in , ,

Tiga Drama Bersiri Menarik di TV3 Bakal Menjentik Emosi Penonton 

TV3 sentiasa menyediakan naskhah yang segar dan penuh emosi kepada peminat drama Melayu di Malaysia. Pelbagaikan emosi anda dengan drama-drama terbaharu di TV3 menerusi slot Akasia, Samarinda dan Lestary.

Selami kisah sedih anak gadis kampung yang terpaksa menempuh seribu satu ujian di usia yang muda menerusi Tentang Hati Dia di slot Akasia. Manakala slot Samarinda pula bakal meningkatkan adrenalin anda dengan kisah seorang wanita tersepit dalam merahsiakan salah satu peristiwa pembunuhan bersiri yang disaksikannya di dalam drama Obsesi Dia, dan bagi slot Lestary pula, drama bertajuk Keria Women yang menyaksikan kegigihan wanita dalam mengusahakan perniagaan tempatan sehingga menempa nama ke seluruh negara.

Akasia: Tentang Hati Dia (28 episod), Mulai 3 Julai 2023, Isnin – Jumaat, 7.00 malam

Pelakon: Aliff Aziz, Trisha Ooi, Nafiz Muaz, Fazlina Dato Ahmad Daud, Muaz Zabir, Datin Nor Aliah Lee

Produksi: Mache All Star United Sdn Bhd

Pengarah: Amor Rizan

Penulis Skrip: Farhana Fauri

Tiga Drama Bersiri Menarik di TV3 Bakal Menjentik Emosi Penonton

Tiara adalah seorang anak gadis berasal dari kampung yang diduga dengan pelbagai cabaran di usia muda. Ketika menunggu keputusan peperiksaan SPM, Tiara mendapati bahawa dia hamil hasil daripada pelakuan sumbangnya bersama Khalid. Fatimah, ibu Tiara, marah apabila mendapat tahu tentang berita kehamilan Tiara dan memaksanya menggugurkan kandungan tersebut. 

Wafi yang merupakan kawan baik Khalid baru sahaja menghabiskan pembelajarannya di luar negara dan pulang ke Malaysia dengan hasrat untuk mengahwini tunangnya, Darina. Namun, semangat berkobar-kobar Wafi setelah mengharungi cinta jarak jauh hancur apabila Darina menuntut agar pertunangan mereka diputuskan. 

Konflik memuncak apabila Tiara yang buntu untuk membetulkan kesilapannya telah pergi ke ibu kota untuk mencari Khalid yang menghilangkan diri. Tiara cuba menjejaki Khalid dengan harapan Khalid dapat membantunya menyelesaikan masalah yang timbul itu. Dapatkah Tiara menjejaki Khalid dan melepaskan diri dari segala masalah yang menimpanya? Bagaimana kesudahan kisah Wafi pula, masihkah ada ruang untuk cinta berputik di hatinya setelah dikecewakan?

Samarinda: Obsesi Dia (15 episod), Mulai 5 Julai 2023, Isnin – Khamis, 10.00 malam

Pelakon:  Sophia AlBarakbah, Zahiril Adzim, Zaki Azeman, Ashraf Muslim, Fify Azmi, Jay Iswazir

Produksi: Saphire Screen Sdn Bhd

Pengarah: Eoon Shuhaini

Penulis Skrip: Rozie Rashid

Tiga Drama Bersiri Menarik di TV3 Bakal Menjentik Emosi Penonton

Ulang tahun ke-18 Affiyah bertukar tragedi apabila dia secara tidak sengaja menyaksikan pembunuhan yang kejam. Takut menjadi mangsa seterusnya, Affiyah yang diugut oleh pembunuh berjaket hud telah berjanji untuk merahsiakan peristiwa tersebut daripada orang lain. 

Affiyah yang ketakutan telah didesak oleh ibunya untuk menceritakan tentang peristiwa yang disaksikannya. Akhirnya, Affiyah menceritakan tentang peristiwa tersebut dan ibunya bertekad untuk membuat laporan polis. Hal ini sampai ke pengetahuan pembunuh berjaket hud itu dan telah menaikkan api kemarahannya dan bertindak untuk membunuh ibu Affiyah.

Sejak itu, Affiyah takut orang sekelilingnya dibunuh dan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan segala rahsia pembunuh berjaket hud itu. Namun, rahsia mula terbongkar satu persatu oleh orang sekeliling Affiyah yang mahu mencari kebenaran di sebalik misteri pembunuhan bersiri itu. Adakah pembunuhan bersiri ini bakal berterusan? Berjayakah pembunuh berjaket hud itu ditumpaskan? 

Lestary: Keria Women (13 episod), Mulai 8 Julai 2023, Khamis – Sabtu, 9.00 malam

Pelakon: Rita Nadira, Sabrina Sharleen, Fify Azmi, Raja Ema, Ezaidi Aziz, Marc Syahmie, Muazmeer Mohsin, Shy Rim

Produksi: Anomali Media Production

Pengarah: Rusdi Ramli

Penulis Skrip: Intan Zarina M Yasin

Tiga Drama Bersiri Menarik di TV3 Bakal Menjentik Emosi Penonton

Drama ini mengisahkan tentang Naura, seorang pengurus kewangan di sebuah syarikat terkemuka yang kecewa setelah menjadi mangsa diskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja. Oleh kerana layanan yang tidak adil diberikan oleh bossnya, Naura tidak teragak-agak untuk meletak jawatan walaupun sebelum ini selesa dengan pekerjaannya di situ. 

Sally, pembantu peribadi Naura telah mengajak Naura untuk pulang ke kampung halamannya di Melaka agar Naura dapat menenangkan diri daripada peristiwa tersebut. Pada awalnya, Naura berasa janggal dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana di kampung kerana dia telah dibesarkan di bandar sejak umurnya masih kecil.

Cik Mah, ibu kepada Sally merupakan seorang peniaga kuih keria warisan yang cukup terkenal di kampung itu. Naura dapat melihat kuih keria Cik Mah itu berpotensi untuk tembus ke pasaran luar lantaran keistimewaan dan sambutan yang luar biasa. Berbekalkan pengetahuan dan pengalamannya sebagai pengurus kewangan, Naura mula membuat pelan bisnes untuk mengkomersialkan kuih keria itu walaupun masih janggal dengan peralihan kariernya. Berhasilkah percaturan Naura untuk mengkomersialkan kuih keria Cik Mah? 

Rasai pelbagai emosi pada bulan Julai ini dengan menyaksikan drama-drama bersiri hebat di TV3. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat! Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tomorrow X Together: Our Lost Summer Secara Eksklusif di Disney+ Hotstar

WAHANA Satukan Siqma & Hazwani Helmi, Lirik Bahasa Arab Amat Mencabar