in

Nabil Tukar Nombor Plat Kereta Takut Penjenayah

Pelawak Ahmad Nabil Ahmad mengambil keputusan untuk menukar nombor plat keretanya kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah selepas kenderaannya itu dipecah masuk pada Isnin lalu.

Nabil berkata, dia nekad berbuat demikian kerana ketika ini nombor plat kereta Mitshubishi Lanser miliknya itu menggunakan kombinasi huruf yang ada persamaan dengan namanya.

Nabil

“Ini merupakan pengalaman pertama apabila kereta saya dipecah masuk dan ia membuatkan saya risau apa yang bakal terjadi pada masa depan jika penjenayah atau sesiapa sahaja mengetahui ia adalah kereta saya kerana nombor pendaftarannya. Tindakan itu juga bagi menjamin keselamatan saya dan keluarga.”

Nabil ditemui di Hotel Istana di sini pada Selasa sempena majlis pengumuman barisan artis yang bakal membuat persembahan dalam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) yang akan berlangsung pada 14 Disember depan.

Dalam kejadian Isnin lalu, Nabil menyedari keretanya dipecah masuk oleh penjenayah selepas dia bersama isteri, Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla yang berusia setahun selesai makan malam di sebuah restoran di Sungai Buloh, dekat sini.

Kejadian itu disedari ketika Nabil hendak mengundurkan keretanya apabila dia melihat cermin belakang sebelah kanan keretanya pecah.

Selain kad pengenalan, beg galas yang diisi baju sukan turut dilarikan penjenayah.

Sementara itu, Nabil menyifatkan memiliki nombor plat kenderaan yang mempunyai persamaan dengan nama sendiri terutamanya bagi seseorang selebriti boleh mengundang bahaya tanpa sedar.

Beritahunya, walaupun nombor itu dilihat unik dan glamor, tetapi ia lebih memudahkan individu yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah.

“Saya nasihatkan buat para artis, walaupun seronok memiliki nombor plat seperti yang diinginkan, tetapi ia sebenarnya membahayakan. Lebih baik kita menggunakan nombor biasa sebagai langkah keselamatan,” tegasnya. Sumber : Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Bini Aku Hantu Langsuir Pecah Rekod

Peraduan Jom Menonton Filem Captain Phillips