in ,

Niezam Zaidi Mengaku Bersalah Miliki Dadah, Didenda RM4,000

Pelakon Niezam Zaidi serta dua individu lain didenda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan mengambil dadah, Oktober tahun lepas.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman denda RM4,000 masing-masing terhadap pelakon Niezam atau Muhamad Niezam Mohd Zaidi,30, dan penolong pengarah Saiful Zaidrin Isma manakala denda RM3,800 terhadap pengarah Mohd Latiff Zami, 50, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan secara berasingan.

Mohd Shazmeer turut memerintahkan Niezam dan Saiful menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala Mohd Latiff selama tiga tahun.

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, jika mereka gagal membayar denda. Merexa membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Niezam dan Mohd Latiff masing-masing didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60 gram dan 0.20 grami di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2 di sini kira-kira pukul 7.15, 10 Okt 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Saiful pula didakwa memiliki 0.03 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine di tempat, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Ketiga-tiga mereka turut didakwa memasukkan dadah jenis THC dan methamphetamine ke dalam badan di pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar antara pukul 9.50 hingga 10.05 pagi hari yang sama.

Untuk kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Sebelum ini, dilaporkan kesemua mereka ditahan di lokasi penggambaran di sebuah rumah inap desa di taman berkenaan.

Muhamad Niezam sebelum ini terkenal dengan lakonan dalam filem ‘Budak Pailang dan Highland Tower’, selain drama seperti ‘Diari Platun’, ‘Dewi Lasak’ dan ‘Mencintaimu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penat sangat.. tunggu, sabar” – Shila Amzah mula luah rasa rindu

Gigit Coklat 6 Bulan, Boleh Menang RM100,000?