in , , , ,

Juliana Evans, Nanu Baharudin, Norish Karman, Amy Mastura Dalam Kasut Tumit Tinggi

Astro Prima persembahkan
”Kasut Tumit Tinggi”
Sebuah drama bersiri komedi romantik yang mencuit hati bermula 22 Januari ini.

Istimewa Januari ini, Astro dengan bangganya membawakan sebuah lagi drama bersiri menarik khusus untuk santapan para pelanggan Astro. Drama komedi romantik 13 episod yang berjudul Kasut Tumit Tinggi ini menampilkan lakonan mantap pelakon-pelakon jelita seperti Nanu Baharudin, Norish Karman, Amy Mastura dan Juliana Evans. Drama komedi romantik yang mencuit hati ini bakal bersiaran di Astro Prima (saluran 105) pada Khamis, jam 10.00 malam bermula pada 22 Januari 2009.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, ”Kami di Astro tidak pernah jemu untuk terus membekalkan drama-drama berkualiti yang menghiburkan di samping memberi pengajaran untuk disajikan kepada para pelanggan. Pemilihan drama Kasut Tumit Tinggi sebagai salah satu daripada barisan drama Astro Megadrama ini sememangnya tepat kerana selain menghiburkan, mesej-mesej  mengenai realiti kehidupan juga turut diselitkan untuk disampaikan sebagai  pengajaran yang boleh dijadikan sebagai panduan dan teladan oleh para pelanggan.”

Kasut Tumit Tinggi mengisarkan tentang liku-liku kehidupan empat wanita jelita; Sofia (Nanu Baharudin), Ida (Norish Karman), Ros (Amy Mastura) dan Mai (Juliana Evans) yang berpewatakkan menarik di kotaraya. Mereka semua mempunyai banyak persamaan daripada segi personaliti tetapi masing-masing mempunyai nasib yang ternyata jauh berbeza daripada segi keluarga, cinta dan karier.

Sofia lakonan Nanu Baharudin berumur 38 tahun, seorang janda yang romantik bekerja dari rumah sebagai seorang penterjemah novel cinta. Dia popular sebagai penasihat cinta yang memberi nasihat cinta dan perhubungan di ruangan akhbar. Dia seorang yang penyayang dan amat menyayangi anaknya, Mai dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan anaknya bahagia.

Watak Mai lakonan Juliana Evans sebagai anak gadis berumur 17 tahun, seorang yang baik hati tetapi bersifat sinis. Hanya dua perkara yang menjadi kesukaannya dalam dunia iaitu ibunya dan cerita penyiasatan. Dia bangga dengan dirinya yang rasional.

Pelbagai kekecohan yang lucu dan menghiburkan berlaku setelah Mai genap berumur 17 tahun apabila Sofia menyatakan hasrat untuk cuba mula untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki kembali. Mai berasa cemburu dan sedih kerana bimbang dengan kehadiran orang baru dalam hidup ibunya. Manakala Sofia pula tersepit di antara perasaan sunyi dan bersalah.

Akhirnya, kedua beranak ini telah membuat perjanjian iaitu mana-mana lelaki yang ingin menjalinkan hubungan dengan Sofia haruslah ditapis dan mendapat kelulusan daripada Mai terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, secara diam diam Mai telah bertindak lebih cepat dengan cuba menyiasat latar belakang setiap lelaki yang hadir dalam hidup ibunya untuk menilai sejauh manakah keikhlasan mereka.

Sejauh manakah perbezaan ibu dan anak ini daripada segi citarasa dan harapan dalam memilih teman hidup? Berjayakah mereka menemui apa yang dicari?

Manakala watak Ida pula dilakonkan oleh Norish Karman yang berumur 38 tahun, merupakan salah seorang kawan kepada Sofia. Dia dalam proses penceraian selepas mengetahui suaminya curang padanya. Akhirnya, dia teruskan hidup tanpa kepercayaan pada cinta dan lelaki. Tetapi, anaknya, Amir tetap orang yang paling disayangi dalam hidupnya.

Sementara Amy Mastura pula melakonkan watak Ros, seorang wanita berumur 35 tahun yang juga merupakan salah seorang kawan kepada Sofia. Dia tidak pernah keluar dengan lelaki dan bersifat pemalu.

Walau pun keempat-empat mereka berlainan perwatakan, kesemua wanita ini mempunyai misi yang sama dalam mencari cinta sejati. Drama bersiri romantik komedi ini memaparkan jalan cerita yang banyak menyelitkan adegan-adegan yang diulang tayang semula atau flashback untuk membawa para penonton mengimbau kembali punca jalan cerita sebelum penyelesaiannya didedahkan. Apakah yang bakal berlaku? Adakah mereka akan menemui cinta sejati yang dicari atau sebaliknya?

Jangan lupa saksikan Kasut Tumit Tinggi yang dibarisi oleh para jelitawan tanah air  yang bakal ditayangkan di Astro Prima (saluran 105) pada setiap hari Khamis, jam 10.00 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Amy Search, Ajai dan Ad Samad Jadi Tetamu ALLY

One Three Hill Musim Ke-5