in , ,

Yasin Sulaiman Lancar Lagu MUZIK, Sentuhan Gitar dari Faizal Tahir

Ternyata identiti atau ‘trademark’ Arabian yang ada dalam lagu-lagu ciptaannya tidak dapat dipisahkan dengan beliau. Lagu ‘Muzik’ ini juga telah mendapat sentuhan gitar oleh sahabat rapat beliau iaitu Faizal Tahir.

Yasin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Yasin bukanlah satu nama baru di dalam industri seni tanah air. Beliau juga merupakan seorang penyanyi lelaki tersohor tanah air yang memperjuangkan lagu-lagu berentak world music. Yasin memulakan karier sebagai penyanyi sejak tahun 1995 menerusi kumpulan nasyid yang bernama Brothers.

Sepanjang beliau terlibat bersama kumpula Brothers, mereka telah merakamkan 5 buah album studio iaitu We Are (1997), Satu Perjuangan (1998), Untukmu Teman (2000), Brothers Reunited (2005) dan Sabar (2015). Dalam pada masa yang sama, Yasin juga telah merakamkan 3 buah album solo beliau iaitu iaitu Mimpi Laila (2001), Salsabila (2002) dan Arus Qudus (2009).

Yasin Sulaiman
Yasin Sulaiman

Yasin telah mencurahkan bakatnya lebih dari sepuluh tahun dalam dunia seni dan beliau juga telah banyak menggondol anugerah-anugerah di dalam industri muzik di atas kegigihannya dalam membangunkan industri muzik tanah air.

Beliau mula meniti populariti sebagai penyanyi solo pada era 2000-an, dimana lagu solo nyanyiannya yang berjudul ‘Mimpi Laila’ telah berjaya menaikkan nama beliau sebagai penyanyi dan komposer terkenal apabila memenangi gelaran juara keseluruhan di Anugerah Juara Lagu 2001. Album solo keduanya yang berjudul ‘Salsabila’ pula telah memenangi Anugerah Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-10 iaitu pada tahun 2003.

Selain daripada itu, beliau juga telah banyak menerbitkan dan mencipta lagu-lagu popular untuk penyanyi terkenal tanah air. Antara lagu popular hasil ciptaannya yang mendapat sambutan yang hebat adalah Wassini (Waheeda), Lagu Rindu (Dato Siti Nurhaliza), Ku Temu Cahaya (Dayang Nurfaizah) dan Alhamdulillah (nyanyian bersama Too Phat).

Di sepanjang perjalanan hidupnya sebagai seorang insan seni, Yasin mengaku bahawa beliau amat bersyukur kerana masih dikurniakan bakat seni yang masih di cari-cari oleh peminatnya. Walaupun hampir 8 tahun beliau mendiamkan diri, kini Yasin kembali di dalam persada seni tanah air dengan buah tangan baru.

Yasin Sulaiman

Jika sebelum ini Yasin amat popular dengan lagu-lagu hit nyanyian beliau seperti ‘Mimpi Laila’, ‘Salsabila’, ‘Kerna Dia’, dan ‘Nur Kasih’ nyanyian bersama Tiz Zaqyah. Kini, Yasin muncul dengan lagu terbaru bertajuk ‘Muzik’. ‘Muzik’ ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Yasin sendiri. Lagu ini juga masih mengekalkan konsep Arabian music yang sering dibawakan oleh Yasin.

Ternyata identiti atau ‘trademark’ Arabian yang ada dalam lagu-lagu ciptaannya tidak dapat dipisahkan dengan beliau. Lagu ‘Muzik’ ini juga telah mendapat sentuhan gitar oleh sahabat rapat beliau iaitu Faizal Tahir.

Industri muzik tanah air pasti akan bergegar sekali lagi dengan kehadiran lagu ‘Muzik’ oleh Yasin dan lagu ini juga merupakan sebuah hadiah buat para peminat beliau. Yasin juga berharap agar semua dapat menerima lagu ini dan terus menjadikan lagu ini hit seperti lagu lagu beliau yang sebelumnya.

Bagi peminat Yasin, jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu ‘Muzik’ yang kini sudah boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Raku, Joox dan juga Apple Music bermula 5 Ogos 2016 lalu.

Lagu ‘Muzik’ oleh Yasin ini merupakan sebuah lagi edaran digital oleh Warner Muzik Malaysia Sdn Bhd.

Yasin Sulaiman

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maya Karin Bakal Julang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-28?

Pelawak Veteran Pak Piee Meninggal Dunia