in

Kempen Aim For Broader Coverage

Seruan untuk Melindungi Kanak-Kanak Malaysia

Tandatangan ikrar untuk berusaha memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam Program Pelalian Negara Malaysia.

Kira-kira 70% hingga 80% kanak-kanak Malaysia terus tidak dilindungi daripada penyakit Pneumokokal. Angka ini amat membimbangkan dan memeranjatkan bagi sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan antara yang terbaik di rantau ini tetapi masih belum memasukkan Vaksin Berkonjugat Pneumokokal (PCV) ke dalam Program Pelalian Negara (NIP).

Penyakit Pneumokokal adalah sekumpulan penyakit kompleks yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumonia. Bakteria ini menyebabkan jangkitan invasif termasuk bakteremia/sepsis (jangkitan bakteria darah), meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), pneumonia (radang paru-paru) dan otitis media (jangkitan telinga media) yang boleh membawa maut atau kehilangan upaya.

Kempen Aim For Broader Coverage (ABC) [Sasarkan Liputan Lebih Luas, Semudah ABC] menyeru rakyat Malaysia supaya menyokong kemasukan PCV ke dalam NIP dengan menandatangani ikrar di laman www.abc4pneumococcal.com.

Children of Ti-Ratana

Jangkitan Penyakit Pneumokokal terus meningkat di seluruh dunia dan Asia Tenggara mencatat bilangan kes pneumococcal paling tinggi dan angka kematian paling tinggi. Ini adalah disebabkan kekurangan kesedaran terhadap Penyakit Pneumokokal , digabungkan dengan kesukaran untuk mendapatkan diagnosis jangkitan pneumokokus secara tepat, yang menyukarkan pengurusannya dari perspektif kesihatan awam.

Bagaimanapun, dalam kes ini, pencegahan adalah lebih baik daripada pengubatan, dan pencegahan Penyakit Pneumokokal adalah pilihan yang lebih selamat dan lebih menjimatkan kos jika dibandingkan dengan kesan serius daripada Penyakit Pneumokokal.

Kempen ABC adalah kerjasama antara Pfizer Malaysia dan Asian Strategic Alliance for Pneumococcal Disease Prevention (ASAP) dan juga portal asuhan seperti Parenting2u, Pitter Patter dan SJ Echo. Ia dilancarkan pada bulan Jun 2011 untuk menyemaikan kesedaran terhadap Penyakit Pneumokokal dan menekankan hakikat bahawa penyakit ini boleh dicegah dengan pelalian. Sebagai lanjutan kempen ini, Aim for Broader Coverage (ABC) Parent Coalition telah ditubuhkan untuk mendapatkan sokongan di kalangan ibu bapa di Malaysia

Menurut Datuk Dr. Zulkifli Ismail, ahli pengasas ASAP dan Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik di Hospital Pakar KPJ Selangor, “Penyakit Pneumokokal adalah punca kematian di dunia yang boleh dicegah dengan vaksin. Pelalian adalah cara paling cekap dan berkesan untuk mengurangkan kadar kematian akibat penyakit ini. Kita perlu menjadikan vaksin ini sebahagian daripada NIP kita supaya semua kanak-kanak Malaysia akan mendapat perlindungan daripada penyakit ini.”

“Meskipun mendapat publisiti yang luas, ramai ibu bapa masih tidak menyedari tentang komplikasi dan keseriusan Penyakit Pneumokokal. Oleh itu, pengaruh politik diperlukan untuk melaksanakan langkah penting ini bagi menjaga kesihatan dan melindungi kanak-kanak. Kami berharap untuk menarik ibu bapa dan individu untuk menandatangani ikrar ini dan menunjukkan kebimbangan mereka terhadap nasib begitu ramai kanak-kanak Malaysia yang masih terus tidak dilindungi daripada penyakit ini,” kata Chan Li Jin, pengasas bersama Parenting2u.com, salah satu kumpulan ibu bapa yang mengetuai ABC Parent Coalition semasa persidangan media di Persatuan Kebajikan Ti Ratana, di mana 47 kanak-kanak diberi PCV dengan perlindungan paling luas secara percuma. Suntikan vaksin ini telah diberikan oleh Dr. Low Kok Thye, yang juga merupakan ahli ABC Parent Coalition. Bersama rakan setugasnya dari Klinik Medijaya, mereka menyumbangkan masa dan kepakaran perubatan untuk menjayakan kempen pelalian itu.

“Setiap ibu bapa tahu betapa susahnya menjaga anak yang sakit. Lebih-lebih lagi memandangkan kesan Penyakit Pneumokokal mungkin tidak dapat dilihat dengan serta-merta tetapi boleh muncul bertahun-tahun kemudian, seperti pekak, kekurangan upaya untuk berjalan, bertutur atau belajar seperti kanak-kanak normal. Jika ibu bapa tahu bahawa Penyakit Pneumokokal boleh dicegah, sudah tentu mereka akan bertindak untuk mengelakkan anak-anak mereka daripada menderita sepanjang hayat,” tambah Li Jin.

Dengan bimbingan pakar perubatan dalam ASAP, ABC Parent Coalition merancang untuk melancarkan satu kajian penyelidikan yang akan menyediakan data kuantitatif dan kualitatif untuk mengenal pasti kesan emosi dan kewangan yang dibawakan oleh Penyakit Pneumokokal di Malaysia. Penyelidikan ini akan mengumpul data kuantitatif tertentu untuk menunjukkan beban kewangan yang ditanggung untuk merawat penyakit pneumokokal, sambil menunjukkan beban emosi yang terpaksa diharungi oleh keluarga.

Persidangan media turut dihadiri oleh selebriti Daphne Iking, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair, yang meluangkan masa untuk menyokong kempen kemasukan PCV ke dalam NIP. Mereka menggesa orang ramai di Malaysia supaya melayari laman web www.abc4pneumococcal.com untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyakit pneumokokal dan menandatangani ikrar.

Banyak negara lain sudah mula mengiktiraf pentingnya pemvaksinan pneumokokus untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak. Lebih 53 negara telah memasukkan PCV dengan perlindungan paling luas daripada 13 jenis bakteria ke dalam NIP mereka, termasuk Singapura, Hong Kong dan Taiwan. Malaysia terkenal kerana sistem penjagaan kesihatannya yang menyeluruh dan setanding dengan negara maju, dan kemasukan PCV dengan perlindungan paling luas ke dalam NIP patut diberi keutamaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

Mengenai Kempen Aim for Broader Coverage [Sasarkan Liputan Lebih Luas]
Kempen ABC adalah kerjasama antara Pfizer Malaysia dan Asian Strategic Alliance for Pneumococcal Disease Prevention (ASAP) dan juga portal asuhan seperti Parenting2u, Pitter Patter dan SJ Echo.

Matlamat utama Kempen ABC 4 Pneumococcal [Sasarkan Liputan Lebih Luas untuk Menentang Penyakit Pnemokokal] ialah untuk menerapkan kesedaran terhadap bahaya Penyakit Pneumokokal dan mendapatkan sokongan ibu dalam perjuangan menentang penyakit yang boleh membawa maut ini. Meskipun kadar kematian dan kehilangan upaya akibat Penyakit Pneumokokal terus meningkatkan di seluruh dunia, ramai ibu bapa masih tidak menyedari bahawa penyakit ini boleh menjejaskan seisi keluarga dan meletakkan mereka dalam risiko kehilangan nyawa anak tersayang.

Kesedaran terhadap bahaya Penyakit Pneumokokal memperkasakan ibu bapa untuk membuat pilihan berasaskan pengetahuan tentang langkah pencegahan dan perlindungan. Ibu bapa digalakkan bersatu menentang Penyakit Pneumokokal dengan menyokong Seruan untuk Bertindak dalam usaha mencegah Penyakit Pneumokokal.

Mengenai Pfizer Malaysia
Pfizer Malaysia beriltizam untuk ‘Bersama-sama Berusaha Membina Dunia Lebih Sihat’ (“Working Together for a Healthier World™). Kami menggunakan sumber global kami dan berusaha menetapkan piawaian bagi kualiti, keselamatan dan nilai ubat untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di setiap peringkat kehidupan. Portfolio penjagaan kesihatan terpelbagai kami termasuk biologi manusia, ubat molekul kecil dan vaksin dalam bidang Biofarmaseutikal, dan juga pelbagai jenis produk Pemakanan.

Kami juga bekerjasama rapat dengan penyedia penjagaan kesihatan awam dan swasta, dan juga masyarakat untuk menyokong dan meluaskan capaian kepada penjagaan kesihatan yang boleh dipercayai dan termampu di Malaysia. Pfizer Malaysia memulakan operasi pada 1964, dan setiap hari, kira-kira 500 kakitangannya di seluruh negara berusaha meningkatkan kesejahteraan dan memberikan sumbangan bermakna kepada semua pihak yang memerlukan kami.

Wyeth kini merupakan anak syarikat milik penuh Pfizer Inc. Penggabungan entiti Wyeth Malaysia dan Pfizer Malaysia sedang dilaksanakan dan meliputi beberapa bidang kuasa dan penggabungannya tertakluk kepada pematuhan dan penyempurnaan beberapa syarat undang-undang dan peraturan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Olivia Newton-John Live In Genting

AirAsia Reduces Baggage Fees