in ,

Kos RM20 Juta, Penggambaran Filem BAKARA Terpaksa Ditunda Ke Tahun Hadapan

Apabila pengarah dan penerbit filem aksi terkenal Adrian Teh mengumumkan mengenai pembikinan filem “Bakara”, ramai peminat yang teruja dan tidak sabar menanti untuk menonton kehebatan filem ketenteraan itu selepas kejayaan besar dua filem arahan Adrian sebelum ini, iaitu “Paskal The Movie” dan “Wira”.

Selepas kejayaan filem ‘Paskal The Movie’ dan ‘Wira’ yang memberi impak positif kepada industri filem tempatan, pengarah Adrian Teh sekali lagi diberikan satu tugasan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghasilkan filem ‘Bakara’. Filem tersebut berdasarkan kejadian sebenar pertempuran di Mogadishu, Somalia, adaptasi daripada filem ‘Black Hawk Down’ versi sebenar Malaysia.

Bagaimanapun, penggambaran filem sepatutnya bermula pada Jun di Turki dan Malaysia lalu terpaksa ditunda kepada Jun tahun hadapan berikutan negara dilanda pandemik COVID-19 yang mana rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk ke luar negara. 

BAKARA

Bagi menghasilkan karya dengan baik dan mantap sekali lagi pengarah Adrian Teh dipertanggungjawabkan untuk mengarahkan filem yang menelan belanja lebih RM20 juta ini.Malah filem ini juga turut menggunakan anggota ATM sebenar dan aset ketenteraan.

“Pandemik yang melanda dunia kini memang memberikan cabaran dan risiko besar terhadap industri perfileman.

Bagaimanapun kepercayaan dan sokongan daripada pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Longhouse Films amat memberangsangkan dan saya akan lakukan sehabis baik untuk menyempurnakan filem ini. 

“Kerja-kerja persediaan yang tergendala akan disambung semula dan kami akan menyesuaikan tatacara kerja dengan norma baru pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),”

– Adrian

Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, filem ini adalah kejadian sebenar pertempuran berkenaan.Ia mengenai Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) yang terlibat dalam misi menjaga keamanan, diserang hendap oleh gerila pemberontak pimpinan Mohamed Farrah Aidid.

Filem BAKARA adalah sebuah naskhah yang diangkat dari peristiwa sebenar yang berlaku di Mogadishu, Somalia pada tahun 1993 yang mana menyaksikan kehebatan dan keberanian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyelamatkan pasukan elit tentara Amerika Syarikat yang dikepung oleh ribuan pemberontak di Bakara Market. 

Ia bakal dibintangi oleh barisan pelakon terkenal tanah air seperti Bront Palarae, Hairul Azreen, Remy Ishak, Shaheizy Sam, Fauzi Nawawi dan ramai lagi. 

Filem yang pada awalnya dijadualkan tayangan pada 31 Ogos 2021 berkemungkinan akan ditayangkan pada 31 Ogos 2022.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KRU Entertainment Bakal Lancar Platform e-Dagang Sendiri Diberi Nama iLike

Mencuba Tronsmart APOLLO BOLD, Mutu Premium Memuaskan Hati