in , ,

Video Ulasan Filem THE EQUALIZER – Gila Wayang

Pada 24 September yang lalu, telah berlangsung ‪#‎PremierewithBudiey‬ membawa kita menonton filem aksi thiller terbaru lakonan hebat Danzel Washington – The Equalizer. Sangkaan awal agak meleset kerana 3 hari sebelum tu ‪#‎Budieybuddies‬ berkesempatan menonton filem “Walk Among The Tombstone” yang mana genre filemnya hampir sama. Untuk filem kali ini naratifnya agak perlahan dipermulaan tetapi tidak membosankan sehinggalah ke klimaksnya penuh dengan aksi ganas ala mafia.

Sebelum ke pawagam, apa yang anda patut tahu ialah Denzel Washington memegang watak McCall, seorang lelaki yang menjalani kehidupan serba rutin. Kehidupan rutin McCall berubah apabila dia mengambil keputusan untuk menolong seorang perempuan bernama Teri. Tanpa diketahui keputusan tersebut telah mengubah kehidupan McCall dan juga Teri.

Melangkah masuk ke pawagam untuk menonton The Equalizer saya lakukan kerana terpesona dengan trailer yang dipaparkan. Walaupun tidak menaruh harapan yang mengunung kepada filem adaptasi siri tv 80an ini, saya harus akui saya terpesona dengan hasil akhir filem ini. The Equalizer merupakan antara contoh filem yang buat saya tersenyum ketika keluar dari pawagam. Cukup berpuashati dengan hasil arahan Antoine Fuqua kali ini.
The Equalizer merupakan sebuah filem di mana pengarah bijak memaparkan aksi kena pada tempatkan, drama pada waktunya dan keganasan bersesuaian keperluannya. Bagi saya filem ini banyak mengigatkan saya kepada filem aksi di sekitar 80-90an. Cukup menghiburkan dan benar-benar memenuhi selera saya sebagai pengemar filem aksi.
Plot filem ini diatur bijak pada pendapat saya. Tidak terlalu gelojoh untuk memberi hiburan kepada penonton yang dahagakan aksi. Plot bergerak perlahan. Memberi ruang untuk penonton mengenali setiap watak dengan lebih mendalam. Antoine Fuqua mengatur bijak apa yang ingin disampaikan kepada penonton. Pergerakkan plot yang agak perlahan membolehkan “asas” dunia yang ingin ditonjolkan dibuat baik. Penonton dapat merasai kehidupan “rutin” yang dilalui oleh McCall lakonan mantap Denzel Washington. Dunia “sunyi” dan “rutin” McCall dipersembahkan dengan baik membolehkan penonton merasai apa yang dirasai oleh watak McCall. Walaupun bermula agak perlahan untuk sebuah filem aksi, plot filem ini tidaklah bosan. Ada sahaja perkara yang membuat saya teruja walaupun jangkamasa 20 minit pertama boleh dikatakan berlalu tanpa sebarang adegan aksi, hanya kisah rutin McCall dalam menjalani kehidupannya yang sunyi tanpa seorang isteri.
Perjalanan plot yang perlahan ini bagi saya amat bersesuaian dalam mengolah watak McCall itu sendiri. Penonton dapat menjiwai apa yang dirasai oleh McCall. Penonton akan teruja untuk mengetahui tindakan McCall seterusnya. Bagaikan satu “seksaan” terindah untuk melihat McCall beraksi dan apabila ianya berlaku, bagaikan mimpi indah ketika menontonnya. Pergerakkan plot selepas 30 minit cukup mendebarkan, walaupun ada beberapa ketikanya plot agak meleret tetapi selepas jangkamasa 1 jam sehingga akhir, plot tidak henti memberi aksi yang saya yakin akan buat penonton akan berpuas hati. Saya amat teruja menonton filem ini. Bagi saya kesabaran yang dilaburkan di awal filem ini berbaloi dengan apa yang diberi selepas itu.
Kesimpulan yang boleh dibuat dari segi plot, filem ini punyai plot yang menarik tetapi bermula dengan agak perlahan. Kesabaran yang diperlukan untuk melewati jangkamasa 30 minit pertama cukup berbaloi. Amat sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah filem aksi. Plot penceritaan logik dan bersesuaian dengan peredaran masa.
Dari sudut pemilihan pelakon pula, Denzel Washington sememangnya pilihan yang terbaik. Bagi saya kehadiran beliau berjaya bersesuaian dengan tone filem yang ingin diketengahkan. Imej beliau dari filem-filem sebelumnya amat terserlah dalam filem ini. Walaupun pada awalnya Russell Crowe dikatakan menjadi pilihan pertama tetapi saya merasakan pemilihan Denzel Washington lebih baik. Dari segi populariti pula, harus diakui kekecewaan dengan beberapa filem baru Denzel Washington membuatkan saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk filem ini. Akan tetapi segalanya berbeza kali ini,Denzel kembali memberi yang terbaik dan tidak salah jika saya katakan filem ini merupakan antara filem terbaiknya.
Mutu lakonan pula tidak dinafikan, Denzel memberi yang berbaik. Kehadirannya menjadikan filem ini lebih menarik. Gaya lakonannya mencorakkan keseluruhan mood filem. Chloë Grace Moretz walaupun hadir hanya seketika tetapi saya merasakan lakonan yang dipersembahkan olehnya memberi impak yang besar. Penonton dapat merasakan keperitan yang dilalui olehnya. Secara keseluruhan boleh dikatakan kesemua pelakon memberi yang terbaik dari segi lakonan. Tiada masalah bagi saya ketika menonton filem ini. Lakonan yang diberikan berjaya memberi impak dan memudahkan saya untuk mengenali watak serta memahami lebih mendalam perjalanan plot penceritaan.
Dialog yang terdapat dalam filem ini merupakan satu lagi kekuatan yang menambah nilai kepada keseluruhan filem. Bagi saya dialog dalam filem ini ditulis dengan begitu baik. Memberi perwatakkan kepada setiap watak. Memberi komedi yang bersahaja dan yang paling penting berjaya membuat penonton teruja ketika menonton filem ini. Secara keseluruhan saya merasakkan dialog yang terkandung di sepanjang filem ini benar-benar memberi identiti kepada keseluruhan filem.
Di nilai dari sudut aksi pula, filem ini bukanlah sarat dengan aksi seperti kebanyakkan filem aksi yang lain. Akan tetapi babak aksi yang dipaparkan tidaklah kurang, hanya hadir mengikut keperluan. Aksi yang dipersembahkan hebat. Memenuhi citarasa saya sebagai peminat filem aksi. Walaupun dari segi kuantiti agak kurang tetapi tidak bermakna filem ini gagal memberi hiburan dari segi aksi. Setiap aksi yang ditonjolkan berjaya memberi impak kepada penceritaan. Saya akui teruja setiap kali melihat Denzel beraksi walaupun kebanyakkan aksi yang terkandung dalam filem ini sangat ganas. Tahap keganasan yang dipersembahkan bagi saya bersesuaian dengan tone filem ini dan wajar untuk filem ini diberi rating 18. 
Dari sudut efek pula, oleh kerana filem ini hanya bermodalkan USD55 juta mutu efek yang dihasilkan tidaklah sehebat mana. Akan tetapi Antoine Fuqua agak bijak menjadikan filem ini kurang memerlukan bantuan efek. Hanya satu babak sahaja seingat saya dimana bantuan efek jelas kelihatan dibuat dengan bantuan komputer. Akan tetapi babak bekenaan juga dibuat supaya kelihatan begitu cool. Jadi kecacatan yang terdapat boleh dimaafkan pada pandangan saya.
Penerimaan para pengkritik untuk filem ini tidaklah sehebat mana. Dengan hanya 59% rating yang diberikan oleh Rotten Tomatoes dan 57% oleh MetaCritic filem ini wajar dilabel biasa. Penerimaan penonton biasa pula agak lebih positif. Sehingga kini selepas lebih 5 ribu penonton memberi undian di laman web IMDb, rating akhir masih kekal setinggi 7.7/10. Secara peribadi pula saya bersetuju jika filem ini dilabel menarik tetapi untuk mengangkat filem ini sebagai hebat tidaklah layak pada pendapat saya. Filem ini punyai kekuatan tersendiri. Menghiburkan dan wajar di tonton untuk mereka yang sukakan filem aksi pada amnya dan peminat Denzel Washington khususnya. Secara peribadi saya memberi rating 7/10 untuk filem ini.
Dari segi kutipan pula, masih terlalu awal untuk dibuat kesimpulan. Akan tetapi untuk tayangan awal filem ini telah berjaya mengumpul kutipan sebanyak USD12 juta sesuatu yang cukup membanggakan. Saya yakin filem ini akan mencapai status box-office dan berjaya mengembalikan modal USD55 juta yang dikeluarkan. Sequel untuk filem ini juga telah diatur walaupun hasil akhir kutipan masih tidak pasti. Penamat filem ini juga memberi gambaran bahawa usaha McCall hanya masih ditahap permulaan. Jadi tidak hairanlah sekiranya sequel telah diatur selepas ini.
Secara kesimpulannya, The Equalizer boleh saya katakan sebuah filem aksi yang punyai segalanya, aksi yang menarik, dialog yang hebat dan plot penceritaan yang tidak membosankan. Sangat berbaloi untuk ditonton walaupun tontonan berbayar. Bagi peminat filem aksi saya sangat mencadangkan untuk anda menonton filem ini walaupun aksi yang dipaparkan bukanlah sarat dari permulaan cerita. The Equalizer adalah contoh filem aksi yang seimbang dengan emosi. Wajar ditonton. Bagi peminat Denzel pula, saya rasa filem ini dapat mengembalikan kerinduaan anda melihat beliau memberi sebuah lakonan yang mantap setelah sejak kebelakangan ini filem yang dibintangi olehnya kurang menarik. Secara peribadi saya tiada masalah untuk menonton kali kedua filem ini dan semestinya filem ini akan menjadi sebahagian dari koleksi filem yang akan saya kumpul.

Apa yang menariknya adalah watak yang di lakonkan oleh Danzel Washington dalam filem ini begitu dinamik. dia bagaikan seorang bapa, sahabat, penyelamat, adiwira tak bertopeng. Semua watak ini “well-blended”.

Wataknya “cool” tapi brutal… dalam erti kata lain dia ganas tapi bersopan. Filem ini agak ganas untuk tontonan mereka yang dibawah 18 tahun. Skripnya juga ada kesan kesan kotor yang terlepas pandang oleh LPF seperti “anak kucing” dan “ayam jantan”.

Jangan bawa anak anda menonton filem ini. Kisahnya berkisar mengenai seorang bekas ejen CIA/FBI yang identitinya telah ditukar terbabit secara tidak sengaja dalam usaha membenteras kegiatan sendikrt pelacuran elit “russian girl yang didalangi oleh geng mafia rusia yang bertapak di bandar New York.

Mampukah seorang pelacur menggerakkan hati seorang duda menjadi seorang adiwira tak bertopeng. Haaa… baru sikit tuh I bagi. Tak nak kasik spoiler tapi majority nya memberikan 4-5 bintang. I sendiri bagi 10 bintang…boleh?!!!.

So maksudnya pergilah tengok, tak rugi. Terima kasih kepada Budiey Isma, #Budieybuddies ‪#‎BudieydotCom‬ ‪#‎Budieyators‬ yang hadir pada malam ini. Tunggu review kami untuk filem ini di YouTube Channel Budiey.com. Pengulas: Fanatik Filem & Cyrill Hassan.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

AirAsia Clinches Best Low-Cost Airline Award

Makan Malam Anuar Zain Sempena Ulangtahun Pusat Jantung Kanak-Kanak Kongenital