in ,

RIMA MELATI, ZIZAN NIN DALAM DRAMA TERATAK KASIH TOK MAK

TERATAK KASIH TOK MAK, DRAMA MENARIK MENGISI SLOT CITRA  PADA 19 DISEMBER 2008 DI RTM2

Cuti sekolah ini ramai di kalangan ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka meluangkan masa bersama datuk dan nenek mereka di kampung. Apatahlagi kesempatan yang ada bukanlah selalu tiba dan inilah masa yang dirasakan begitu sesuai mendekatkan hubungan silaturahim antara si datuk dan nenek dengan cucu kesayangan masing-masing yang selama ini jauh terpisah di bandar.

Namun pastinya situasi begini menimbulkan pelbagai kemungkinan yang sukar dijangka. Hakikatnya tidak semua orang dengan mudah dapat menyesuaikan diri dengan begitu sahaja. Sementelahan pula bagi yang sudah terbiasa dengan situasi di bandar tetapi kini terpaksa membiasakan diri melalui kehidupan di kampung.

Justeru dengan membariskan nama pelakon seperti Maimun Talib, Rima Melati, Zizan Nin, Azahari Azizam, Liza Abdullah, Mas Aira, Zarin Min dan Robin Lai, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama menarik Teratak Kasih Tok Mak yang disiarkan pada hari Jumaat (19 Disember 2008), jam 10.00 malam, mengisi slot tontonan ramai, Citra di RTM2.

Cuba mengetengahkan plot hampir sama, Teratak Kasih Tok Mak terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd ini mengangkat paparan kisah yang berkisar tentang seorang kanak-kanak yang terpaksa tinggal dengan neneknya apabila ibunya terpaksa menghantarnya pulang ke kampung setelah kematian suami secara tiba-tiba.

Demi meneruskan kehidupan, ibunya terpaksa meninggalkan bagi mencari rezeki di bandar untuk membesarkan anaknya, Adam. Di sini bermula kehidupan baru bagi Adam di mana neneknya adalah seorang yang tegas dan tidak memanjakan dan membelainya seperti mana semasa dia tinggal dengan ibunya.

Neneknya seorang yang jimat dan Adam diajar dengan penuh disiplin. Tiada belaian manja dan neneknya sentiasa bijak menangani kehendak Adam dengan pemikirannya yang kreatif. Neneknya mengajar Adam untuk berusaha jika mahu dapatkan sesuatu dan jangan mengharapkan pemberian orang.

Lalu bagaimanakah Adam cuba mengharungi hari-hari seterusnya? Dapatkah dia mengikut rentak neneknya dan menyedari niat baik neneknya itu? Jangan ketinggalan menyaksikan Teratak Kasih Tok Mak yang disiarkan pada hari Jumaat (19 Disember 2008), jam 10.00 malam, mengisi slot tontonan ramai, Citra di RTM2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Afdlin Shauki, Belinda Chee @ Pelancaran Botol Evian Edisi Terhad

Adam Jayarathinam dan Nicollete Ng Yu Li Juara The Ultimate Prom Nite