in ,

COVID 19: Pendapatan Terjejas, Ramai Selebriti Terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara turut membawa kesan tersendiri terhadap golongan penggiat seni.

Mereka yang merangkumi penyanyi, pelakon, penganjur konsert dan penerbit filem mengakui kini berdepan tempoh yang sukar dalam karier. Ini kerana larangan terbabit menyaksikan semua acara nyanyian, penggambaran drama dan filem, konsert dan tayangan filem ditunda atau dibatalkan.

Penyanyi Ezad Lazim berkata, dia masih berharap program yang ditunda akan diadakan semula nanti.

“Semestinya pendapatan saya merosot apabila masalah ini berlaku. Malah ia turut dirasai oleh semua anak seni.

“Kalau dihitungkan, untuk beberapa bulan sejak virus Covid-19 menular, saya hilang pendapatan lebih daripada RM20,000.

“Namun sebagai manusia biasa, saya reda dan akur dengan ketentuan Allah. Saya sentiasa berdoa dan berusaha agar kita dihindari dari kesulitan serta diberi jalan keluar atas segala masalah yang melanda ini,”

– Ezad Lazim

Penyanyi Amir Ukays mengakui sudah kerugian tiga tawaran persembahan sejak Covid-19 melanda negara.

“Persembahan ini terpaksa dibatalkan atas tujuan keselamatan dan sekaligus buat saya hilang pendapatan.

“Saya tak dapat nak kata apa-apa kecuali reda dengan apa yang terjadi sekarang,”

– Amir Ukays

Penganjur Konsert Apologia Search & Awie, Imaginex pula menjelaskan, konsert yang sepatutnya berlangsung di The Bee, Publika pada 28 Mac akan diadakan pada satu tarikh lain nanti.

“Setakat ini saya tak berdepan apa-apa kerugian biarpun dah keluarkan pembayaran deposit untuk artis dan studio.

“Saya rasa ada baiknya konsert ini ditangguhkan kerana jika saya buat juga mungkin peminat tak ramai kerana takut dengan keadaan semasa.

“Apabila tangguhkan sementara, saya boleh ‘rebranding’ konsepnya dan mungkin saya boleh pindahkan ke tempat yang lebih baik dan lebih besar kerana anggota Search beri cadangan untuk fikirkan cari tempat yang lebih besar dan lebih baik,”

– Pengarah Urusannya, Amir Shah Daud

Pelakon Zara Zya berkata, tiga drama lakonannya yang sepatutnya menjalani penggambaran terpaksa ditangguhkan seketika pada masa ini.

“Alhamdulillah, saya ada buat simpanan dan setakat ini semuanya okay.

“Insya-Allah, simpanan itu cukup buat masa ini. Cuma saya harap keadaan begini ini tidak berpanjangan,”

– Zara Zya
Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jualan Ulang Tahun Ke-8 Lazada Kembali Dengan Lebih Hebat 27 Mac Ini

Tidak Amalkan Jarak Sosial, Isteri Idris Elba Turut Dijangkiti Covid-19