in

Azhar Osman Membuat Kemunculan Semula Dengan Buah Tangan Terbaru Lagu ‘TERNYATA’

Bertahun lamanya tidak mendengar berita pelakon dan penyanyi, Azhar Osman, akhirnya dia kembali memeriahkan industri muzik dengan lagu baharunya berjudul Ternyata. Apa yang pasti, keputusan itu terlalu besar buatnya apalagi lagu terbabit mendapat sentuhan Farouk Roman.

Azhar mengakui dirinya memang peminat lagu-lagu ciptaan Farouk, sentiasa ternantikan lagu baharu ciptaannya, dan wajib dengar. Setiap lagu dihasilkan memiliki identiti sendirinya dan pendengar sudah corak hasil sentuhannya. Lagu-lagunya memang kena dengan jiwa Azhar dan sangat tidak sangka ditawar menyanyikan Ternyata.

“Apabila suatu hari beliau menawarkan saya untuk menyanyikan lagu runut bunyi ciptaannya, mulanya saya ingat ia sekadar gurauan. Namun, rupa-rupanya beliau memang serius dan saya terus ambil keputusan untuk menerimanya. Semestinya, saya berterima kasih dan berbesar hati atas kesudiannya memilih saya menyanyikan karyanya.

“Sebaik saya mendengar demo lagu yang diberikan kepada saya itu, ia serta-merta menangkap halwa telinga saya. Melodinya terus menggambarkan bagaimana perjalanan lagu itu dan saya semestinya sangat teruja untuk mencabar diri bagi melunaskan tugasan lagu itu,” katanya.

Ternyata adalah runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu. Dia bergandingan dengan ramai pelakon popular termasuk Riz Amin, Anas Ridzuan, Shah Kimin, Julia Farhana, Dayana Roza, Lia Natalia, Azar Azmi, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim, serta Uchee Fukada.

Namun begitu, Azhar akui berdepan kerisauan yang sangat besar, kelam-kabut, gelisah, semua perasaan keluar kerana semestinya dia tidak mahu mengecewakan Farouk. Tapi, selepas menjalani setiap proses rakaman, semakin hari Azhar semakin yakin untuk menggalas cabaran itu.

“Secara kasarnya, ini adalah lagu ‘comeback’ saya juga selepas kira-kira empat tahun menyepi daripada bidang seni suara. Itulah juga yang sebenarnya menjadi punca timbul seribu kerisauan dalam benak saya. Apapun, insyallah, saya yakin sudah memberi persembahan yang terbaik dalam nyanyian lagu ini.

“Terus-terang, saya memang bergelut dengan kesulitan sewaktu proses rakamannya. Apalagi tahap kegelisahan dalam diri memang sangat tinggi sehingga ke tahap berfikir sesuatu perkara secara melampau. Itulah cabaran terbesar untuk saya atasi kerana perlu mengawal diri dan menangani perasaan kegelisahan.

“Namun, hari demi hari, diri saya semakin stabil dan perasaan itu berkurangan sedikit demi sedikit. Sekali gus, saya berjaya menjalani proses rakaman dengan lebih lancar dan melunaskan tugasan itu. Tapi, saya akui proses rakaman untuk lagu ini agak mengambil masa dan tenaga membabitkan semua pihak yang berada di studio,” katanya.

Membuat kemunculan kembali pastinya bukan mudah dan Azhar perlu memperkenal semula namanya. Justeru, dia melihat peluang diberikan untuk menyanyi runut bunyi dari sudut optimis dan yakin terhadap aturan rezeki ditetapkan buatnya. Semestinya dia berharap namanya akan naik semula namun rezeki lagu Ternyata pun sudah cukup baik sebagai permulaan.

“Memandangkan ia lagu runut bunyi, timbul rasa bercampur-baur di mana pertamanya saya sangat berbesar hati. Yalah, siapa yang tak mahu lagunya dimainkan dalam drama dan saya pula sudah beberapa tahun tidak menyanyi. Tiba-tiba, saya muncul kembali dan terus buat lagu runut bunyi, saya anggap itu bonus.

“Perasaan yang satu lagi semestinya terasa sedikit tekanan kerana risau sama ada lagu ini akan menjadi, memberi keadilan kepada komposer, dapat sambutan, atau tidak. Apapun, saya percaya kepada rezeki, siapa tahu mungkin inilah masa yang tepat untuk saya kembali. Saya tak kisah kalau lagu ini lebih dikenali sekadar runut bunyi,” katanya.

Azhar memulakan karier muzik sekitar 2013 sewaktu menganggotai duo Azhael yang lahir dan mendapat naib juara dalam program Akademi Fantasia 10 (AF10). Selepas Azhael dibubar pada 2017, Azhar kemudian membina nama dalam bidang lakonan sebelum menyepi sejak beberapa tahun lalu.

‘Ternyata’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

What do you think?

61 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Khodi Salur Emosi Keperitan Cinta Tiga Segi Dalam ‘DIA BAGIKU’

Drama Komedi Bersiri KAMPUNG KOLESTROL Lakonan Ziana Zain & Mas Idayu