in

HOLE IN THE WALL

AKSI LUCU & SPONTAN DALAM HOLE IN THE WALL di 8TV

HOLE IN THE WALL
Tarikh siaran: 26 Jun 2011
Hari: Ahad
Masa : 10.00 – 10.30 malam
Episod: 26
Bahasa: Inggeris

Petaling Jaya, 28 Jun 2011 – Mahukan sesuatu yang boleh membuat anda ketawa dan melupakan tekanan kerja anda? 8TV bakal menyiarkan sebuah rancangan permainan yang pasti membuat anda tidak kering gusi! HOLE IN THE WALL akan disiarkan setiap Ahad jam 10.00 malam bermula 26 Jun 2011 menerusi saluran hip 8TV.

HOLE IN THE WALL merupakan sebuah rancangan permainan dari Amerika Syarikat yang disertai oleh semua lapisan masyarakat tidak kira umur, bentuk badan dan saiz. Apa yang perlu mereka lakukan ialah peserta perlu membolosi lubang yang didatangkan dalam pelbagai bentuk.

Setiap minggu, dua kumpulan yang terdiri daripada tiga (3) orang ahli kumpulan bakal berentap. Peserta akan diberi cabaran untuk membolosi setiap lubang pelbagai bentuk yang telah disediakan untuk mengumpul markah. Peserta yang gagal melepasi lubang yang disediakan berkemungkinan jatuh ke dalam sebuah kolam air.

HITW2

Program 26 episod yang berdurasi selama 30 minit ini terbahagi kepada empat pusingan. Dalam pusingan pertama, Kapten dari setiap kumpulan dikehendaki melepasi sebuah dinding yang mempunyai lubang pelbagai bentuk secara solo. Satu markah akan diberikan kepada peserta yang berjaya melepasi lubang tersebut.

Menerusi pusingan kedua pula, dua orang ahli dari setiap kumpulan dikehendaki melepasi sebuah dinding yang juga mempunyai lubang yang bentuknya berbeza dari pusingan pertama. Satu markah akan diberikan kepada setiap peserta yang melepasi lubang tersebut.

Pusingan ketiga dan keempat pula bakal menyaksikan kesemua ahli daripada setiap kumpulan dikehendaki melepasi sebuah dinding yang juga mempunyai lubang pelbagai bentuk yang berbeza dari segmen pertama dan kedua. Namun bagi pusingan keempat, dinding akan bergerak dengan lebih laju menjadikan pusingan ini lebih sukar berbanding pusingan sebelumnya. Dua markah akan diberikan kepada peserta yang berjaya melepasi lubang pada dinding itu. Sekiranya ketiga-tiga ahli kumpulan itu berjaya melepasi pusingan keempat ini, bonus sebanyak $5, 000 akan diberikan kepada kumpulan tersebut.

Kumpulan yang mengumpul markah tertinggi berjaya memenangi $25, 000 dan akan ke peringkat seterusnya yang dipanggil “Blind Wall”. Pada pusingan ini, salah seorang daripada ahli kumpulan akan dipilih untuk mewakili kumpulan mereka. Mata peserta akan ditutup manakala dua ahli yang lain akan memberikan arahan untuk membimbing rakan mereka membolosi dinding yang disediakan. Sekiranya kumpulan ini berjaya melepasi dinding tersebut, mereka akan memenangi wang tunai bernilai RM100, 000.

“Rancangan ini sememangnya sebuah rancangan yang cukup menghiburkan. Aksi spontan peserta yang bersungguh-sungguh mencuba melepasi lubang-lubang pelbagai bentuk ini pasti membuat anda sekeluarga ketawa terbahak-bahak,” ujar Cik Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7.

Rancangan permainan HOLE IN THE WALL ini diadaptasi dari sebuah permainan di Jepun ‘Nōkabe’ yang membawa maksud ‘Brain Wall’. Format rancangan permainan ini telah dijual ke lebih 35 buah negara dan berjaya mengumpul jumlah penonton sebanyak 40.1% – 176%. Rancangan ini juga berjaya menduduki nombor satu di Indonesia, Russia dan Argentina sekaligus menjadikan rancangan ini rancangan yang paling diminati ramai!

Mark Thompson dan Brooke Burns ternyata berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengacara HOLE IN THE WALL dengan baik sekali. Komen-komen lucu dan spontan yang diberikan oleh mereka cukup menggelikan hati.

HOLE IN THE WALL akan disiarkan setiap Ahad jam 10.00 malam bermula 26 Jun 2011 hanya di 8TV. 8TV juga boleh ditonton menerusi saluran Astro 708. Tontoni program-program kegemaran anda menerusi laman sesawang www.8tv.com.my / www.tonton.com.my atau layari m.tonton.com.my menerusi telefon bimbit anda! Selamat menonton!

rsd-HITW6

rsd-HITW3

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Remy Ishak Duta Dashing Lancar Wangian Terbaru BOLD & EDGE

Wing Chun Craze Is Back With Loads Of Laughter