in ,

Gandingan Heliza Helmi & Rosli Jayakan Panorama MOH KE MIE

Program yang diterbitkan Unit Majalah dan Dokumentari (UMD) Radio Televisyen Malaysia (RTM), Panorama buat pertama kalinya menampilkan artis kelahiran program televisyen realiti, Heliza Helmi dan penerbit program tersebut, Rosli Mohd Nordin sebagai pengacara bersama.

Format terbitan ini dijayakan bagi penerbitan episod khas “Moh Ke Mie” hasil kerjasama Brain Corporation (produksi Jepun) yang mewakili program penajaan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun dan kerajaan tempatan Wilayah Mie (disebut “Mie’yee’).

Untitled

Episod menarik Panorama “Moh Ke Mie” menemui penonton pada 23 Disember ini, pukul 11.05 malam di TV1.

“Walaupun kali pertama berganding bahu, kami berdua mempunyai keserasian bekerja bagi menjayakan penerbitan tiga episod penuh dan tiga lagi segmen khas Panorama “Moh Ke Mie”.

“Pada peringkat awalnya, Heliza melahirkan kebimbangannya tentang konsep dan cara penyampaian yang perlu dilakukannya. Ini berikutan Heliza tidak pernah digandingkan dengan pengacara lain dalam program televisyen yang pernah beliau jayakan. Namun saya sering memberikan tips dan membantu Heliza mengingati barisan skrip yang perlu dilontarkan, memandangkan sebagai pengacara program Panorama, penyampaian dibuat perlu bersahaja dan tidak terlalu bergantung kepada skrip,” jelas Rosli tentang buah tangan terbaru beliau.

Menyifatkan penerbitan episod khas ini agak mencabar, berikutan masalah perbezaan budaya kerja dan komunikasi di antara pihak produksi Panorama dengan produksi Brain Corporation serta pemain-pemain industri pelancongan Jepun yang betah berbahasa ibunda mereka berbanding Bahasa Inggeris. Masalah tersebut bukanlah penghalang mutlak kepada pihak penerbitan yang terlibat kerana sepanjang pengambaran dijalankan, koordinator merangkap juru bahasa kami iaitu Ikram Latif banyak menyelesaikan masalah di lokasi pengambaran.

“Persediaan untuk menjayakan pengambaran “Moh Ke Mie” dibuat pada awal Mac lalu. Pelbagai perancangan disusun bagi membolehkan pihak-pihak yang terlibat dalam pengambaran ini benar-benar bersedia.

“Nampak mudah untuk menjayakan pengambaran di Wilayah Mie, namun apabila melibatkan manusia pelbagai karenah yang perlu di tangani dengan bijaksana, lebih-lebih lagi faktor perbezaan budaya khususnya bahasa dan cara kita komunikasi,” jelas Ikram.

Untitled

Pujian wajar diberikan kepada Ikram yang amat profesional menyusun strategi bagi menjayakan setiap sesi pengambaran dan dalam masa yang sama beliau perlu menterjemahkan setiap perkataan yang dituturkan dari pasukan penerbitan Panorama yang ingin disampaikan kepada pihak penganjur sepanjang menjayakan pengambaran. Manakan tidak, batas budaya dan cara bekerja yang amat berbeza boleh menyebabkan perselisihan jika tidak ditangani dengan baik, mujur semuanya “di bawah kawalan”.

Rosli yang bersetuju dengan lontaran Ikram itu terhadap kerja-kerja belakang tabir penerbitan “Moh Ke Mie” menyifatkan setiap lokasi pengambaran mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

“Selama hampir 10 hari di Wilayah Mie yang amat terkenal dengan keindahan alam semulajadinya, menjadikan produksi Panorama dan produksi Brain Corporation seperti sebuah keluarga. Kerja berpasukan menjadikan kami amat rapat dan saling bantu-membantu agar kerja-kerja pengambaran berjalan lancar,” ujar Rosli berkongsi pengalaman tentang kerja-kerja belakang tabir penerbitan program Panorama.

Bagi Pengurus Besar Brain Corporation, Naomasa Furukawa menyifatkan pengambaran di Wilayah Mie memberi satu dimensi dan pilihan terbaru tentang lokasi percutian untuk rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam.

“Mungkin pelancong dari Malaysia lebih mengenali Tokyo, Osaka, Kyoto mahupun Okinawa. Namun sebenarnya Wilayah Mie mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

“Di Wilayah Mie ia merupakan lokasi popular penyelam tiram wanita yang menyelam untuk mendapatkan mutiara (tiram) tanpa menggunakan tangki oksigen. Ia menjadikan Mie sebagai pengeluar mutiara berkualiti tinggi dan jenama Mikimoto yang berasal dari Mie amat dikenali diseluruh dunia.

“Selain itu, Mie juga menawarkan percutian istimewa kepada mereka yang amat menghargai alam semulajadi khususnya kepada mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke air terjun Akame. Kita boleh menikmati kesegaran udara kawasan pergunungan dengan pemandangan indah dedaun Maple yang berwarna-warni memberi efek seolah-olah berada dalam sebuah lukisan pelukis tersohor,” jelas Furukawa-san.

Untitled

Heliza Helmi Teruja Menyarung Kostum Ninja

“Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pelawaan pihak Brain Corporation membuatkan hati saya berbunga riang. Saya menyimpan hasrat untuk mengunjungi negara Matahari Terbit ini suatu hari nanti kerana tertarik dengan budaya dan kemajuannya.

“Selain itu, kebersihan dan sikap masayarakat Jepun yang mengamalkan banyak elemen yang disarankan oleh agama Islam menjadikan satu lagi tarikan kepada saya untuk menyimpan angan-angan berkunjung ke Jepun suatu hari nanti,” ujar Heliza Helmi ketika ditanya perasaanya apabila mendapat undangan ke negara tersebut. Tambah Heliza lagi, pasukan penerbitan episod “Moh Ke Mie” meninggalkan Kuala Lumpur pada 4 November lalu dan menamatkan pengambaran pada 13 November.

“Kepenatan “berpindah-randah” dari satu hotel ke satu hotel tidak mematahkan semangat kami untuk berkongsi momen terbaik sepanjang berkampung di Wilayah Mie.

“Sambutan yang amat menggalakkan daripada setiap pemain industri pelancongan di wilayah tersebut membuatkan pasukan produksi Panorama tidak merasa kekok berada di tempat orang,” jelas Heliza lagi.

Kunjungan ke Iga-Ueno Park atau Taman Ninja yang mengandungi beberapa komponen tarikan pelancongan seperti Muzium Ninja, demonstrasi pertarungan Ninja, Istana Ueno dan eksplorasi perjalanan hidup seorang Ninja menjadikan kunjungan ke Wilayah Mie amat unik.

“Pertama kali memakai kostum Ninja, saya begitu teruja kerana selama ini kita hanya menonton kehidupan Ninja di dalam kaca televisyen atau layar wayang semata-mata kini saya beperluang menjalani kehidupan seorang Ninja, walaupun hanya untuk sehari sahaja.

“Uniknya pengambaran edisi khas Panorama “Moh Ke Mie” kali ini ialah saya dan Rosli berpeluang menunaikan solat dengan memakai kostum Ninja kerana kami di kehendaki menjayakan beberapa segmen pengambaran yang telah dirancang oleh pihak penganjur. Jadi adalah mustahil untuk kami menukar pakaian lain untuk solat, saya berpegang kepada prinsip Islam itu mudah, jadi adalah tidak salah untuk membuktikannya di sebuah negara yang bukan majoritinya penganut agama Islam,” tegas Heliza tentang pemakaian kostum Ninja.

Selain menjiwai watak perisik Ninja, Rosli dan Heliza juga berpeluang melihat sendiri penghasilan sos Shoyu (kicap soya) dan sos Sukiyakie (sejenis masakan Jepun) yang mendapat pengesahan halal daripada pihak Persatuan Halal Jepun, JHA. Kilang Igagoe merupakan antara pengeluar sos Shoyu dan pelbagai bahan perisa masakan Jepun yang tertua di Wilayah Mie, mengambil tindakan proaktif dengan membina sekyen pengilangan sos Shoyu halal kerana melihat potensi sos tersebut untuk segmen pasaran halal di Jepun dan negara-negara Islam. Melihat kesungguhan pihak kilang Igagoe membelanjakan jutaan ringgit membina sekyen pengilangan sos Shoyu yang halal, menyebabkan produksi Panorama teruja untuk berkongsi visual pengilangan sos berkenaan untuk tatapan penonton Panorama.

“Wilayah Mie mempunyai “aset” pelancongan yang tersendiri, jika ingin menerokai kemodenan Jepun mungkin lokasi ini bukanlah yang terbaik, namun jika anda cuba memberi peluang untuk merasai keindahan alam semulajadi dan beberapa tarikan lain, Wilayah Mie pilihan yang tepat,” jelas Rosli tentang pengalaman beliau menerbit dan menjadi pengacara bersama dengan Heliza Helmi untuk buah tangan terbaru program Panorama.

Untuk menyaksikan keindahan dan keunikan bumi Wilayah Mie, jangan lupa saksikan episod khas Panorama, “Moh Ke Mie” pada 23 Disember 2015 (Rabu), jam 11 malam di TV1.

Untitled

Info Menarik

• “Moh Ke Mie” dipilih menjadi tajuk kepada penerbitan episod khas program Panorama kerana perkataan “Moh” yang merupakan bahasa pertuturan rakyat negeri Perak yang membawa erti jom atau ayuh.

• Episod khas “Moh Ke Mie” melibatkan penerbitan tiga episod (30 minit) dan lima segmen (12 minit) yang akan disiarkan secara berperingkat dalam program Panorama.

• Pemilihan Heliza Helmi sebagai pengacara jemputan dibuat kerana pihak penganjur melihat pengaruh penyanyi yang sinonim dengan aktiviti dakwah tersebut yang merupakan faktor utama beliau dipilih menyertai pengambaran di Wilayah Mie, selain mempunyai pengikut yang ramai di laman Instagram (IG, pengikut Heliza Helmi, mencecah 700 ribu orang)

• Rosli dan Heliza sering berkongsi momen mereka sepanjang menjayakan pengambaran di Wilayah Mie melalui laman media sosial masing-masing (IG Rosli : ROSLIMOHDNORDIN, IG Heliza : NURHELIZAHELMI)

• Bagi pelancong yang beragama Islam, menjalankan ibadat solat di Wilayah Mie amat mudah khususnya ketika berada di restoran atau destinasi tumpuan pelancong. Ini berikutan tindakan proaktif pemain industri pelancongan tempatan yang menyediakan tempat solat khas lengkap dengan arah kiblat kepada pelancong beragama Islam.

• Selain berpeluang sehari suntuk memakai kostum Ninja, Rosli dan Heliza juga merasai pengalaman memakai Kimono dan Yukata yang merupakan kostum tradisional masyarakat Jepun.

Untitled

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Al-Manna Bakal Lancar Single Terbaru SAMRAH ZAFANA

Anak Sulung Farid Kamil Kini Jadi Pelindung Nur Aurora