in , , ,

Kolaborasi Bunga Dengan Noraniza Idris Dalam Lagu INTAN PAYUNG

Lagu intan payung nyanyian bunga feat Noraniza Idris. Lagu tradisional irama Malaysia digandingkan dengan muzik moden. Betul, kan? Gandingan Bunga dan Noraniza Idris dalam lagu ‘intan payung’ ni sangat menarik.

Noor Ayu Fatini, atau lebih dikenali sebagai Bunga mula mencipta nama pada tahun 2019 setelah menjadi tular apabila mengenakan baju kurung dan berhijab sambal melontarkan bait-bait rap ketika muncul dalam program 16 Baris anjuran Joe Flizzow. Bertitik tolak daripada itu, Bunga memulakan kerjayanya sebagai penyanyi rap wanita dengan pelancaran single debutnya berjudul ‘Bunga’.

Pada Ogos 2020 penyanyi rap ini kemudiannya menceburkan diri dalam bidang lakonan sebagai teraju utama sebuah telefilem berjudul ‘Aku, Bunga’ dan sekali gus melancarkan single keduanya berjudul ‘Apedehal’, yang juga merangkap runut bunyi telefilem yang diarahkan oleh pengarah tersohor, Kabir Bhatia.

Tidak menunggu lama selepas itu, Bunga menghasilkan pula ‘300 Saat’ sebuah lagu duet bersama Amzar Sabri dari kumpulan duo Razqa, yang sehingga kini telah mencapai lebih 1 juta tontonan di YouTube sejak mula dilancarkan pada 25 September 2020.

Intan Payung

Penyanyi yang baru menyambut ulang tahunnya yang ke-21 pada 24 Januari yang lalu ini bukan sahaja sibuk merancang kerjayanya dengan karya terbitannya sahaja, malah pernah muncul sebagai rakan kolaborasi dalam beberapa projek lain seperti lagu ‘Dup Dup’ Bersama Aizat Amdan, lagu ‘Kampung Aku Lit’ bersama Lil J dan Kidd Santhe, serta single terbaharu Aziz Harun berjudul ‘Dua Puluh Dua Puluh’.

Bagi meneruskan lagi momentum kerjaya seninya, Bunga kini melancarkan single terbaharunya berjudul “INTAN PAYUNG” yang menggandingkannya dengan Ratu Etnik Pop Malaysia, Noraniza Idris.

“INTAN PAYUNG” merupakan ciptaan bersama Bunga dan penerbit muzik, pencipta lagu dan penyanyi rap yang semakin meningkat naik, Luca Sickta. Susunan muzik “INTAN PAYUNG” diberikan elemen muzik Gamelan oleh penerbit Luca Sickta yang sememangnya cukup dikenali di atas kecenderungannya mengangkat seni muzik Melayu dalam karya-karya popularnya,  seperti ‘Gong Nekara’, ‘Zuhud’ dan ‘7 Nasihat’.

Lirik yang ditulis oleh Bunga ini menceritakan tentang peri pentingnya mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran menuju kejayaan.

“Diilhamkan oleh perjalanan saya sendiri dan orang sekeliling, saya berpegang kepada kata-kata bahawa kisah kejayaan yang terbaik selalunya  bermula dengan kegagalan. Tidak ada manusia yang ditakdirkan dilahirkan hanya untuk mencapai kejayaan tanpa sebarang usaha. Semua orang kena berjuang dalam perjalanan ke puncak kejayaan. Untuk mencapai impian kita; usaha yang gagal, tersadung, terhalang, atau membuat perubahan arah yang radikal adalah kunci kepada kejayaan. Kegagalan mendewasakan dan menjadikan kita lebih baik dari semalam serta lebih baik dalam apa yang kita lakukan. Dengan lagu ini, saya cuba mengatakan jangan putus asa apabila hidup tidak berjalan lancar. Belajarlah dari kegagalan kita dan teruskan perjalanan. Kejayaan semakin hampir, jadi jangan berputus asa! Saya harap lagu ini menjadi lagu kehidupan generasi saya yang masih mencari jalan untuk masa depan yang lebih baik, ” jelas Bunga makna di sebalik lagu ini.

Bercakap tentang bagaimana Ratu Pop Etnik Malaysia, Noraniza Idris terlibat dalam lagu ini, Bunga berkata, “Saya sangat teruja dan merasa bertuah kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dengan Kak Ani dalam “Intan Payung”. Kehadirannya menyerikan lagi lagu ini dan menaikkan lagi nuansa Melayu lagu ini dengan gaya nyanyian tradisional Melayunya.

“INTAN PAYUNG” ” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 12 FEBRUARI 2021.

Tajuk Lagu  : Intan Payung Artis : Bunga feat. Noraniza Idris

Komposer: Luca Sickta, Bunga

Lirik: Bunga

Produser: Luca Sickta

Lirik Lagu Intan Payung

(Chorus)Ala payung la payung si intan payung 
Dipandang rendah setahun jagung 
Perlahan dayung asal sampai ke hujung 
Jangan lah sanjung kaduk naik junjung 

Terasa diri terpinggir sebab tak percaya 
Ingin hidupku disingkir sebab tak percaya 
Jadi dari saat itu mencari kunci tiap pintu 
Tak peduli berapa lama janji tu pasti kan tiba masa

Dan mana ?sudah sampai mana ? 
Pijak pedal lama dah kayuh merata 
Nak berjaya mesti gagal dulu 
Tak percaya boleh cuba jangan malu 

Jadi aku 
Biarpun makan berbulan 
Nak juga capai angan di awan 
Sampai nama jadi sebutan dan tak lupa yang hulurkan tangan 

(Pre Chorus) 
Bunga tak akan layu jika kita menyemai baja 
Bagai si gadis ayu indah santun jika dijaga

(Chorus) 
Ala payung la payung si intan payung 
Dipandang rendah setahun jagung 
Perlahan dayung asal sampai ke hujung 
Jangan lah sanjung kaduk naik junjung 

(Verse 2) 
Bukan senang nak hidup senang 
Ada sampan, sibuk nak berenang 
Jaga jaga, ada mata mata, yang hati tak tenang 
Tengok orang menang 

Cuba nak ubah cuma perlu satu 
Cuba cermin rupa cuma ada aku 
Tak hirau walaupun tak laju janji bukan wau yang putus teraju 

Siapa kata ku tak boleh 
Yang toleh toleh dulu pandang remeh 
Dipijak diherdik dah berdolak dalik 
Terlajak dek kata tak boleh tarik 

Perlahan dayung eyahh 
Sampai ke hujung eyahh 
Jangan sanjung kaduk naik junjung eyyah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Amar Asyraf Yellow | 20

Amar Asyraf Dalami Ilmu Agama, Sertai Jemaah Dakwah, Mahu Berubah Ke Arah Kerohanian

Khairul Anwar Salleh | 21

ntv7 Kini Sebagai Hub Pendidikan Malaysia Akses Kepada Pembelajaran Berkualiti