in , , ,

Kombinasi Menarik Benzooloo & Khodi Dalam EMOSI, Bakal Jadi Lagu Penutup Drama SCAMMER

Dua nama ini, Benzooloo dan Khodi datang daripada genre serta latar belakang berbeza. Benzooloo adalah komposer dan penyanyi rap yang dipuja dengan corak karya berlirik lantang namun unik. Manakala, Khodi kian memikat ramai dengan kelunakan suara nyanyiannya.

Menggabungkan mereka pertama kali menerusi lagu ‘Emosi’, ternyata satu kombinasi menarik. Paling mengujakan, Benzooloo dan Khodi sememangnya memiliki akar muzikal yang begitu kuat untuk genre masing-masing. Sekali gus, kerjasama mereka menerusi lagu ciptaan Farouk Roman ini menjadikan Emosi ada magnet tersendiri.

Meskipun judul itu sendiri terlalu besar takrifannya, Emosi menggambarkan realiti zaman sekarang yang tewas dengan nafsu mengejar kekayaan. Tanpa mempedulikan hukum dan kebenaran, manusia rakus turutkan ketamakan itu. Bahkan, ada yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga sesat dan tiada arah tujuan.

Mengakui kerjasama menghasilkan Emosi sangat istimewa, apapun bagi Benzooloo, tarikan utama Emosi semestinya terletak pada mesej yang disampaikan. Demikian juga rentak muziknya yang sebenarnya cukup asing namun berjaya disempurnakan dengan bergandingan bahu bersama Farouk.

EMOSI

“Lagu ini berkenaan sifat manusia yang boleh berubah sekelip mata apabila melihat wang atau harta di depan mata seperti mana kita selalu lihat terjadi. Paling saya suka mengenai emosi adalah rentaknya. Ini kerana ia pertama kali saya hasilkan rentak sebegini dan pengalaman pertama bekerja dengan Farouk.

“Kalau ditanya bahagian mana dari segi liriknya, saya paling suka bait “ini semua duniawi, kau macam ikan kecil terjun ke dalam Tsunami”. Manakala, bahagian paling mencabar sekali adalah mencari aliran lirik untuk lagu ini. Disebabkan pertama kali, memang ambil masa jugalah untuk dengar berkali-kali bagi mendapatkan emosi tepat dalam lagu ini.

“Apa yang saya cuma harapkan adalah orang senang terima dan boleh layan lagu ini. Kalau ada kekurangan, saya akan cuba perbaiki dalam percubaan lagu seterusnya. Sejujurnya saya tidak sasarkan lagu ini kepada golongan tertentu, tapi kalau ada di luar sana yang minat dengan penulisan mendalam, mungkin mereka boleh layan,” katanya.

EMOSI

Khodi pula sememangnya cukup beruntung kerana sejak mula keluarkan lagu seperti ‘Ke Mana’, ‘Lenggang’ dan ‘Dia Bagiku’ dia sentiasa tampil dengan genre baharu. Rata-rata genre yang dipertaruhkan juga cukup sesuai dengan kemampuan vokalnya sekali gus membuktikan Khodi memang penyanyi versatil. Demikian juga dalam lagu Emosi ini yang baginya agak asing.

Tidak ketinggalan, dia semestinya bersyukur dapat peluang bekerjasama dengan Benzooloo buat julung kalinya. Dia yakin gabungan mereka mampu mencetuskan magis tertentu khususnya bagi pendengar generasi alaf baharu. Tambahan pula, melodi lagu Emosi ini juga begitu mesra dengan halwa telinga terkini pendengar.

EMOSI

“Saya paling tertarik dengan lirik Emosi dan genre ini sangat berbeza dengan lagu saya sebelum ini. Bahagian rap Benzooloo juga menjadi bahagian yang paling saya suka dan teruja apabila digabungkan pertama kali dengannya. Proses rakamannya mencabar kerana genre ini terlalu baharu. Saya paling berusaha menyampaikan emosi sebaiknya dalam lagu ini.

“Selain teruja kerana lagu ini memperlihatkan sisi berbeza saya, harapnya penyampaian saya juga berjaya serta mampu menyentuh hati pendengar kelak. Sejujurnya, saya rasa lagu ini sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat sebenarnya kerana ia menceritakan tentang realiti kehidupan sekarang,” katanya.

Lagu Emosi yang turut mendapat sentuhan lirik oleh Aisha Retno ini adalah lagu penutup untuk drama arahan Norhanisham Muhammad yang berjudul Scammer. Ditayangkan di Astro Ria, jam 11 malam, bermula 24 Mei, drama berkenaan dibintangi pelakon hebat termasuk Kamal Adli, Siti Saleha, Fasha Sandha, dan ramai lagi.

‘Emosi’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jagoan Hip Hop Malaysia DJ CZA, TUJULOCA & MK Lancarkan Lagu Penuh Makna & Video Muzik VETO

Suhaimi Saad Letak Jawatan Sebagai Penyanyi Nasyid