in

Senarai Program Menarik TV9 Disember Ini

SEBELUM MELABUH TIRAI 2010

Masa berjalan terlalu pantas. Tahun 2010 bakal menutup tirai dan muncul pula 2011. Pelbagai aktiviti menarik terutamanya persembahan bunga api pastinya tidak lekang sepanjang sambutan malam tahun baru. Namun berlainan pula sambutan yang diberikan oleh TV9. Sepanjang Disember ini, iaitu sebelum tirai 2010 dilabuhkan, kami telah menyediakan pelbagai rancangan menarik menerusi tele-filem yang disiarkan setiap Rabu jam 10.30 malam, rancangan kanak-kanak sehinggalah acara padang iaitu Karnival Upin & Ipin TV9 khas untuk anda seisi keluarga.

Berikut adalah sinopsis menarik bagi rancangan–rancangan yang telah disediakan :

AKU, KAU & DIA
1 Disember, 10.30 malam

Tele-filem ini mengisahkan tentang cinta tiga segi antara Borhan, Ayu dan Fariz. Mereka bertiga amat rapat dan membesar bersama sejak kecil lagi. Borhan tinggal bersama keluarga Fariz setelah kematian bapanya. Sejak itu, Borhan dan Fariz menjadi semakin akrab seperti adik-beradik. Suatu hari, Borhan mendapat tahu dia menghidapi penyakit barah dan berada peringkat akhir. Pada masa yang sama Fariz pula mendapat tahu bahawa Borhan dan Ayu telah bercinta sejak di tingkatan tiga. Fariz kecewa kerana Fariz juga menaruh hati terhadap Ayu. Namun kerana sayangkan Ayu dan kasihan dengan penyakit yang dihidapinya, Borhan telah meminta Fariz untuk mengahwini Ayu. Adakah Fariz akan mengahwini Ayu terutamanya apabila mendapat tahu tentang penyakit yang dihidapi oleh Borhan? Aku, Kau & Dia arahan M. Hitler ini dibintangi oleh Wan Elyas, Wan Sharmila dan Ryzal Jaffar.

TEH O AIS LIMAU
8 Disember, 10.30 malam

Setiap orang pastinya mempunyai impian atau cita-cita di dalam hidup tetapi untuk merealisasikannya perlulah berusaha. Begitu juga dengan Kamal yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruhebah radio (DJ) dan menjadi terkenal. Mana mungkin impiannya tercapai kerana Kamal merupakan seorang yang pemalas walaupun pandai berkata-kata dengan pelbagai falsafah. Namun setiap falsafah itu tidak pernah diikut tetapi hanya bermain dibibirnya sahaja. Pada masa yang sama ada seorang remaja bernama Nurul yang kini bekerja di sebuah kedai DVD. Nurul sedang menunggu keputusan STPM dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di universiti. Kamal dan Nurul sering berjumpa di kedai Rahman dan kebetulan pula minuman kesukaan mereka adalah Teh O Ais Limau. Di situ, bermulalah timbul bibit-bibit percintaan antara mereka. Namun untuk mengekalkan hubungan cinta ini, mereka perlu berhadapan dengan pelbagai halangan dan rintangan seperti Nurul diganggu oleh bekas teman lelakinya dan juga Kamal yang sering diganggu oleh bekas teman wanitanya. Bagaimana kisah hubungan percintaan mereka dan berjayakah Kamal menjadi DJ radio yang menjadi impiannya selama ini? Saksikan tele-filem komedi menarik arahan Along Kamaludin bersama lakonan Zul Huzaimy, Almy Nadia, Roy Azman dan Zaryn Min.

DUDA BERHIAS
15 Disember, 10.30 malam

Duda Berhias arahan Arab ini menceritakan tentang dua orang duda yang tinggal serumah. Seorang bernama Hamzah yang bekerja sebagai mekanik dan seorang lagi Malik (Erry Putra) yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Hamzah lakonan Fauzi Nawawi telah jatuh hati dengan Ayu (Siti Fazurina) yang dilihatnya sering menunggu bas di hadapan bengkel tempat dia bekerja. Hamzah sering menceritakan tentang Ayu kepada Malik. Ini membuatkan Malik terasa tercabar kerana masih belum berjumpa dengan mana-mana wanita yang dapat dipikat. Apatah lagi Malik kecewa kerana masih gagal mencari sebarang pekerjaan. Ketika membawa diri dengan motosikal buruknya, Malik terlihat sepasang kekasih bertengkar di tempat letak kereta. Malik terus membantu wanita yang dilihat itu daripada dipukul oleh teman lelakinya. Malik cukup pantang melihat lelaki memukul wanita dan telah memukul lelaki terbabit sehingga teruk. Wanita tersebut iaitu Yasmin (Emelda Rosmila) amat berterima kasih dengan bantuan Malik dan membawa Malik berjumpa dengan bapanya. Sebagai balasan, bapa Yasmin telah menawarkan pekerjaan kepada Malik sebagai Pegawai Sekuriti di syarikat miliknya dan Malik dibawa oleh Yasmin ke pusat membeli-belah untuk berbelanja. Apabila tiba di sebuah kafe, Malik ternampak Hamzah dan ingin membuat kejutan kepadanya. Namun sebaliknya berlaku, apabila Malik terkejut melihat bekas isterinya Ayu bersama Hamzah. Bagaimana pula dengan Yasmin? Adakah Yasmin yang kini teman wanita Malik merupakan bekas isteri kepada Hamzah? Saksikan aksi lucu keempat-empat bintang terkenal tanahair ini di dalam Duda Berhias.

HARUSKAH AKU MATI
22 Disember, 10.30 malam

Zul Huzaimy yang melakonkan watak Irfan didapati menghidap penyakit barah otak. Isterinya Kamalia ingin membawa Irfan berubat di hospital tetapi ibunya berkeras ingin mengubatkan anak kesayangannya dengan cara tradisional. Ini membuatkan Kamilia dan Irfan berada di dalam keadaan dilema dan berbelah bagi. Kamalia ingin mendapatkan perubatan yang terbaik bagi suami tercinta tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana ibunya menghalang. Apa yang harus dilakukan oleh Kamalia untuk membawa suaminya ke hospital? Adakah dia perlu menurut kata ibunya walaupun dia tahu bahawa perubatan moden sahaja yang dapat menyelamatkan suami tercinta? Tele-filem ini turut dilakonkan oleh Fasha Sandha, Wan Maimunah dan Syed Ali.

5 DISEMBER
29 Disember, 9.30 malam

Mastura lakonan Umie Aida dan Aidil yang dilakonkan oleh Aqasha, telah bercadang untuk melangsungkan perkahwinan pada 5 Disember. Aidil telah mendapat pekerjaan tetap di Kuala Lumpur dan Mastura juga telah meminta Aidil mencarikan pekerjaan untuknya di sana supaya dapat membantu Aidil apabila berkahwin kelak. Mastura bertambah gembira apabila mendapat tawaran di Kuala Lumpur dan diminta untuk menghadirkan bagi sesi temuduga pada hari raya ketiga. Ibu Mastura meminta temuduga itru ditangguh seelok-eloknya selepas mereka berkahwin tetapi Mastura terlalu teruja dan tidak sabar untuk ke Kuala Lumpur. Mastura akhirnya bertolak dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Aidil juga setia menunggu Mastura di stesen bas namun sehingga pukul 12 tengah malam, Mastura tidak juga muncul. Ini membuatkan Aidil berasa amat risau. Keadaan menjadi semakin tegang apabila ibu bapa Mastura mendapat panggilan daripada polis meminta mereka mengecam mayat yang dijumpai di tempat pembuangan sampah. Mastura telah dirogol, diliwat dan akhirnya dibunuh. Aidil terutamanya keluarga Mastura berasa amat kecewa dan sedih apabila mendapati mayat tersebut adalah Mastura. Kekecewaan ini juga dikongsi bersama kakak sulung Mastura iaitu Laily Mastika, seorang peguam yang handal dan adik bongsunya Mohd Kasturi, seorang peniaga berjaya. Mastika bersumpah untuk mencari keadilan bagi adik kesayangannya yang dibunuh kejam. Pihak polis menahan seorang pemandu bas bernama Asmad namun Asmad tidak mengaku dengan kesalahannya. Namun akhirnya Asmad mengaku telah diupah dan berpakat dengan seorang lelaki bernama Firdaus, lelaki yang telah merogol dan membunuh Mastura. Siapakah lelaki bernama Firdaus ini? Adakah dia mengenali Mastura? Jangan lupa saksikan tele-file berjudul 5 Disember yang penuh dengan tragis dan kisah menyayat hati yang turut dijayakan oleh Aaron Aziz, arahan Erma Fatima.

Kemeriahan sepanjang Disember ini tidak berhenti menerusi tele-filem ini sahaja. Kami juga tidak lupa kepada adik-adik yang kini sedang seronok menghabiskan cuti sekolah yang panjang di rumah. Kami di TV9 telah menyediakan beberapa rancangan kegemaran adik-adik termasuklah juga dua peraduan hebat yang mesti disertai iaitu “Peraduan Tonton dan Menang Yeah Yeah Cuti Sekolah” dan “Peraduan Tulis Dan Menang” di mana adik-adik hanya perlu menonton kartun Perman yang telahpun memasuki musim kedua, musim terbaru Upin & Ipin serta Kochikame setiap minggu dan jawab soalan-soalan senang yang dikemukakan bersama slogan terbaik. Hadiah-hadiah menarik seperti permainan PSP, iPod Nano, PS3 dan beberapa barangan eksklusif menanti adik-adik semua. Pastikan adik-adik menghantarkan setiap penyertaan kepada :

Kids & Teens TV9
Jabatan Pengurusan Penjenamaan TV9
Tingkat 2, Sayap Utara
Sri Pentas, Bandar Utama
47800 Petaling Jaya
Selangor

Kochikame akan bersiaran buat pertama kalinya di TV9 setiap Khamis bermula 2 Disember jam 7 malam, musim kedua Perman, yang begitu perkasa dengan kuasa topengnya akan mula disiarkan mulai 3 Disember ini, pada setiap hari Jumaat, jam 7 malam.

Turut dimuatkan adalah kartun Tamagotchi pada hari Sabtu jam 6 petang pada 25 Disember ini. Filem kartun ini mengisahkan tentang Mametchi yang telah meyiapkan ciptaannya di Planet Tamagotchi.

Di bumi pula, Tanpopo sedang menghantar sesuatu kepada ibunya dan tanpa disedari, Mametchi dan Tanpopo diberikan tanggungjawab untuk menjaga adik mereka. kepada adik-adik yang berminat dengan aksi lasak, Masked Rider Kiva akan menghiburkan adik-adik semua pada setiap hari Ahad, jam 6 petang, mulai 26 Disember ini.

Lebih menyeronokkan apabila adik-adik juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat lagi maskot Upin, Ipin dan rakan-rakannya yang lain menerusi Karnival Cuti Sekolah Upin & Ipin TV9 yang akan diadakan di Melaka Wonderland pada 4 hingga 7 Disember bermula jam 10 pagi hingga 6 petang dan seterusnya di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 24 hingga 28 Disember 2011 bermula jam 10 pagi hingga 7 malam. Di karnival ini juga, ibu dan bapa berpeluang untuk membeli keperluan barangan sekolah untuk anak-anak pada harga yang lumayan dan berpatutan seperti baju sekolah, kasut dan alat tulis.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang anda untuk menonton rancangan rancangan menarik yang telah disediakan khas buat anda semua sepanjang Disember ini hanya menerusi stesen Di Hatiku TV9.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Sua Rasa TV9 di Tapak Ekspo Maha Serdang

Mari Menari Minggu 7 Tiada Penyingkiran