in ,

Intan Ladyana Sebagai Hos PHD Hebat Dinamik

Cendikiawan Negara dan Pencapaian Mereka Dalam “PHD Hebat Dinamik” Bersama Hos Intan Ladyana di TV1

Intan Ladyana

Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi aspirasi kejayaan institusi pengajian tinggi tempatan dan memperkenalkan para cendikiawan dan tenaga intelek serta hasil kerja mereka dalam bentuk kajian, penyelidikan, eksperimentasi bagi mencipta sesuatu yang baru menerusi program terbaharu bertajuk “PHD Hebat Dinamik”.

Menerusi program 13 episod yang disiarkan mulai 3 Oktober ini, setiap Rabu dan Khamis, pukul 12.30 tengah hari di TV1, orang ramai dapat berkongsi hasil kerja mereka dalam bidang kepakaran masing-masing yang sekaligus menyumbang kepada kemajuan negara.

Hos...Intan Ladyana

Menampilkan hos Intan Ladyana, episod pengenalannya membawakan beberapa tokoh pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris yang sedang membuat penyelidikan dan percubaan mengenai teknik-teknik berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Tujuan kajian ini ialah untuk melahirkan tenaga guru/pendidik yang mahir dan berpegetahuan. Antara kaedah baru yang sedang dilaksanakan ialah ‘ePortfolio’ dan ‘Eufolia’. Temubual mengenai usaha-usaha UPSI bagi membawa pembaharuan dalam bidang pengajaran dan pendidikan turut dipaparkan.

Seterusnya menemubual beberapa orang profesor dari Fakulti Perhutanan di Universiti Putra Malaysia UPM) yang sedang mengkaji bahan-bahan baru yang boleh dijadikan sebagai sumber alternatif bagi pembuatan kertas. Mereka mengenalpasti pokok buluh dan batang sawit sebagai pengganti kepada kayu. Justeru, pakar-pakar di UPM telah mula menjalankan penyelidikan dan eksperimentasi bagi memproses kedua-dua bahan ini untuk dijadikan kertas.

Intan Ladyana mengunjungi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meninjau usaha-usaha untuk mengkaji komposisi genetik sesuatu tumbuhan bagi mempelbagaikan sifat kehidupannya. Penyelidikan bioteknoloji ini, adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti tanaman bagi menambahkan hasil dan pulangan dari aktiviti pertanian. Hos menemubual beberapa orang pakar dan penyelidik dari Institut Bioloji Sistem, Pusat Analisis dan Teknoloji Genetik UKM mengenai usaha dan pencapaian mereka dalam bidang ini sehingga sekarang.

Berikutnya lawatan ke kampus Sungai Buluh, Universiti Teknoloji MARA untuk meninjau inovasi dan pembaharuan yang telah dilakukan oleh beberapa orang doktor pakar wanita di Fakulti Perubatan universiti tersebut. Dua orang doktor dan penyelidik telah berjaya menggunakan ‘robotics’ bagi merawat dan memulihkan pesakit kurang upaya khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Mereka telah mencipta tangan robotik dan kaedah membalut dan merawat luka yang agak rumit untuk sembuh.

Perkongsian ketika melawat Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor berjaya berkongsi kemajuan yang telah dicapai dalam bidang ‘robotics’. Dua orang pensyarah terlibat menjelaskan mengenai pelbagai projek pembinaan robot yang sedang dijalankan oleh pelajar-pelajar universiti. Robot yang sedang dibina bagi melakukan kerja-kerja seharian di rumah seperti membersihkan rumah (vacuum) dan memotong rumput. Selain dari itu, robot yang boleh bergerak di bawah air (‘remotely controlled under water vehicle’) atau ROV juga telah dibina dan digunakan dengan jayanya untuk menjalankan kajian di Antartika. Pelajar-pelajar di universiti ini juga mengambil bahagian dalam pertandingan ‘robotics’ di luar negara dari masa ke semasa.

Prof Kopli Bujang antara yang ditemubual oleh Intan Ladyana

Pada masa sama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula mengetengahkan program penyelidikan dan pembangunan mengenai Sago yang dijalankan di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber di universiti itu. Penonton diterangkan bagaimana ekstrak dari pokok Sago diproses untuk dijadikan Gula Sellabiosa yang kaya dengan elemen probiotik dan anti-mikrob. Temubual dengan beberapa orang pensyarah dan kakitangan yang telah memberi penerangan mengenai program penyelidikan ini turut dipaparkan.

Lawatan ke Universiti Teknikal Malaysia di Melaka berjaya meninjau beberapa projek penyelidikan oleh pakar dan pelajar di Fakulti Kejuruteraan. Temubual dilakukan bersama Profesor Ir. Dr. Sivarao Subramonian yang menerajui penyelidikan dan pembangunan tiga sistem yang akan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. Sistem-sistem ini ialah hasil gabungan tenaga dan sumber beberapa jabatan di universiti ini. Produk-produk ini telah pun diuji dan telah berfungsi dengan jayanya. Pihak universiti kini sedang berusaha untuk menghalusi produk-produk ini supaya ianya dapat dipasarkan secara komersial.

Menarik dalam episod berada di Universiti Malaysia Sabah meninjau program penyelidikan dan pembangunan marin dan akuakultur yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Marin dan Akuakultur universiti tersebut. Di antara projek-projek yang dipaparkan ialah penternakan timun laut yang berkualiti, projek akuafonik yang mengabungkan penternakan ikan dan tumbuh-tumbuhan, peningkatan mutu spesis ikan belut melalui suntikan hormon, teknik menternak ketam dan ikan kacukan.

Hasil perkongsian lawatan di Universiti Malaysia Terengganu berjaya meninjau beberapa projek penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Kenyir di universiti tersebut. Di antara kajian yang dijalankan ialah berkaitan dengan pengukuran pencemaran air di Tasik Kenyir dengan menggunakan cacing yang terdapat dalam perut ikan dan penyelidikan mengenai ‘belangkas’ iaitu sejenis kehidupan laut. Selain dari itu, satu projek pemetaan dalam air (under water mapping) dengan menggunakan ‘bunyi’ juga sedang dilakukan.

Begitu juga episod melawat kampus Universiti Kuala Lumpur menerangkan maklumat mengenai beberapa projek penyelidikan yang dijalankan oleh Institute of Chemical Bio-Engineering Technology di universiti ini. Institut ini menjalankan penyelidikan dalam projek-projek kejuruteraan kimia seperti menggunakan teknologi nano untuk mengurangkan kadar pencemaran air dan mengkaji ekstrak daun Cekus bagi tujuan perubatan. Selain dari itu, universiti ini sedang menjalankan penyelidikan untuk membangunkan ‘High Performance Low Speed Wind Turbine’ iaitu turbine angin yang boleh berfungsi dengan kelajuan angin yang rendah.

Akhir sekali Intan Ladyana mengunjungi Universiti Malaysia Sabah bagi meninjau usaha hebat dan dinamik oleh beberapa orang cendikiawan di universiti ini yang telah menerokai penyelidikan dalam bidang-bidang tertentu. Beliau telah menemubual Profesor Ir. Dr. Rosalam mengenai penyelidikannya untuk menggunakan nano teknologi bagi membersihkan pecemaran air laut khususnya oleh tumpahan minyak.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Intan Ladyana menemubual Prof Kopli Bujang

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Konsert Dekade Afgan Live In Kuala Lumpur 2018 Rai Ulangtahun Ke-10 Afgan

Azian Mazuan Sapuan, Datuk Zainal Abidin dalam Dimensi Legenda Tema KISAH DAN LAGU