in , ,

‘Masin Mulut’ Akhirnya Sharifah Husna Milik Halim Radzi

Pasangan pengantin yang dua tahun menjalinkan hubungan cinta itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Syed Feizal Syed Mohammad.

Berkongsi perasaan selepas bergelar suami Husna, Halim berkata, awalnya dia sangat gementar selepas mendapat tahu acara akad nikah akan dikendalikan oleh bakal bapa mentua.

“Tak dinafikan, semakin dekat hari pernikahan, perasaan saya semakin gementar. Rasa gemuruh makin apabila Husna memaklumkan acara akad nikah akan dilakukan oleh bapanya.

“Husna adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, jadi sudah tentu bukan mudah untuk keluarga melepaskan anak perempuannya itu. Saya sangat memahami situasi ini.

“Sebaik sahaja ijab kabul selesai dilafazkan, saya lega dan ringan kepala apabila segala-galanya berjalan lancar,”

Pada majlis itu, Husna menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.

Halim yang terkenal dengan watak Hariz Naim dalam drama Jangan Menangis Cinta menghadiahkan cincin berlian dan set barang kemas bagi menggantikan wang hantaran serta seutas gelang tangan emas sebagai mas kahwin.

Mengimbau semula detik perkenalan, Husna berkata, dia bertemu dengan suaminya ketika menjayakan penggambaran drama Dia Bidadari Dari Syurga.

“Dalam drama ini, ada babak nikah dan Halim adalah pengantin lelaki. Pada masa itu, kami belum berkenalan, jauh sekali bercinta. Namun, siapa sangka akhirnya Halim menjadi suami saya yang sah.

“Saya masih ingat betapa yakinnya Halim mengatakan kepada pelakon dan kru yang terbabit dalam pembikinan drama, saya akan menjadi isterinya, suatu hari nanti.

“Malah, Halim juga pernah melafazkan ayat itu kepada saya secara berdepan. Terkejut juga kerana kami memang tidak bercinta dan saya mengenalinya sebagai rakan sekerja,” cerita Husna sambil ketawa.

Mengulas perancangan menimang cahaya mata, pelakon berdarah kacukan Melayu, Pakistan, Afghanistan, Arab, British, Portugis, Belanda dan Indonesia itu menyerahkannya kepada rezeki.

“Kalau diberikan rezeki awal, saya terima dan kami tak merancang apa-apapun. Mengenai destinasi bulan madu, kami bercadang untuk ke Turkiye.

“Namun, kami masih sibuk menghabiskan baki penggambaran sebelum ini, jadi terpaksalah ditangguhkan hasrat berbulan madu dahulu.

“Jika tak sempat nak ke luar negara, kami mungkin akan mengunjungi pulau-pulau di Malaysia,” kata Husna yang pernah membolosi pencalonan kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsep Gila! Mainan Naim Daniel di AJL37 Libatkan Organ Dalaman Bahaya! 

Poster ‘Shazam! Fury of the Gods’ Mempamerkan Keluarga Superhero