in

Yang Luar Biasa Tentang Rumah Mewah Dato’ Sri Aliff Syukri

KEINGINAN usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri memiliki rumah agam termakbul apabila banglo yang menjadi impiannya sudah siap dibina di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Diberi nama Aliff Syukri Palace, rumah berkeluasan 40,000 kaki persegi itu dilengkapi dengan 30 buah bilik termasuk surau, pawagam mini dan bilik karaoke.

Aliff berkata, impian memiliki sebuah rumah mewah bak istana muncul ketika mengunjungi Istana Pahang semasa menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk kira-kira lapan tahun lalu.

“Ketika itu saya menerima darjah kebesaran di Istana Pahang dan saya tertarik dengan kemewahan istana dan mengimpikan untuk memiliki sebuah rumah mewah berkonsepkan begitu.

“Saya sedar saya hanya orang biasa dan bermula daripada situ saya menyimpan azam dan berusaha untuk mencapai impian ini.

“Alhamdulillah akhirnya tahun 2018, impian saya ini berjaya direalisasikan dan ia adalah hasil kerja keras saya sendiri,” katanya dipetik mStar Online.

Difahamkan, mahligai dengan rekaan Royal Modern Classic itu dibina di atas empat bidang tanah lot banglo yang bernilai RM13 juta dan Aliff memperuntukkan RM11 juta bagi kos hiasan dalaman.

Pun begitu, usahawan kosmetik tersebut dikatakan enggan berkongsi kos keseluruhan pembinaan rumah agam berkenaan yang mula dirancang sejak 2015.

Dalam pada itu, Aliff memberitahu niat beliau berkongsi mengenai kediaman tersebut bukan bertujuan untuk menunjuk kemewahan tapi sekadar inspirasi kepada orang ramai.

“Demi Allah saya bukan nak riyak. Apa yang saya kongsi ini adalah hasil usaha sepanjang melalui kepayahan hidup, dari tiada apa-apa sehingga tercapai ini semua.

“Saya mahu orang di luar sana menjadikan ini sebagai inspirasi dan jangan pernah mengalah untuk gapai impian. Harap-harap tak ada yang kecam kerana saya hanya ingin berkongsi yang baik-baik sahaja,” ujar Aliff.

Memetik beberapa sumber selain daripada mahligai berkenaan, Aliff juga memiliki kediaman di Pavilion, Kuala Lumpur dan beberapa hotel termasuk di Lombok dan London.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Enam Peserta Layak Ke Bintang RTM 2018 Akhir

Muzik Video Siti Nordiana Trending di Youtube Malaysia