in ,

Kejutan SO YOU THINK YOU CAN DANCE

Satu kejutan berlaku pada episod rancangan realiti tarian, So You Think You Can Dance yang berlangsung pada 31 Mei lalu.

Pihak juri telah mengambil keputusan untuk mengumumkan enam finalis yang mempunyai prestasi yang kurang memberangsangkan dan menyerahkan kepada para penonton untuk menyingkirkan dua peserta yang memiliki undian paling rendah.

Peserta kegemaran ramai, Alam dan Noor yang sebelum ini sentiasa memberikan persembahan yang meyakinkan telah mengejutkan para penonton apabila tergolong dalam kategori peserta terlemah. Sue juga turut terpaksa merelakan pasangannya Isaac tergolong dalam kategori yang sama di samping Jimmy, Jo dan Becky.

Episod Yang Penuh Dengan Kejutan

Rancangan secara langsung yang dibawakan dari Ruums (KL Life Centre) malam tadi telah memperlihatkan peserta Top 12 menari mengikut tema yang telah ditetapkan iaitu ‘Malam Irama Malaysia’. Sekali lagi, para peserta dikehendaki memilih jenis tarian yang dipersembahkan secara rawak dari tarian kontemporari Melayu, Bollywood sehinggalah tarian kontemporari Cina.

525741311 Adc187202A O | 4

Isaac & Jo

Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan, Komunikasi dan Pemasaran di 8TV, Cik Lam Swee Kim berkata, “Pada minggu ini, kita sudah melengkapkan separuh dari rancangan pada musim ini. Jadi, kami mengambil keputusan untuk menghangatkan lagi bahang pertandingan dengan mengenakan tema ‘irama Malaysia’ dalam persembahan mereka. Tema yang telah ditetapkan sedikit sebanyak memberi peluang kepada para peserta untuk menonjolkan bakat yang mungkin dapat menyelamatkan mereka ke pusingan seterusnya. Pada peringkat ini, kami mengharapkan sesuatu yang luar biasa dapat diberikan oleh para peserta. Mereka semua adalah penari hebat tetapi ujian pada minggu ini dapat membuktikan kepada semua tentang versatiliti dan kemampuan masing-masing.”

“Walaupun para penonton terpaksa melihat penyingkiran di antara enam peserta terlemah, ini telah membuktikan bahawa tiada sesiapa yang boleh terselamat jika prestasi mereka menurun dan ini merupakan satu amaran kepada para peserta. Mereka perlu memberikan komitmen 100% jika mereka benar-benar ingin menjadi juara. Tema ‘irama Malaysia’ nyata telah menguji kebolehan dan kecekalan peserta secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, minggu ini ternyata bukan milik Jo mahupun Isaac!”

Joanne Beryl Christine atau lebih dikenali sebagai Jo nyata kecewa dengan penyingkirannya apabila sudah mara sehingga ke peringkat ini. “Penyingkiran ini tidak akan melemahkan semangat saya dari terus menari. Saya akan bekerja dengan lebih keras dan terus menari sehinnga ke akhir hayat saya. Saya hendak membuktikan kepada semua bahawa rakyat Malaysia telah membuat pilihan yang salah,” ujar penari professional dan ibu kepada seorang anak yang telah melalui pengalaman terindah sepanjang pertandingan ini.

Isaac atau Lin Chih Seng, yang terkenal melalui persembahan akrobatik di atas pentas juga turt kecewa kerana terkeluar tetapi tidak akan menjadikannya sebagai alasan untuk berhenti menari. Sebagai penari professional tarian Cina yang pernah membuat persembahan sehingga ke luar negara ini berazam untuk mengharumkan nama negara melalui tariannya.

Apabila ditanya tentang komen barisan juri, Isaac menjelaskan, “Saya yakin mereka memberi komen yang tulus tentang persembahan tetapi saya kurang bersetuju apabila dikatakan terlalu bergantung kepada pasangan saya. Saya hanya ingin memastikan pasangan saya selamat apabila saya membuat pusingan akrobatik dan julungan. Saya tidak dapat mengelak dari bersikap mengambil berat dalam memastikan tiada sesiapa yang tercedera. Selain itu, saya amat menitikberatkan kerjasama berkumpulan kerana ia penting apabila menari secara berpasangan.”

Malam tadi, bintang yang semakin menyinar, Jehan Miskin telah menemani Juliana di atas pentas dan akan terus mengacarakan rancangan ini secara berpasangan. Sebagai bintang yang menyinar melalui lakonan di TV dan filem, jejaka berusia 27 tahun ini yang juga merupakan seorang model telah diakui kebolehannya dalam melakukan pelbagai acara di bidang seni.

Sama seperti pada minggu lepas, stail tarian akan dipilih oleh setiap pasangan secara rawak. Salah seorang daripada pasangan tersebut akan diminta untuk mencabut undi bagi menentukan stail tarian yang akan dipersembahkan pada minggu seterusnya. Tiada pasangan baru untuk minggu ini kerana pasangan Orange dan Vish disingkirkan.

Para juri akan memilih empat peserta yang paling lemah di antara finalis yang bertanding. Mereka akan diberi peluang kedua untuk menari secara solo dan rakyat Malaysia perlu mengundi peserta kegemaran mereka supaya terus bertahan dalam meneruskan perjuangan dalam pertandingan ini.

Para penonton juga boleh melayari laman web 8TV, www.8TV.com.my/sytycd atau mendengar stesen rasmi SYTYCD , Fly FM atau menonton 8TV Quickie dan media cetak terpilih untuk mendapatkan tiket mahupun informasi terkini berkaitan dengan rancangan SYTYCD.

Bagi mereka yang ingin menonton pertandingan ini secara langsung di Ruums, Live Centre, Kuala Lumpur, mereka bolehlah mendapatkan tiket di balai pengawal Sri Pentas, Bandar Utama pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, dari 9 pagi hingga 6 petang. Tiket – tiket adalah terhad. Bagi mereka yang dapat mengumpulkan 8 tiket dari episod mingguan, mereka boleh menukarkannya dengan dua tiket untuk ke pertandingan akhir SYTYCD. Hanya 100 orang pertama akan dipilih untuk mendapatkan tempat bagi menonton pertandingan akhir apabila kaunter penebusan dibuka bermula 21 Jun nanti.

Sebagai penaja bersama, Tranz dari Poh Kong dan radio rasmi Fly FM berbesar hati menyokong dalam pencarian bakat baru dalam bidang seni tari di Malaysia. SYTYCD diterbit dan diarahkan oleh Sunil Kumar dan diacarakan oleh Juliana Ibrahim.

Para penonton akan dihiburkan dengan persembahan yang lincah, cergas dan bersemangat dari para peserta. Tontonilah rancangan ini secara langsung pada setiap hari Khamis pada jam 9.30 malam dari Ruums di Live Centre, Kuala Lumpur. Rancangan ini juga diulang tayang pada setiap hari Isnin jam 10 pagi dan boleh ditonton secara langsung di 8TV atau saluran 18 di Astro.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aizat Amdan | 17

Sinopsis Filem SHREK THE THIRD

Dafi 2020 | 18

Cenderehati Akademi Fantasia 5 Sebagai Kenangan