in , ,

“Cinta Sejati Bukan Lagu Ciplak Karya Melly Goeslow,” – Aiman Sidek

Penyanyi Aiman Sidek tidak terkilan single baharu diberi judul Cinta Sejati yang didendangkan bersama adiknya, Alin, dikatakan menyamai karya nukilan komposer dan penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslow dan Irwansyah.

Melancarkan Cinta Sejati pada 1 April lalu, Aiman bagaimanapun tidak menganggap persepsi ramai itu sebagai sesuatu yang membebankan.

“Saya dengar maklum balas dan reaksi terhadap single Cinta Sejati yang dikatakan macam lagu dari seberang. Jika benar seperti disangka, ini suatu penghargaan untuk saya.

“Saya tidak lihat perkara itu sebagai membebankan. Apa saya boleh katakan, lagu ini masih ada cita rasa Malaysia yang tinggi.

“Mungkin berdasarkan penggunaan kata puitis dalam lirik lagu itu pantas membuatkan orang ramai anggap single berkenaan karya seberang,”

– Aiman Sidek

Bagi pemenang tempat kedua program realiti, Akademi Nasyid terbitan TV9 itu, beberapa lagu ciptaannya sebelum ini turut menggunakan bahasa puitis.

“Macam lagu Bunga Dhia, Pria Arjuna dan Larut menggunakan formula sama dengan penggunaan kata puitis untuk menyentuh hati masyarakat.

“Cuma, ketika itu, belum rezeki saya untuk menyerlah dengan lagu terbabit. Tidak sangka, rezeki saya kali ini melalui lagu Cinta Sejati yang mula diterima ramai.

“Orang mula nampak apa yang mahu disampaikan dalam setiap karya curahan saya,”

– Aiman Sidek

Aiman atau nama penuh, Mohamad Aiman Md Sidek berkata, rakaman duet dengan adiknya berlaku secara kebetulan.

“Saya anggap ini kebetulan yang ajaib. Sejak adik belum berkahwin saya cuba mengajaknya berduet. Namun, semuanya ditolak dengan alasan dia malu dan tidak yakin.

“Sedangkan, saya sedar, dalam kalangan adik-beradik, dia ada vokal unik. Tak sangka, pelawaan kali ini diterima pula.

“Mungkin disebabkan dia berbadan dua hingga terbuka hati mahu berduet,”

– Aiman Sidek

Aiman menyifatkan kejayaan single berkenaan sebagai rezeki anak saudara yang bakal lahir. Aiman gembira jumlah tontonan video lirik single Cinta Sejati sudah mencecah 350,000 tontonan.

“Lagu ini juga mendapat lebih 10,000 perkongsian di TikTok dengan tontonan lebih 10 juta,”

– Aiman Sidek

Aiman menambah single Cinta Sejati bakal menjadi runut bunyi telefilem Itulah Takdirnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MPO Beri Penghormatan Buat S. Atan Di Konsert Bertemakan Aidilfitri  

Persembahan Azharina Di Melbourne Dalam Kembara Ramadan Umar Uzair