in ,

Al-Manna Lancar Muzik Video ZIKIR PAGI HARI di Youtube

Selamat pagi Jumaat semua, syukur alhamdulilah, kita masih diberi peluang untuk mengecapi nikmat waktu pagi yang indah terang benderang disuluhi sang mentari dan juga nikmat kesihatan yang membolehkan kita melakukan kerja seharian. Semuanya antara nikmat Allah yang tak mungkin kita beli dengan wang ringgit, tak gitu?

Hari ini, 21 November 2014, satu lagi sejarah dicipta oleh kumpulan Al-Manna… seperti yang mereka janjikan, kumpulan yang dianggotai anak muda ini telah pun melancarkan muzik video rasmi kedua mereka berjudul ZIKIR PAGI HARI di Youtube Channel Al-Manna. Sekalung tahniah Budiey kalungkan kepada mereka. Akhirnya, usaha Al-Manna menampakkan hasil yang positif.

Dua hari lalu, Budiey ada menyiarkan teaser video muzik ZIKIR PAGI HARI di blog ini dan di Instagram. Pastinya, ada yang sudah pun menonton dan ramai yang berpendapat muzik video ini sangat cantik dengan pemandangan berlatar belakangkan ladang teh di Cameron Highland yang menghijau, sejuk mata memandang dan tenang hati yang melihat.

Selain Cameron Highland, Al-Manna juga menjalani pengambaran di Lata Iskandar yang cukup menenangkan sesuai dengan bunyian air terjun yang turut dapat kita dengar sebagai latar lagu ini.

Al-Manna di Cameron Highland

[dropcap]K[/dropcap] alau kita tengok, muzik video ini cukup sederhana sesuai dengan lagunya yang easy listening. Namun, pengarah mengambil inisiatif untuk mencantikkan lagi dengan memasukkan kesan khas seperti salju dan juga menggunakan teknik slow motion. Budiey memuji kerja-kerja kamera yang bijak mengambil sudut yang cantik yang menjadikan sinematografi muzik video ini sangat ohsem. Kalau guna heli-cam yang boleh mengambil pemandangan dari atas mesti lagi cantik dan power, kan?

Menurut Al-Manna, mereka ada sebab mengapa memilih Cameron Highland sebagai lokasi pengambaran muzik video kali ini. Bagi mereka, suasana yang berkabus, tenang dan dingin serta menghijau di Cameron Highland begitu sesuai dengan tema dan konsep lagi ZIKIR PAGI HARI.

Tambahan pula, lagu yang didendangkan dengan gaya acapella tersendiri ini sesuai untuk dialunkan kepada semua tak kira, dari peringkat kanak-kanak sehinggalah ke orang tua di mana lagu ini mengajar zikir dan doa di waktu pagi. Tidak hairan, lagu berbentuk zikir ini memang mudah dihafal oleh kanak-kanak. Lagu ini pernah dialunkan oleh UNIC dalam album Doa dan Al-Manna mengambil lagu zikir ini untuk test power suara harmoni mereka. Ternyata, rata-rata pengulas mengatakan acapella dan harmoni yang dibuat sangat mantap.

Menurut vokalis Al-Manna, Muhammad Firdaus Arshad,

“Syukur alhamdulilah segala penat lelah kami untuk menyiapkan muzik video ini telah berbaloi. Walaupun agak penat, sebenarnya, banyak sekali kenangan manis dan indah ketika menjalani pengambaran. Kami sangat berpuas hati dengan mutu muzik video ini dan pada masa akan datang, kami akan cuba berikan yang terbaik untuk peminat nasyid di luar sana. Yang penting, mesej positif dan dakwah yang ingin kami sampaikan Di sini, kami ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang menjayakan muzik video ini termasuklah pengarah, sahabat kami yang turut membantu serta semua penyokong muzik nasyid. Semoga muzik video ini memberikan manfaat kepada kita semua. Semoga Allah redha dengan apa yang kami perjuangkan. Amin.”

Berbalik kepada muzik video yang mengambil masa selama 3 hari ini, Al-Manna sekali lagi menggunakan khidmat pengarah muzik video Fairus Zainal dari MFZ Creative. Selain percaya dengan kebolehan dan kredibiliti pengarah, Al-Manna juga yakin Fairus dapat menyuntik sesuatu yang magis dalam muzik video ini.

Pada masa akan datang, Al-Manna sekarang sedang merancang untuk merakam muzik video ketiga untuk single berjudul SAHABAT. Disebabkan salah seorang anggota kumpulan Al-Manna, Shahnizman terpaksa berehat kerana terlibat dalam kemalangan bulan lalu, rakaman muzik video SAHABAT yang dijadualkan pada 14 November lalu terpaksa ditangguhkan.

Terbaru tentang Al-Manna, selain akan melancarkan jubah jenama sendiri, Mode By Mannan pada bulan Januari 2015, Al-Manna juga akan tampil dalam Wanita Hari Ini di TV3 pada jam 12 tengahari ini sebagai tetamu dan mereka akan mendendangkan dua buah lagu.

Semoga dengan muzik video ini, bintang Al-Manna terus menyinar. Perjalanan anda semua masih jauh. Semoga terus sukses di masa akan datang.

Jangan lupa LIKE, SHARE & COMMENT muzik video ini ya. Jom SUBSCRIBE: Youtube Channel Al-Manna

Al-Manna di Cameron Highland

Al-Manna di Cameron Highland

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lelaki Harapan Dunia Terpilih Ke Festival Filem Torino Itali

Edcora Villa Rumah Teres Berkembar Yang Selesa Dimiliki