in , , , , ,

Best Ke Tak? Ini Ulasan Filem & Sekitar Tayangan Media PUAKA TEBING BIRU

Salam sejahtera semua. Apa khabar hari ini? Sihat ke? Harap semua berada di dalam situasi yang menyenangkan dan menyihatkan.

Buat blogger terhebat Badrulaftersix yang sedang sakit, saya doakan abang cepat sembuh ya. Semalam, sempat berbual melalui telefon dengan Badrulaftersix melalui blogger terkenal KlubbkiddMr Manager yang sempat meluangkan masa mereka menziarahi Badrulaftersix. Sedih dan sayu saya dengar suara dia. Apa-apa pun, get well soon ya bro! Jangan lupa makan ubat.

Saya nak ucapkan juga selamat bercuti kepada yang sedang enak bercuti. Jangan lupa, semalam sudah pun bermula tayangan filem Puaka Tebing Biru di pawagam berdekatan. Dah tengok ke belum?

Ha, apa tunggu lagi, musim cuti macam ni, kalau anda bosan tidak tahu apa nak dibuat, apa kata kita tonton filem yang sarat dengan unsur seram dan kasih sayang ini….

Ada sebab mengapa saya katakan filem Puaka Tebing Biru ini sarat dengan elemen kasih sayang.

Bagi saya, filem ini bijak dan teliti dalam menyampaikan mesej dalam tema filem seram. Bayangkan, anda menonton filem seram dan sekaligus pada masa yang sama anda merasai wujudnya satu emosi hubungan kasih sayang sesama insan.

Dalam takut-takut tengok wajah hantu, ada juga air mata menitis sebab tersentuh dengan beberapa adegan yang menyentuh perasaan.

Kasih sayang amat perlu dalam hidup kita ya tuan-tuan dan puan-puan. Kasih sayang kita terhadap ibu dan ayah. Kasih sayang sesama adik beradik. Kasih sayang sesama kawan-kawan dan kasih sayang sesama manusia yang berada di luar sana.

Kerana kasih sayang, kita hidup dalam suasana aman. Kerana kasih sayang, kita hidup dalam keadaan yang sempurna. Memang lumrah manusia memerlukan kasih sayang, ingin mencintai dan dicintai. Itu mesej utama filem Puaka Tebing Biru.

Ketika tayangan media pada 6 Februari yang lalu, saya sempat mendengar beberapa soalan hangat dari para wartawan. Memang diorang ni profesional habis dalam bertanyakan soalan.

Soalan ada 2 jenis. Satu, soalan yang tidak perlu ditanya dan kedua yang perlu ditanya. Buat apa tanya soalan yang anda sendiri dah tahu jawapannya.

Contohnya, bagaimana perasaan anda setelah selesai pengambaran filem ini? Sudah tentu jawapannya, “Saya happy sangat-sangat sebab semua dah selesai. Lepas ni bolehla saya berehat kat rumah. Tunggu cek keluar. Boleh kita shopping sakan, beli baju… bla bla bla…”

Soalan yang melibatkan perasaan dan yang sudah ada dalam press kit tu tak payahlah nak tanya. Buang masa je! Ehem, suka hati dialah kan nak tanya apa. Aku lak lebih-lebih nak tegur depa tu buat apa? Naik toncang nampak. Ni sape mentor, sapa protege nih? Ops!

Saya masih malu-malu untuk bertanyakan soalan memandangkan siapalah saya ni kan… Hanya seorang wartawan ‘olok-olok’ sahaja. Bukannya wartawan yang sebenar pun kan.

Jadi, saya mengambil masa yang lama barangkali untuk menyesuaikan diri dan belajar menjadi wartawan dan jurugambar untuk blog SENSASI SELEBRITI. Untuk korang jugak kan?

Saya sebenarnya berterima kasih atas sokongan dan para pembaca blog ini kerana telah menjadikan blog ini sebagai bahan bacaan harian anda. Terima kasih banyak-banyak. Bilangan pembaca sudah bertambah dari hari ke hari. Alhamdulilah…

Saya sekadar mengambil beberapa foto untuk diletakkan di sini.

Sebelum tayangan bermula, ada bacaan doa daripada ustaz channel Al-Jazeera, sedikit ucapan daripada penerbit dan pengarah, Osman Ali. Kemudian, satu gimik dibuat untuk menimbulkan rasa seram di kalangan hadirin.

Beberapa perempuan berpakaian serba putih keluar menuju ke pentas dan melakukan sedikit pentomim ringkas dengan lagu tema filem ini. Ada kakak yang duk kat belakang saya tu takut… kuang kuang kuang. Rilek la kak! Nanti kita dalam kubur sorang-sorang… kena soal Malaikat Munkar dan Nakir tu lagi takut dan ngeri, kak. Ops!

Adakah teknik ini berkesan atau membuang masa penonton?

Jawapan saya, teknik gimik sebegini berkesan untuk menjadikan penonton tahu filem itu berkaitan dengan perempuan yang mati, terseksa dan menjadi hantu puaka. Tapi kalau boleh dipendekkan sedikit sebabnya filem ini memakan masa yang lama untuk dihabiskan.

Durasinya lebih 2 jam! Jangan pula ada yang tertidur pula! Sebab filem ini sebenarnya menghiburkan. Ada jenaka, ada lagu runutnya dan ada gurau sinisnya. Siapa yang makan lada, rasalah pedasnya.

Ini dia barisan para pelakon utama yang hadir, Nasha Aziz, Syarifah Amani, Umie Aida, pengarah Osman Ali, Fahrin Ahmad (ehem… datang dengan kawannya, Linda Onn.) dan Gayatri Su-lin Pillai selaku Penerbit Eksekutif Kanan.

“Peace bro, peace yo!” Syarifah Amani dengan gaya nakal-nakal sopannya sempat buat simbol peace. Memang Syarifah Amani nampak genit, cute dan sweet sangat-sangat. Saya suka tengok muka dia secara live. Memang cun habis!

Barisan para wartawan yang sedang bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat pembaca akhbar dan majalah.

Nota Budiey: Foto ini tidak penting sebenarnya. Tetapi saya letak kat sini… sebab saje je suka-suka. Lantak saya la nak letak apa, ni blog saya. Saya punya sukalah!

Filem Puaka Tebing Biru adalah filem komersial yang sulong untuk Osman Ali. Sebelum ini, beliau giat menghasilkan filem bebas. Antaranya Bukak Api dan Malaikat di Jendela. Harapan beliau memang tinggi agar penonton berpuas hati dengan apa yang ingin diceritakan. Filem ini bagi saya bukan sekadar filem. Ianya satu ‘dokumentari khas’ yang kisah penuh tragis yang penuh dengan mesej dan menyentuh perasaan.

Pengalaman Nasha Aziz berlakon dalam filem ini memang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan. Berkampung selama beberapa minggu di Pulau Pangkor di mana menjadi lokasi utama filem ini. 70 peratus filem ini menjalani pengambaraan di Pulau Pangkor. Pantainya cantik dan damai. Suasana kekeluargaan antara semua warga kerja juga wujud.

Satu pengalaman yang menyeronokkan walaupun terpaksa melakukan aksi takut dan trauma yang meletihkan. Bayangkan sendiri, saya kira 60 adegan untuk Nasha Aziz ini memaksa beliau menjadi seorang yang diselubungi rasa takut. Apa tak takutnya, setiap saat, dia diekori lembaga ibu dan seorang anak. Kalau saya pun, mau terkencing dalam seluar!

Secara keseluruhannya filem Puaka Tebing Biru membawa kisah sebuah cinta agung sesama manusia yang dihimpit dalam permasalahan di antara cita-cita, harapan yang tidak kesampaian, kasih sayang ibu, adik dan rakan sepermainan.

Plot cerita ini banyak berkisar dengan karektor supernatural yang diolah dengan elemen eksperimen dan komersial. Saya kira peminat filem seram akan mengaitkan beberapa adegan seram dengan filem-filem seram lain yang pernah anda tonton. Anda mesti tertanya-tanya soalan begini:

1. Mengapa perlu tiru dan ceduk adegan seram dari filem lain?

2. Mengapa tidak buat adegan yang lebih unik? Apakah sudah kekeringan idea? Atau Osman Ali sengaja ingin penonton mengimbas kembali filem-filem seram yang pernah ditonton?

3. Mengapa terlalu banyak sangat adegan Nasha dikejar hantu? Tidakkah ini menjadikan penonton jemu?

4. Mengapa filem ini nampak tidak berapa logik?

Saya kira, anda perlu mengetahui filem ini sebenarnya bercorak seram. Apabila berada di dalam kategori seram, pengarah perlu membangkitkan rasa seram itu ke dalam jiwa penonton. Kalau tidak, memang filem ini gagal mencapai matlamatnya.

Saya kira, Osman Ali telah melakukan usaha sehabis baik dalam menjadikan filem ini lebih sempurna. Walaupun dari sudut penyuntingan filem ini agak tidak cantik tetapi tidaklah banyak sangat. Olahan cerita pada saya memang kreatif.

Ekspektasi saya, Osman boleh lakukan yang jauh lagi baik daripada apa yang dia buat untuk filem ini. Saya pernah berkata, Osman Ali memang kreatif dalam olahan dan garapan beliau sebagai tukang cerita dan pengarah.

Mengapa filem ini masih tidak unik? Atas alasan apa anda berkata demikian? Atas sebab filem ini meniru adegan seram dari filem lain? Saya rasa tidak semua adegan itu ditiru. Kita bercakap pasal elemen seram. Dan adegan seram itu datang dari beberapa sudut termasuklah penataan bunyi dan olahan skrip. Kalau anda tonton betul-betul, adegan seram dalam filem ini tidak semuanya meniru gaya filem seram lain. Mungkin ini secara kebetulan sahaja.

Perjalanan filem ini bergerak perlahan pada awalnya untuk menceritakan secara terperinci kehidupan watak utama iaitu Ratna. Dari situ, anda akan faham dengan mengaitkan watak Ratna dengan watak lain seperti Ayu, Atilia, Mohsin dan Ika. Filem ini bergerak selari dalam satu masa. Tetapi ada elemen flashback untuk menjawab beberapa persoalan yang timbul. Tidaklah terlalu membuat anda bermain dengan teka teki.

Saya rasa filem ini unik dari segi jalan cerita. Monolog digunakan untuk menjadikan penonton faham apa yang ingin diceritakan. Pecahan cerita bagi watak-watak utama sebenarnya sesuatu yang kreatif. Sudah lama saya tidak menonton filem sebegini.

Teringat saya beberapa novel yang saya baca sebelum ini menggunakan teknik yang sama. Teknik ini menggunakan babak yang berlainan dengan penceritaan bagi watak yang berbeza. Faham? Kalau tak faham, anda kena tengok filem ni… hehehe. Baru anda faham.

“Nasha rasa sangat bertuah kerana dapat berlakon di bawah arahan Osman Ali, seorang pengarah yang berkaliber. Saya percaya filem Puaka Tebing Biru adalah sebuah filem yang hebat kerana pengarahnya bukan calang-calang orang dan telah terbukti dengan hasilnya selama ini,”

Perhatikan riak wajah mereka. Semuanya tersenyum puas… anda pula bagaimana? Sudah tonton filem ini? Apa komen anda? Anda dah tonton tu, puas hati? Kalau tak puas hati, tang mana hang tak puas hati?

Inilah wajah-wajah hantu puaka di Tebing Biru. Oh ya! Ada satu soalan, mengapa filem ini dinamakan Puaka Tebing Biru. Mengapa tidak dinamakan Puaka Tebing Pink, Puaka Tebing Hijau… Hahaha! Sebenarnya biru itu sinonim dengan laut yang membiru. Di sudut kiasan dan perlambangan pula, biru bermaksud kedamaian dan kasih sayang.

Filem Puaka Tebing Biru menelan belanja RM1.5 juta. Banyak juga tu!

Oklah… saya tidak mahu bercakap panjang lagi. Saksikan sendiri filem ini di pawagam berhampiran.

Gong Xi Fa Cai dan majukan filem untuk negara. Wayang siapa kalau bukan wayang kita.

Sekian terima kasih. Bye!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tahniah! Filem Mukhsin Menang 2 Anugerah di Festival Filem Berlin

Galeri Photo Flickr di Sensasi Selebriti! Nah Jemput Jenguk Tenguk!