berdebat Dengan Fynn Jamal