in

BMW Group Malaysia Lantik Regas Premium Sabah Wakil Pengedar Sah Terbaharu

BMW Group Malaysia Melantik Regas Premium Sabah sebagai Wakil Pengedar Sah Terbaharu di Negeri Sabah.

Wakil Pengedar Terbaharu bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad terus memperkembangkan portfolio jenama pengeluar kenderaan premium di Negeri di Bawah Bayu.

BMW Group Malaysia pada hari ini telah melantik Regas Premium Sabah sebagai wakil pengedar terbaharunya bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad di negeri Sabah.

En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “Kawasan Timur Malaysia merupakan pasaran yang sekian lama menyumbang kepada perkembangan perniagaan kami di negara ini dan kami berasa teruja untuk menjalin kerjasama dengan Regas Premium Sabah sebagai pengedar terbaharu kami di Kota Kinabalu untuk meluaskan lagi penawaran perkhidmatan kami di negeri Sabah.”

Tambah Hoelzl, Sabah menyumbang kepada penjualan melebihi 500 unit kenderaan untuk segmen premium di dalam negara setiap tahun dan ia mempunyai potensi untuk menggandakan angka tersebut dalam masa lima tahun yang akan datang. Ujar beliau, “Pada tahun lepas, kita telah melakar peningkatan jualan sebanyak 18% di Sabah berbanding tahun 2016 yang membuktikan potensi negeri ini.”

Matthew Tan, Prinsipal Pengedar yang mewakili Regas Premium Sabah berkata, “Kami telah lama berhasrat untuk menjejakkan kaki ke dalam industri automotif premium di Sabah, dan dengan kehadiran peluang ini untuk mewakili jenama BMW Group, ia semestinya merupakan permulaan yang kami impikan. Dengan berbekalkan visi dan cabaran yang bakal menjelang, kami berdedikasi untuk terus menawarkan perkhidmatan kami kepada pelanggan yang sedia ada serta yang baharu bersama BMW Group Malaysia untuk memperkukuhkan perkembangan dan kehadiran jenama-jenama tersebut di negeri ini.”

Regas Premium Sabah Sdn Bhd merupakan usaha sama antara TM Vision Auto Services Sdn Bhd, iaitu syarikat subsidiari Tan Brothers Machinery Company (TMC) dan Regas Premium Auto Sdn Bhd.

Regas Premium Auto merupakan wakil pengedar sah bagi BMW, MINI dan BMW Motorrad di negeri Sarawak. Regas Premium Auto juga dilantik sebagai pengedar servis sah bagi BMW i pada tahun 2016 di negeri tersebut; dan pada tahun lepas, ia telah membangunkan fasiliti pengecasan awam BMW i yang pertama di Timur Malaysia yang terletak di CityOne Megamall Kuching.

Regas Premium Sabah akan mengambil alih FM Autohaus sebagai pengedar terbaharu BMW Group Malaysia di Kota Kinabalu dan akan beroperasi di dalam fasiliti bersaiz 53,500 kaki persegi yang terletak di Jalan Penampang, menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi Jualan, Servis, Alat Ganti dan Sistem (4S) bagi jenama BMW dan BMW Motorrad serta fasiliti servis bagi jenama BMW i dan MINI.

Kini, BMW Group Malaysia mempunyai rangkaian yang terdiri daripada 20 pengedar BMW, 8 pengedar MINI, dan 9 pengedar BMW Motorrad di seluruh negara. Regas Premium Sabah akan mula beroperasi pada 1 hari bulan Julai di Mile 3, Lido, Jalan Penampang, 88300 Penampang.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Zehra TERATAI KEMBOJA & Samarinda: NUR Rating Capai Sasaran 

Baki Zainal Hos Program 3P