Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in ,

Datuk Aaron Aziz Lancar Koleksi Street Wear Hombre 21, Setiap Koleksi Ada Kisah Tersendiri

Genap 20 tahun pembabitan dalam bidang lakonan, pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz berjaya meletakkan dirinya di kelas tersendiri.

Genap 20 tahun pembabitan dalam bidang lakonan, pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz  berjaya meletakkan dirinya di kelas tersendiri. Sepanjang tempoh itu pelbagai kejayaan diraih bukan saja di Malaysia, tapi juga di negara kelahirannya, Singapura. Sekali gus menjadikan Aaron antara pelakon yang kekal relevan sehingga kini.

Seiring kematangan usia dan kerjaya, Aaron, 45, terus mengorak langkah dengan terbabit dalam bidang perniagaan. Melancarkan pelbagai produk di bawah jenamanya sendiri, siapa sangka Aaron juga sudah mampu berdiri sama tinggi dengan kebanyakan ahli perniagaan lain.

Masakan tidak, Aaron turut tersenarai sebagai penerima pada Malaysia Prestigious Industry Awards (MYPIA) yang berlangsung baru-baru ini. Penghargaan itu bukti Aaron bukan main-main dalam cabang perniagaan diceburi.

Terbaharu, Aaron muncul dengan koleksi pakaian ‘street wear’ menerusi jenama Hombre 21 yang mana ia satu lagi usaha ke arah membina empayar perniagaan dan mengukuhkan jenamanya dirinya.

Menurut Aaron, Hombre adalah perkataan yang diambil dari bahasa Sepanyol yang membawa maksud semangat persaudaraan atau ‘brotherhood’.

“Kalau ikutkan koleksi pakaian ini sudah dijual di Singapura. Selepas pemiliknya iaitu Azhar Sulaiman menjadi rakan perniagaan saya, itu yang ambil keputusan untuk pasarkan di sini pula. Saya mahu jenama Hombre ini menjadi pilihan masyarakat dan terkenal seperti kebanyakan jenama ‘street wear’ lain.

“Didatangkan dengan jaminan kualiti terbaik, saya yakin koleksi ini mampu memberi kepuasan kepada sesiapa saja yang memakai dan memilikinya. Dari segi harga pula, ia cukup berbaloi dengan rekaan dan kualiti yang ada iaitu RM100++,” katanya.

Menariknya, koleksi Hombre 21 itu didatangkan dengan lima rekaan dengan setiap daripadanya menceritakan kisah dan perjalanan hidup Aaron dari dulu sehingga sekarang.

Aaron menggambarkan bagaimana kehidupan silamnya ketika di zaman remaja yang dianggap sebagai zaman jahiliah sebelum menemui titik cahaya yang akhirnya menyinari hidupnya sehingga kini bersama isteri dan tiga anak tercinta.

“Setiap manusia ada masa silam dan gemilang. Ada yang untuk kebaikan, ada juga sebaliknya. Untuk saya, apa boleh dikatakan adalah masa silam yang penuh keperitan atau boleh dikatakan zaman jahiliah. Malah, saya akui pernah beberapa kali melampaui batas dan akhirnya mendapat balasan.

“Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dilalui sebelum saya berjaya keluar dari kegelapan itu. Namun, itu semua yang mendewasakan dan mematangkan diri. Walaupun ada ketika dipandang hina, tapi saya percaya keadaan kita tak selamanya di bawah jika ada rasa ingin berubah. Itulah yang saya buat sehingga berada pada tahap sekarang. Betul, nak menjadi baik bukan senang. Tapi, bagi saya paling penting adalah pegangan diri perlu kuat selain saya sentiasa berfikiran positif.

“Jadi, kesemua koleksi ini sangat istimewa dan mempunyai nilai tersendiri. Saya mahu setiap orang memilikinya dan menjadikan ia koleksi peribadi. Mungkin ada antara mereka juga mempunyai cerita sama seperti saya,” katanya.

Bukan sahaja bersifat ‘street wear’, koleksi Hombre 21 ini juga memiliki rekaan Islamik sekali gus menjadikan ia berbeza daripada rekaan jenama lain.

“Macam saya katakan, setiap koleksi mempunyai cerita tersendiri. Malah, dalam rekaan juga ada ciri khas yang bukan saja memberi keselesaan tapi juga sedap mata memandang. Kesemua koleksi Hombre 21 boleh didapati di laman web www.hombre21.store ,” katanya.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version