in

Kementerian Komunikasi & Multimedia Ketuai Tujuh Syarikat Muzik Ternama Sertai MIDEM 2015

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) akan mengetuai tujuh buah syarikat-syarikat audio dan penerbitan muzik tempatan yang ternama seperti Astro, Maveriq, KRU Music, Life Records, Seventeen Eleven, Suria Records dan We Are One ke Marché International du Disque et de l’Edition Musicale (MIDEM) di Cannes, Perancis.

Tahun ini menandakan penyertaan ketiga berturut-turut oleh delegasi Malaysia ke acara perniagaan muzik dan produksi audio tahunan terbesar di dunia, yang akan berlangsung pada 5 hingga 8 Jun 2015.

KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA BAKAL MENGETUAI 7 SYARIKAT MUZIK TERNAMA UNTUK MEWAKILI MALAYSIA DI PASARAN MUZIK TERBESAR DI DUNIA – MIDEM 2015

MIDEM merupakan acara tahunan antarabangsa berkonsepkan B2B (niaga-ke-niaga) yang khusus untuk membina ekosistem muzik baharu, yang terdiri daripada pameran perdagangan, persidangan, pertandingan, acara rangkaian dan persembahan secara langsung.

Justeru, ia adalah sebuah platform yang ideal untuk mempromosikan muzik tempatan di peringkat antarabangsa. Matlamat RIM pada kali ini adalah untuk terus membina jenama ‘Malaysia’ dalam industri kreatif global melalui pelbagai saluran media dan membuka jalan bagi kerjasama muzik antarabangsa, pelesenan dan usaha sama antara Malaysia dan seluruh dunia.

Kini, muzik dan artis Malaysia semakin dikenali di seluruh dunia dan ini adalah bukti kejayaan industri muzik Malaysia. Sebagai contoh, Yuna telah berjaya menempa nama di Amerika Syarikat menerusi ‘single’ ‘Live Your Life’ yang telah dihasilkan oleh penerbit terkenal Pharrell Williams, ia turut dimainkan dalam permainan video popular Grand Theft Auto 5. Shila Amzah juga adalah seorang lagi penyanyi tempatan yang telah mencapai populariti di peringkat antarabangsa setelah dinobatkan sebagai pemenang Asian Wave 2012, dan kini mengembangkan kerjayanya di China.

Begitu juga dengan FS (Fuying & Sam), duo pop tempatan yang semakin mendapat perhatian di Taiwan. Selain itu, artis berkumpulan tempatan seperti Pop Shuvit dan Goldkartz juga telah berjaya di peringkat antarabangsa; populariti mereka di Jepun telah membuka peluang kepada Pop Shuvit untuk mengadakan tiga konsert bergerak dan jualan album yang menaiki carta Top 20 di Tower Records Jepun, manakala Goldkartz telah berjaya mengeluarkan album kedua mereka di Malaysia, India, Britain, Eropah, dan banyak lagi.

Pelbagai kisah kejayaan ini telah membuktikan bahawa Malaysia mempunyai bakat bertaraf dunia dan penyertaan dalam acara seperti MIDEM adalah penting untuk mengorak industri muzik tempatan ke arah yang lebih maju.

Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim berkata,

“Penyertaan Malaysia di MIDEM sejak dua tahun lalu telah benar-benar memberikan impak yang signifikan dan mempamerkan kemampuan serta bakat dari Malaysia. Oleh itu, RIM sekali lagi mengambil bahagian pada tahun ini dengan harapan untuk memperkenalkan muzik tempatan ke pentas dunia serta merevolusikan arena muzik Malaysia dan mewujudkan pasaran yang lebih kukuh untuk industri.”

Norman menambah bahawa beliau berharap artis Malaysia boleh terus mewujudkan lebih banyak muzik universal yang boleh diterima di seluruh dunia. Memetik kejayaan konsert Sheila Majid di Los Angeles baru-baru ini sebagai contoh, Norman berkata Sheila Majid telah berjaya membawa muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa kerana muziknya yang universal.

Aspirasi beliau turut disokong oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dato ‘Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad,

“MIDEM 2015 menggalakkan penganjur muzik antarabangsa untuk mencari bakat dan muzik Malaysia, sekali gus membuka peluang yang luas untuk menjual kandungan tempatan. Selain itu, kolaborasi di antara pihak kerajaan dengan industri muzik dijangka bakal menjana pulangan ekonomi yang lebih besar di dalam industri, terutamanya dengan pertumpuan digital di mana muzik kini tidak hanya terbatas di radio sahaja. Dalam konteks ini, pertumpuan adalah elemen utama yang menggerakkan industri muzik untuk terus maju.”

Latar Belakang Marché International du Disque et de l’Edition Musicale (MIDEM)

Marché International du Disque et de l’Edition Musicale (MIDEM) adalah pasaran muzik terbesar di dunia. Dilancarkan pada tahun 1967, ia adalah acara di mana penggiat dan penerbit muzik, teknologi, dan bakat-bakat dalam industri muzik berkumpul bersama-sama untuk memperkukuhkan hubungan antara penggiat seni dan muzik, memperkayakan pengalaman audiens dan menjalinkan hubungan perniagaan baharu. MIDEM juga adalah platform yang ideal untuk mempromosikan muzik tempatan di peringkat antarabangsa dan melancarkan sebarang produk baharu. Selama empat hari, penggiat muzik profesional boleh mengetahui tentang trend baharu, menemui teknologi baharu dan bagaimana cara untuk menggunakannya dalam penerbitan mereka melalui sesi latihan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.midem.com

Latar Belakang Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM)

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) adalah persatuan perdagangan industri kebangsaan yang ditubuhkan untuk mewakili syarikat rakaman yang diperbadankan di Malaysia. Kini, RIM mewakili hampir 300 syarikat dan perniagaan rakaman tempatan yang terlibat di dalam pengeluaran, pengilangan dan pengedaran rakaman bunyi, video muzik dan karaoke tempatan dan antarabangsa, semua yang mana merangkumi lebih kurang 95% pasaran muzik di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.rim.org.my

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pameran Foto Travel Photographer Asia The Photo Contest 2015 di Publika

Samsung Perkenal SMART SERVICE Demi Kepuasan Pengguna