in

Pelakon Noorkhiriah Selamat Bersalin

Selepas tiga tahun menunggu, akhirnya pelakon Noorkhiriah, 33, dikurniakan bayi lelaki pada pukul 9 pagi tadi di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya. Menurut Noorkhiriah atau nama sebenarnya Norkhiriah Ahmad Shafie, dia masih menunggu suaminya memberitahu nama anak sulungnya yang seberat 2.56 kg itu.

4081909532 A3527C87E8 O | 4

“Saya dan suami, Azfaidzul Antan telah sepakat kalau bayi lelaki, dia yang akan beri nama manakala kalau perempuan, saya yang kena beri… jadi sekarang saya tak tahu apa namanya sebab suami sedang uruskan pendaftaran nama bayi,” katanya dalam nada suara yang lemah ketika dihubungi.

Walaupun lemah kerana bersalin secara pembedahan, pelakon yang mendapat jolokan Artis Komedi Paling Popular di Anugerah Bintang Popular 2008 ini menyambut kelahiran bayinya dengan pelbagai rasa.

“Alhamdulillah, saya tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan sekarang. Ada rasa gembira, terharu dan tak percaya sebab dulu biasa berlakon dengan anak orang tetapi kali ni anak sendiri yang berada di sebelah. Dia asyik tidur sahaja,” ujarnya yang turut menerima kedatangan rakan artis lain seperti Ann Ngasri sejurus selepas bersalin.

Diikutkan dia dijangka bersalin pada 16 November ini tetapi Noorkhiriah yang pernah keguguran sebelum ini tetap bersiap sedia untuk menerima kehadiran putera sulungnya itu.

“Kalau boleh, memang saya nak bersalin secara normal sebab saya dah pun siapkan air selusuh dan minyak selusuh tetapi minggu lepas doktor beritahu saya perlu bersalin secara pembedahan. Doktor kata kepala bayi hampir di sebelah uri saya. Jadi, sebab saya tidak mahu mengambil risiko, saya bersetuju juga untuk melakukan pembedahan. Bukan senang saya nak tunggu bayi ni keluar..tiga tahun,” tuturnya yang tidak menolak untuk mempunyai cahaya mata lagi.

Noorkhiriah berkata semuanya bergantung kepada rezeki Tuhan dan sempat mengaitkan aktres Lisdawati dengan dirinya.

“Kalau ada rezeki, memang saya nak anak lagi. Orang kata memanglah bersalin secara pembedahan ni perlu ambil masa untuk mempunyai anak lagi. Tetapi ada juga yang cepat dapat anak kedua seperti Lisdawati selepas bersalin anak pertamanya secara pembedahan,” tambahnya yang akan bercuti sementara daripada karier seni sehingga Februari depan.

Selepas keluar dari hospital dua hari lagi, pelakon filem ‘Susuk’ dan ‘Gubra’ ini akan berpantang di kampungnya di Raub, Pahang. Dia juga berterima kasih kepada rakan-rakan, peminat dan sesiapa yang mendoakannya dari jauh. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Movie Day Out Sensasi Selebriti – FILEM WHITEOUT

Kereta Betty Benafe Hilang Dicuri