Bergelak Ketawa Dengan Tayangan Komedi Muzikal S.Y.O.K Mulai 27 Mei Ini Di TV1
Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil membawakan dimensi baru dalam program terbitannya apabila muncul dengan Program Komedi Muzikal ‘S.Y.O.K’ yang bakal bermula tayangannya pada 27 Mei ini, setiap Jumaat, jam 9.00 malam di TV1.
Dibintangi barisan pelawak berpengalaman seperti Harun Salim Bachik, A.R Badul, Saiful Apek dan Kartina Aziz, kehadiran Johan Raja Lawak dan penyanyi Adibah Noor dijangka dapat menarik perhatian penonton kerana keistimewaan siri sitkom ini ialah ia bukan sahaja membuatkan penonton tidak kering gusi tetapi turut dipersembahkan dalam bentuk komedi muzikal.
Sitkom muzikal S.Y.O.K selama sejam itu yang diterbitkan dalam 15 siri mempunyai tema berbeza-beza pada setiap minggu. Pada masa sama program ini dilihat sebagai salah satu cara RTM menyampaikan mesej dan dasar kerajaan melalui selitan unsur komedi yang berunsurkan nasihat.
Pendekatan ini lebih berkesan kerana ia dilakukan secara santai di samping mengetengahkan gabungan pelakon komedi lama dan baru yang dilihat mampu menarik lebih ramai penonton menyaksikan siri hasil skrip oleh Ahmad Zainuddin Abdullah itu. Apatah lagi mereka sememanngnya mempunyai gaya dan cara tersendiri untuk menyampaikan mesej masing-masing.
Nyata kelainan cuba ditonjolkan menerusi sitkom ini yang telah menjalani proses rakamannya bertempat di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan, baru-baru ini di mana setiap siri ia akan dilakonkan dengan watak yang berbeza bergantung kepada tema ditetapkan. Malah sitkom komedi ini berbeza dengan cara konvensional yang biasanya disampaikan kepada penonton menerusi gerakan tubuh dan cara pertuturan. Sebaliknya menerusi S.Y.O.K, ia menerapkan elemen muzik dalam menyampaikan mesej yang tersirat.
S.Y.O.K muncul dengan siri pertamanya pada 27 Mei ini dengan tajuk Suami Rumahtangga yang meninjau suasana para peserta yang menjalani kursus bengkel masak memasak. Bengkel ini telah dikendalikan oleh Chef Lan yang ingin membantu para peserta yang terdiri daripada para suami dan isteri yang rajin tolong turun di dapur di samping menggalakan mereka menceburi bidang perniagaan makanan.
Pengajaran yang diketengahkan antaranya perlunya amalan berjimat-cermat dalam kehidupan seharian terutama ketika kegawatan ekonomi, cuba tambah pendapatan dengan melakukan kerja sampingan seperti berniaga dan sebagainya juga jika ada kelapangan sediakan sendiri hidangan untuk keluarga anda kerana anda boleh menentukan samada hidangan itu berkhasiat atau sebaliknya.
Lagu yang diselitkan dalam episod ini termasuklah Sampai Syurga, Pagi yang Gelap, Pudar dan Bunyi Gitar. Episod pengenalan ini turut mengundang pelawak Jep Sepah dan Dira Abu Zahar.
Program S.Y.O.K diterbitkan oleh Nor Khuzaimah Abd. Aziz (Unit Hiburan TV RTM).